Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Swipe' Alyph semakin diterima di Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediaorp: “Aku ada type, kalau aku like, aku like
Kalau tak, aku swipe, Swipe."

Lirik lagu nyanyian serta ciptaan penyanyi berasal dari Singapura iaitu Alyph mudah namun menjadi viral bukan sahaja di Singapura dan Malaysia bahkan turut menjadi siulan di Indonesia juga sejak akhir-akhir ini.

Single terbaru rapper, penerbit serta komposer Alyph turut menjadi pilihan ramai selebriti serta artis-artis Indonesia bagi hantaran mereka di Instagram dalam sekelip mata sahaja selepas lagu tersebut diedarkan di pasaran Indonesia baru-baru ini.

Beruntungnya beliau kerana nama Alyph kini menjadi sebutan dalam kalangan media Indonesia sehingga mereka turut melaporkan tentang lagu Swipe.

Swipe meraih lebih empat juta tontonan di Youtube setakat ini sejak ia dilancarkan secara rasminya pada 28 Oktober 2022.
Melodi serta lirik lagu Swipe dihasilkan sepenuhnya oleh Alyph.
Gambar: Zaaim Hariz
Ketika dihubungi di Singapura, Alyph berkongsi bahawa terdapat tiga hingga empat lagu baru yang ada dalam simpanannya namun lagu Swipe diedarkan terlebih dahulu sebagai single terbarunya tahun ini.

Ini adalah jawapan Alyph ketika ditanya tentang lagu yang masih trending itu:

“Pelik sedikit sebab saya dapat inspirasi bahagian korus sewaktu saya tengah mandi. Saya tak berapa ingat dari mana mendapat inspirasi menulis lagu ini tapi mungkin saya ada berborak dengan teman mengenai sesuatu.

"Mesej saya ialah kalau kita nak buat sesuatu pun, nasihat itu penting. Saya rasa dalam hidup kita perlu ada keseimbangan, ada yang kita dengar dari bimbingan orang, ada yang kita buat keputusan sendiri.”

Pemenang anugerah 'Young Songwriter of the Year 2022' (Penggubah Lagu Muda Terbaik 2022) oleh Compass itu tidak menafikan bahawa setiap lagu ciptaannya adalah berdasarkan pengalamannya sendiri.

“Cuma saya tak suka cerita sepenuhnya sebab saya rasa tak adil nanti pendengar nak kena faham situasi saya pula. Saya sudah sesuaikan jalan ceritanya untuk pastikan ia cukup umum. Jadi sesiapa yang mendengar lagu itu boleh anggap lagu ini sebagai lagu mereka sendiri," ujar Alyph.

Beliau turut ditanya pandangannya mengenai lagu popular tersebut, yang masih menjadi viral di Malaysia dan Indonesia termasuk di Tik Tok kini.

“Untuk setiap lagu saya doakan yang terbaik. Bila lagu ini menjadi viral ke Tik Tok saya tak bersedia sebenarnya, saya nak belajar Tik Tok," katanya sambil tertawa. "Banyak benda yang saya kena belajar tapi ini sebahagian daripada peningkatan dan evolusi yang saya menantikannya.”

Apakah kejayaan sesebuah lagu itu terletak pada lirik yang mudah seperti lagu terkini ciptaan Alyph? Beliau menjelaskan: “Saya rasa lirik akan membantu lagu itu tapi yang paling penting adalah perasaan bagaimana sesebuah topik itu membuat anda rasakan tentang sesuatu, cara kita rakam lagu itu bila pendengar mendengarnya sama ada kita jujur ke tidak jadi saya rasa itu lebih penting bukan hanya pada lirik sahaja.”

Tambahnya lagi, terdapat banyak juga lagu yang mempunyai lirik lagu yang mudah dan catchy tetapi tidak semua boleh menjadi. Perkara utama baginya ialah jiwa dan naluri untuk sesebuah lagu tersebut.

Mungkin strategi pihak syarikat rakaman Universal Music dan Def Jam amat bertepatan sekali untuk membawa Alyph ke Jakarta pada 5 Disember nanti mempromosikan lagu tersebut untuk beberapa hari di sana.

Ia juga petanda bahawa Alyph sudah bersedia untuk melebarkan sayapnya ke Indonesia.

Umum mengetahui dalam kalangan penggiat seni di Malaysia bahawa lazimnya, setiap lagu yang ingin menembusi pasaran Indonesia harus menukar sedikit lirik sesebuah lagu ke bahasa Indonesia untuk disesuaikan bagi pasaran Indonesia.

Namun, hal ini tidak perlu dilakukan oleh Alyph untuk lagu Swipe.

“Saya tidak pernah diminta oleh sesiapa untuk menukar lirik. Mereka sukakannya seperti itu. Saya rasa Swipe adalah contoh yang baik bahawa muzik adalah muzik. Kita tak perlu ubah diri kita untuk membuat orang suka kita kalau kita menjadi diri kita sendiri dan kalau niat kita suci (ketawa) melalui muzik. Maknanya ia sampai.”

Ini bermakna, pihak Jakarta secara tidak langsung menerima lagu Alyph sebulat-bulatnya. Syabas Alyph!
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan