Skip to main content

Singapura

Susuli kematian pelajar berusia 15 tahun, jurulatih aktiviti luar kini diwajibkan periksa senarai terperinci

Anggaran Waktu Membaca:
Susuli kematian pelajar berusia 15 tahun, jurulatih aktiviti luar kini diwajibkan periksa senarai terperinci

(Gambar: Facebook/Blackbox OE)

SINGAPURA: Para jurulatih yang mengendalikan aktiviti luar berasaskan ketinggian di sekolah dikehendaki mengisi senarai semak yang komprehensif - langkah yang diwajibkan menyusuli insiden keselamatan serius yang melibatkan pelajar.

Dikenali sebagai senarai semak sebelum sesuatu kegiatan luar dijalankan, dokumen itu akan membantu untuk memeriksa keadaan Kelengkapan Perlindungan Peribadi (PPE) seperti abah-abah dan topi keledar serta membincangkan elemen tinggi yang terlibat semasa menjalankan aktiviti itu.

Sektor pendidikan luar telah digemparkan dengan dua kes di mana para jurulatih gagal memeriksa atau memasang PPE dengan betul semasa aktiviti berasaskan ketinggian.

Bulan lalu, seorang bekas jurulatih bebas dijatuhi hukuman penjara selama dua bulan selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun jatuh empat tingkat daripada struktur 'flying fox' dan mengalami keretakan.
Sebulan sebelum itu, seorang jurulatih sukarela telah dikenakan hukuman penjara enam bulan atas kematian seorang pelajar berusia 15 tahun dalam balapan berhalang elemen tinggi.

Semasa menjawab pertanyaan Mediacorp, Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan bahawa ia mewajibkan senarai semak tersebut pada Februari 2023 apabila aktiviti berasaskan ketinggian untuk program sekolah disambung semula selepas digantung selama dua tahun menyusuli kematian remaja berusia 15 tahun itu.

Senarai semak itu akan membantu para jurulatih "secara sistematik" untuk memeriksa peralatan dan kemudahan kursus cabaran sebelum menjalankan aktiviti di Pusat Pendidikan Luar MOE dan sekolah-sekolah dengan kemudahan kursus cabaran sedemikian.

Amalan itu sejajar dengan piawai yang ditetapkan oleh Persatuan Teknologi Kursus Cabaran (ACCT), iaitu sebuah persatuan perdagangan antarabangsa dan pembangun piawaian.

Di bawah langkah keselamatan dipertingkatkan yang diumumkan oleh MOE pada November 2022, semua pengendali yang menawarkan aktiviti berasaskan ketinggian untuk pelajar MOE mesti memastikan kemudahan mereka diiktiraf dan ditauliahkan secara berkala oleh Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) atau badan profesional pendidikan luar serantau.

Sekolah-sekolah juga mestilah hanya menggunakan khidmat para pengendali bertauliah dan jurulatih yang berkelayakan seperti mereka yang mempunyai pensijilan ACCT.

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita