Skip to main content

Singapura

Sustainability@Tampines Park sasar kumpul 1000kg sisa makanan untuk jana baja organik

Kemudahan Sustainability@Tampines Park menyasarkan untuk menambah jumlah sisa makanan yang dikitar semula menjadi baja, dari 150 kg seminggu sekarang kepada 1000 kg. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kemudahan Sustainability@Tampines Park menyasarkan untuk menambah jumlah sisa makanan yang dikitar semula menjadi baja, dari 150 kg seminggu sekarang kepada 1000 kg.

Menurut pengurus projek itu, Diviyaa Asokan daripada Otolith Enrichment, ia berharap dapat mengurangkan sisa makanan yang terbuang dan sekaligus menjadi model sifar sisa.

Daripada sekadar membuang sahaja sisa makanan seperti kulit buah-buahan dan lebihan sayur-sayuran, BERITAmediacorp meninjau bagaimana orang ramai boleh memanfaatkan sisa makanan mereka itu dengan cara yang lebih mesra alam menerusi projek tersebut.

PENCINTA ALAM SEKITAR SARVANI REDDY BANTU TINGKATKAN KESEDARAN

Sebagai seorang 'vegan' atau seseorang yang hanya makan daripada sumber tumbuh-tumbuhan, penuntut 20 tahun Sarvani Reddy mempunyai banyak sisa makanan daripada sayur atau buah yang dikupas.

Related article image

Lantaran itu, beliau mengambil keputusan untuk memanfaatkan sisa makanan itu dengan menyumbangkannya kepada Sustainability@Tampines Park, iaitu pusat penguraian atau kemudahan kitar semula bahan organik untuk dijadikan baja secara semula jadi, yang terletak bersebelahan Blok 144 Tampines Street 12.

Apabila berkongsi amalannya itu di TikTok dan Instagram, videonya menjadi tular baru-baru ini sehingga ramai yang terdorong untuk mengikut jejak langkahnya bagi memelihara alam sekitar.

Related article image

Sarvani berkata: "Ada individu-individu yang membuat video mengenai kunjungan mereka ke Sustainability@Tampines Park dan pautkan nama saya."

Sarvani, yang juga mahasiswa dalam jurusan kejuruteraan sekitaran di sebuah universiti di India, turut berkunjung ke kemudahan kitar semula bahan organik itu sekurang-kurangnya dua minggu sekali.

Related article image

"Ia seperti anda mengambil daripada bumi dan mengembalikan semula kepada bumi. Jadi apa yang lebih baik dari itu?

"Apa yang saya ingin lakukan hanyalah untuk membuat perubahan dan membantu orang ramai sedar bagaimana dapat lebih mengambil berat tentang iklim dan bagaimana dapat lebih mengambil berat tentang alam sekitar juga."

PROSES HASILKAN BAJA ORGANIK

Jadi apa sebenarnya yang berlaku di sebalik kontena Sustainability@Tampines Park ini?

Pertama, sisa makanan yang disumbangkan ini akan dipotong-potong terlebih dahulu.

Related article image

Kemudian, ia diberikan kepada larva Black Soldier Fly - sejenis ulat pengurai - sebanyak dua kali sehari selama tiga minggu, sebelum dikompos menjadi baja organik.

Related article image

Menariknya, kumuhan ulat itu akan dijadikan baja bagi ladang menegak berteknologi tinggi yang berdekatan, yang diuruskan syarikat Netatech.

Related article image

Larvanya pula akan dibekukan dan dijadikan makanan bagi ikan-ikan tilapia yang dipelihara di kolam berhampiran, yang dikendalikan Apollo Aquaculture.

CAPAI MATLAMAT 30 JELANG 30 S'PURA

Pendek kata, kemudahan tersebut adalah ekosistem berputar berlandaskan masyarakat yang pertama di Singapura bagi pengeluaran makanan yang mampan.

Pengurus projek Cik Diviyaa berkata: "Setiap minggu kami sebenarnya mempunyai sekitar 150 kg sisa makanan dan kami merancang untuk meningkatkan jumlah ini. Mungkin kumpul sehingga 700 kg atau 1000 kg sisa makanan setiap minggu.

Related article image

"Sustainability@Tampines Park juga terkait dengan matlamat 30 menjelang 30 Singapura. Kami mahu membiak ikan dan menanam sayur-sayuran kami sendiri tetapi dalam kitaran ini, kami juga merancang mengurangkan sisa makanan dan mempunyai model sifar sisa."

Bagi orang ramai yang mahu menyumbang sisa makanan, mereka disarankan untuk tidak menyimpannya di dalam peti sejuk.

Sebaliknya, mereka boleh membiarkan sisa makanan itu pada suhu bilik sehingga tiga hari sebelum dihulurkan ke pusat tersebut.

Related article image

Para penyumbang sisa makanan juga berpeluang meraih 'mata wang hijau' untuk membeli sayur-sayuran yang ditanam dan ikan-ikan yang dipelihara itu, sekali gus dapat mengurangkan sisa makanan.

Satu lagi inisiatif serupa yang berskala lebih kecil adalah Project Black Gold, yang melakukan penguraian di tiga kejiranan - Bukit Gombak, Jurong Lake Gardens dan Tampines.

Usaha-usaha tersebut diharapkan dapat mengurangkan sisa makanan di negara ini.

Pada tahun lalu, Singapura menghasilkan sebanyak 539,000 tan sisa makanan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita