Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syahir Chaqif, Afza Fahmidah antara pemenang Anugerah Penghargaan Relawan 4PM tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setelah menerima Anugerah Bestari 4PM semasa menuntut di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) pada 2010, Encik Syahir Chaqif Abdul Rasid rasa terdorong untuk menyumbang kembali kepada masyarakat sebagai seorang sukarelawan. 

Antara peranan terawal yang digalasnya adalah sebagai seorang mentor dalam program membimbing belia-belia bermasalah yang dipanggil 'PODZ'. 

Semangatnya untuk mendorong para belia lain di ITE menjadi semakin berkobar-kobar sehingga beliau menganggotai jawatankuasa bagi 'Projek Bestari ITE (bITE)' dan mengelolakan kem-kem integrasi, acara Anugerah Bestari dan banyak lagi.

Sepanjang lebih sedekad, beliau diberi kepercayaan dalam pelbagai program bukan sahaja sebagai sukarelawan, malah sebagai mentor dan pengerusi jawatankuasa.

Bahkan beliau juga pernah mewakili 4PM dalam Program Pertukaran Belia Singapura-Malaysia.

(Gambar: 4PM)

Sifat kepimpinannya menyerlah sehingga diberikan kepercayaan mengendalikan program-program utama 4PM seperti Roda-roda Ramadan selaku pengerusi bersama pada 2016.

Namun begitu, Encik Syahir tidak lokek untuk berkongsi ilmu dalam selok-belok kepimpinan dengan para relawan lain. 

Dalam peranannya sebagai Ketua Kelab Bestari 4PM pula, Encik Syahir banyak membimbing para belia lain.

(Gambar: 4PM)

Dalam kesibukannya berbakti kepada masyarakat, tanggungjawab terhadap keluarga dan pelajaran tidak pernah diabaikan.

Semasa mengejar diploma, beliau turut melakukan kerja-kerja sambilan untuk menyara keluarga. 

Sebagai menghargai sumbangan dan dedikasinya, 4PM menobatkan Encik Syahir sebagai penerima Anugerah Jasa Bakti tahun ini iaitu pengiktirafan tertinggi yang diberikan di majlis tahunan Anugerah Penghargaan Relawan.

"Ini memberi satu semangat baru untuk saya untuk memberikan lebih tumpuan untuk belia-belia dan juga penerima bantuan untuk saya menyumbangkan kembali tenaga dan masa saya untuk mereka," kata Encik Syahir.

"Pengiktirafan ini bukan bagi diri saya sahaja, tetapi untuk seluruh sukarelawan dan yang telah saya bimbing dan bekerjasama seperti mentor-mentor saya kerana tanpa mereka atau tanpa bimbingan mereka atau tanpa tenaga mereka, saya tidak akan mendapat pengiktirafan sebegini," tambah Encik Syahir.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Encik Syahir yang sudah berumahtangga turut membawa isterinya naik ke pentas untuk menerima anugerah itu.

Isterinya juga berkongsi naluri ihsan dan merupakan seorang sukarelawan seperti dirinya.

"Kami membuat kerja-kerja amal yang luar daripada 4PM. Pada masa bulan Ramadan, kami ada menolong Muslim Youth Forum (MYF) untuk berikan sumbangan tapi kami gunakan kenderaan tersendiri seperti motor, menyewa kereta untuk memberi bantuan kepada penerima bantuan yang memerlukan.

"Dia menjadi sumber semangat untuk bagi saya," kata Encik Syahir.

DARIPADA SEORANG PESERTA BAHAS 4PM, JADI PENGERUSI PULA

Selain Encik Syahir, 22 lagi relawan cemerlang 4PM turut diberi penghargaan termasuk penerima Anugerah Sukarelawan Setia iaitu Cik Afza Fahmidah Amir. 

Setelah menyertai pertandingan Bahas 4PM kira-kira lebih sedekad lalu, Cik Afza mula tertarik untuk menjadi sukarelawan bagi menganjurkan pertandingan itu dan banyak lagi program 4PM seperti 'Roda-Roda Ramadan', Anugerah Bestari dan kegiatan mengutip dana di masjid pada hari Jumaat.

(Gambar: 4PM)

Berusia 28 tahun sekarang, Cik Afza mula menjadi relawan pada usia 16 tahun. 

Ditanya mengapa beliau tergerak untuk berbakti pada usia muda, ini jawapannya:

"Saya rasakan yang saya harus manfaatkan masa saya dengan baik. Jadi apabila saya diberikan peluang menyertai program 4PM, saya merebut peluang tersebut dan saya tidak berhenti di satu program sahaja, saya mencabar diri saya dengan lebih lanjut lagi untuk berkecimpung dalam program-program lain," kata Cik Afza.

Pengalamannya itu katanya bukan sahaja memberi manfaat pada orang lain, malah pada dirinya juga untuk mengasah kebolehannya.

"Saya rasakan yang saya telah menambah nilai bukan saja di masyarakat tapi pada diri saya sendiri kerana dengan berkecimpung dalam program-program ini, saya dapat jadi seorang pemimpin yang lebih berani, yang ingin mencuba perkara yang baharu," tambahnya.

(Gambar: 4PM)

Cik Afza yang kini menyandang jawatan selaku penolong bendahari 4PM menganggap pengiktirafan itu sebagai satu suntikan semangat untuk terus menyumbang kepada masyarakat. 

"Dengan penganugerahan ini, saya rasa yang saya telah diberikan lebih kepercayaan untuk tampil ke hadapan dan pada masa yang sama untuk memperkasakan lagi pucuk kepimpinan wanita dalam 4PM. 

"Menjadi seorang relawan ini ialah satu proses sepanjang hayat. Saya bukan sahaja menyumbang pada masyarakat, tapi saya juga membuat proses pembelajaran secara kendiri," jelas Cik Afza.

SUKARELAWAN 4PM AMBIL INISIATIF PASTIKAN PROGRAM TETAP DITERUSKAN

Meluahkan harapannya untuk para pemenang anugerah, Anggota Jawatankuasa 4PM, Encik Syed Faisal Syed Ismail berkata:
"Harapan 4PM ialah agar mereka dapat terus menyumbang bakti kepada 4PM dan kami amat berterima kasih kerana walaupun dalam keadaan sukar sebegini, dengan adanya COVID-19 dan sebagainya, relawan masih lagi tampil ke hadapan dan memberikan, menyumbang jasa dan tenaga mereka untuk mengelolakan aktiviti-aktiviti yang pelbagai dan rencam demi mencapai visi atau matlamat 4PM iaitu untuk memperkembangkan belia-belia di Singapura."

Meskipun pandemik COVID-19 telah menjejas beberapa kegiatan 4PM, usaha persatuan itu untuk mendampingi dan membantu masyarakat tetap giat diteruskan hasil kerja keras para relawan.

Ini dapat disaksikan menerusi program-program yang beralih ke wadah online seperti bengkel 'Seniors Go Digital' yang dianjurkan bersama-sama Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) tahun lalu dan menggunakan wadah 'Giving.sg' untuk mengumpul dana.

"Kita lihat sukarelawan kita dapat berfikir secara kritis dan dapat membuat aktiviti yang lebih bermanfaat. Pada masa yang sama, menghubungkan masyarakat dengan lebih luas lagi melalui fizikal dan juga melalui online," tambah Encik Syed Faisal.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan