Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SUTD kerjasama dengan Sekolah Perubatan Duke-NUS tawar program perubatan khas

 Sebuah program khas bagi melatih para doktor yang mahir dalam mengamalkan perubatan dan memanfaatkan teknologi untuk memperbaiki perkhidmatan penjagaan kesihatan akan diperkenalkan.

Anggaran Waktu Membaca:
SUTD kerjasama dengan Sekolah Perubatan Duke-NUS tawar program perubatan khas

Gambar fail New York Times.

Diterbitkan : 02 Dec 2017 11:28AM Dikemas Kini : 02 Dec 2017 11:33AM

SINGAPURA: Sebuah program khas bagi melatih para doktor yang mahir dalam mengamalkan perubatan dan memanfaatkan teknologi untuk memperbaiki perkhidmatan penjagaan kesihatan akan diperkenalkan untuk mahasiswa yang berprestasi tinggi di bawah kerjasama antara Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) dengan Sekolah Perubatan Duke-NUS.

Program yang dikenali sebagai Laluan Khas SUTD-Duke-NUS itu ditawarkan kepada para mahasiswa baru yang akan memulakan pengajian mereka tahun depan. Mereka yang mengikuti laluan berkenaan akan menerima ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan ataupan Sarjana Muda Sains selepas tiga setengah tahun menuntut di SUTD.

Mereka kemudian harus memenuhi kriteria penerimaan terakhir, termasuk Gabungan Nilai Purata (GPA) sekurang-kurangnya 4.4 mata untuk layak menerima ijazah Doktor Perubatan (MD) di Sekolah Perubatan Duke-NUS.

Presiden SUTD Thomas Magnanti berkata semalam (1 Dis) bahawa universiti tersebut berharap sekitar 10 pelajar yang berprestasi tinggi dapat didaftarkan di bawah program khas itu.

SUTD menyatakan bahawa para graduan program tersebut akan serba boleh dalam teknologi dan reka bentuk serta mempunyai kemahiran menangani cabaran dalam penjagaan kesihatan menggunakan huraian inovatif. Ini termasuk reka bentuk produk penjagaan kesihatan, bahan-bahan biologi, penghantaran ubat, sistem peruntukan katil hospital, pantauan pesakit dan reka bentuk hospital.

Pemohon yang terpilih akan dapat membangunkan pengetahuan mereka dalam bidang kejuruteraan, seni bina dan perubatan klinikal. Program itu dikendalikan di tiga kampus iaitu SUTD, Sekolah Perubatan Duke-NUS dan Kampus Outram di Hospital Besar Singapura.

Menurut Pengerusi SUTD Lee Tzu Yang, universiti itu juga sedang membangunkan sebuah program lima tahun yang menawarkan lebih banyak modul dan kursus kepada mahasiswa dalam empat bidang utama: Penjagaan kesihatan, penerbangan, kecerdasan buatan dan pembandaran.

Profesor Thomas Magnanti dan provos SUTD Chong Tow Chong berkata dalam menentukan empat bidang utama itu, universiti tersebut mengkaji industri-industri utama yang bakal menjalani perubahan menerusi Rancangan Perubahan Industri serta kekuatan universiti itu dalam bidang “reka bentuk dan teknologi”.

Encik Lee berkata: “Kami akan memperluaskan tahap kerjasama kami menjangkaui 700 syarikat buat masa ini bagi projek dan pengalaman bekerja sambil belajar.”

“Kami yakin program-program ini bukan sahaja akan menambah peluang pekerjaan para pelajar … (tetapi juga) menarik lebih ramai pelajar untuk memasuki SUTD.”

Mediacorp difahamkan bahawa program-program tambahan khas tersebut tidak menjejas yuran universiti dan ia ditawarkan kepada semua mahasiswa SUTD.

Buat masa ini SUTD mempunyai 1,600 penuntut, dengan 450 daripadanya merupakan mahasiswa tahun pertama. Ia merancang untuk meluaskan lagi pengambilannya kepada 500 dalam dua atau tiga tahun akan datang. 

Sumber : Today/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan