Skip to main content

Singapura

SWF 2026 perluas program Bahasa Melayu, tampil sastera dalam pelbagai bentuk, perluas jangkauan menerusi terjemahan

Anggaran Waktu Membaca:
SWF 2026 perluas program Bahasa Melayu, tampil sastera dalam pelbagai bentuk, perluas jangkauan menerusi terjemahan

(Gambar: SWF)

Diterbitkan : 30 Sep 2026 05:42PM
SINGAPURA: Pesta Penulis Singapura (SWF) bakal menawarkan lebih banyak program dalam Bahasa Melayu, selaras dengan usaha memperluas program berbilang bahasa.

Ini antaranya dilakukan menerusi 'SWF Homage', yang memberi tumpuan kepada penterjemahan sastera melalui sebuah laman mikro, siri program serta pemasangan interaktif di beberapa perpustakaan.

Bertemakan Hidden in Plain Sight (Tersirat antara Lihat), pesta itu juga memperkenalkan sorotan khas jenayah dan misteri yang meneroka petunjuk, andaian dan sudut pandang berbeza dalam sesebuah cerita.

Edisi ke-29 SWF dilancarkan pada Selasa (29 Sep) dan menghimpunkan lebih 300 penulis, penceramah dan moderator tempatan serta antarabangsa menerusi lebih 200 program.

MEMPERLUAS PEMAHAMAN TENTANG SASTERA

Di sebalik program berbilang bahasa kali ini ialah tiga kurator undangan yang membentuk program Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil, dengan menghimpunkan suara dan amalan sastera dari Singapura serta rantau ini.

Bagi kurator undangan program Bahasa Melayu, Encik Muhammad Ilyia Kamsani, usaha mendekatkan sastera kepada masyarakat bermula dengan memperluas pemahaman tentang bentuk sastera itu sendiri.

Justeru, program Bahasa Melayu tahun ini tidak terhad kepada karya bertulis, malah mengetengahkan sastera menerusi pementasan, sejarah lisan dan kewartawanan.

"Kita harus berani berganjak daripada cara konvensional, di mana sastera itu hanya diajarkan dalam bilik darjah dan sebagainya,'' kata Encik Ilyia.
Related article image
Beliau yang kembali sebagai kurator untuk tahun kedua mahu memanfaatkan SWF sebagai wadah untuk mendekatkan sastera menerusi program lebih interaktif, terutama kepada golongan muda.

"Sebenarnya anak muda masyarakat Melayu memang minat terhadap sastera Melayu. Mungkin kekurangan platform atau mungkin kekurangan pendedahan yang membuatkan mereka tidak mendekati sastera sebagaimana kita mahukan atau impikan," kongsinya.

Bagi memberi pendedahan itu, program tahun ini mendekatkan sastera kepada pengunjung menerusi pelbagai pendekatan.

'Syair dan Kewartawanan dalam Alam Melayu' misalnya menghubungkan tradisi syair dengan kewartawanan Melayu, manakala 'Skrip, Pentas, Cerita: Teater Melayu Sebagai Sastera' mengetengahkan teater sebagai satu bentuk sastera.

'Kepulauan Ingatan: Cerita-Cerita dari Laut Selatan' pula membawa pengunjung menyelami kisah dan warisan masyarakat Orang Laut dan Orang Pulau.

Encik Ilyia percaya kepelbagaian program itu dapat menarik lebih ramai pengunjung, sama ada mereka yang baru mahu mengenali sastera mahupun yang sudah mempunyai minat terhadapnya.
Related article image
(Gambar: SWF)

ANGKAT SASTERA MENERUSI TERJEMAHAN

Usaha meluaskan jangkauan sastera Melayu turut dilakukan menerusi terjemahan.

Tumpuan terhadap penterjemahan itu menjadi antara teras 'SWF Homage' tahun ini, yang menelusuri perkembangan penterjemahan karya sastera Singapura ke dalam pelbagai bahasa sejak abad ke-18 dan awal abad ke-19 hingga masa kini.

Ia turut melihat peranan penulis dan penterjemah dalam membawa karya Sing Lit ke pentas global.

Tumpuan tersebut akan diketengahkan menerusi siri program penterjemahan, sebuah laman mikro interaktif serta pemasangan awam yang akan dibawa ke beberapa perpustakaan dan ruang masyarakat.

Laman mikro khususnya akan membolehkan pengunjung mencuba sendiri kegiatan menterjemah dan memuat naik hasil mereka.

Related article image
(Gambar: SWF)

Pemasangan interaktif pula akan ditempatkan di Perpustakaan Daerah Jurong, Perpustakaan Sengkang, Perpustakaan Sembawang, Perpustakaan Bukit Batok dan The Arts House.

Encik Ilyia menekankan bahawa terjemahan penting untuk meluaskan jangkauan sastera Melayu kepada kelompok pembaca yang lebih luas.

"Terjemahan adalah salah satu cara bagaimana sastera itu boleh dikembangkan kepada pembaca-pembaca atau pengamat yang bukan Melayu," ujarnya.

SWF akan berlangsung dari 13 hingga 22 November 2026.

Pas Pesta berharga S$30 dan Pas Belia S$15, manakala tiket bagi program berasingan bermula daripada S$5.

Diskaun tempahan awal sebanyak 20 peratus bagi pas dan program tertentu ditawarkan dari 29 September hingga 18 Oktober.

Mulai 19 Oktober, pelajar, anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) dan warga emas berusia 55 tahun ke atas pula boleh menikmati konsesi 20 peratus.

Kredit Pas Budaya SG juga boleh digunakan untuk menyertai program SWF.

Tiket boleh didapatkan menerusi laman rasmi SWF .

Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita