Susulan hujan lebat: Air naik di laluan pejalan kaki, tempat perhentian bas Ang Mo Kio
Laluan pejalan kaki di Ang Mo Kio Industrial Park 2 dinaiki air semasa hujan lebat melanda beberapa kawasan di Singapura petang tadi (31 Jan).
Gambar-gambar laluan pejalan kaki di Ang Mo Kio Industrial Park 2 yang dinaiki air. (Gambar: pembaca Channel NewsAsia)
SINGAPURA: Laluan pejalan kaki di Ang Mo Kio Industrial Park 2 dinaiki air semasa hujan lebat melanda beberapa kawasan di Singapura petang tadi (31 Jan).
Air juga mengalir ke tempat perhentian bas dengan gambar di media sosial menunjukkan kaki seorang wanita dibalut plastik.
Seorang pembaca Mediacorp yang enggan namanya didedahkan berkata beliau sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja apabila ternampak lopak air di laluan pejalan kaki sekitar pukul 5.35 petang.
"Ia juga sebahagiannya disebabkan pengaliran air yang melimpah dari longkang berdekatan," beliau memberitahu Mediacorp.
"Ini selalu berlaku di sini setiap kali hujan. Kami terpaksa berjalan di jalan raya dan ini membahayakan."
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) memberi amaran "hujan lebat dengan angin kencang" di banyak kawasan di Singapura sekitar pukul 4.00 petang.
Angin kuat juga menyebabkan bot-bot di Pusat Sukan Layar Kebangsaan di East Coast Park terbang melayang dan sebatang pokok besar tumbang di Marine Parade Road, menghadang beberapa lorong jalan raya.
Ini merupakan hari kedua berturut-turut hujan turun dengan lebatnya di merata Singapura.
Semalam (30 Jan), banjir kilat, pokok tumbang dan hujan batu juga dilaporkan.
LAPORAN BERKAITAN:
Bot melayang ditiup angin ribut di East Coast Park
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.