Skip to main content

Singapura

SUSS umum biasiswa Ustaz Ali Haji Mohamed

Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) pada Isnin lalu (15 Jan) mengumumkan ia menawarkan biasiswa baharu sempena tokoh dalam masyarakat Melayu/Islam tempatan, Allahyarham Ustaz Ali.

Anggaran Waktu Membaca:
SUSS umum biasiswa Ustaz Ali Haji Mohamed

Dr Mohamed Bin Ali, anak lelaki kepada Ustaz Ali. (Gambar: SUSS)

SINGAPURA: Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) pada Isnin lalu (15 Jan) mengumumkan ia menawarkan biasiswa baharu sempena tokoh dalam masyarakat Melayu/Islam tempatan, Allahyarham Ustaz Ali.

Demikian menurut universiti itu dalam kenyataan media di lamannya.

Allahyarham Ustaz Ali merupakan pengasas bersama Kumpulan Pemulihan Agama (RRG) yang bertujuan memupuk pemahaman dan sikap bertolak ansur dalam masyarakat.

Lebih S$400,000 terkumpul bagi Biasiswa Ali Haji Mohamed bagi Kepimpinan Masyarakat yang disumbangkan oleh teman-teman Ustaz Ali, menurut SUSS.

Di majlis pengumuman biasiswa itu, anak lelaki kepada Ustaz Ali, Dr Mohamed Bin Ali, berkongsi mengenai warisan ayahnya dan mengucapkan terima kasih kepada pihak SUSS kerana menamakan biasiswa itu sempena ayahnya.

Biasiswa Ali Haji Mohamed bagi Kepimpinan Masyarakat tidak hanya tertakluk kepada syarat-syarat akademik konvensional, tetapi ia juga diberikan kepada individu yang berkongsi dan mencontohi nilai-nilai pegangan Ustaz Ali.

Selain RRG, Ustaz Ali menjawat peranan sebagai pengurus Masjid Khadijah antara 1993 hingga 2022.

Sepanjang tempoh itu, beliau terlibat dalam usaha pengumpulan dana bagi kerja-kerja naik taraf Masjid Khadijah serta menganjurkan acara memasak beramai-ramai Briyani Amal yang disertai para sukarelawan setiap tahun.

Cik Zarina Othman merupakan penerima pertama biasiswa tersebut.

Beliau berkongsi bahawa beliau meninggalkan industri mesyuarat dan pameran pada 2019, untuk menyertai Persatuan Eropah untuk Onkologi Perubatan, iaitu sebuah pertubuhan antarabangsa bukan untuk mengaut keuntungan (NGO).

Cik Zarina kini menyandang jawatan sebagai Ketua Operasi Asia di pertubuhan itu dan bertanggungjawab menyokong latihan dan pendidikan para doktor dan karyawan kesihatan bersekutu yang merawat para pesakit barah.

Berkongsi mengenai peralihan industri itu, Cik Zarina berkata: "Peralihan itu didorong selepas saya kehilangan nenek dan dua makcik saya kepada barah paru-paru, sekaligus ia mendorong saya untuk menyokong sebab yang membawa makna mendalam kepada diri saya."

Cik Zarina kini sedang mengikuti pengajian Sarjana dalam Pengurusan (dengan pengkhususan dalam Pengurusan Pertubuhan bukan Mengaut Keuntungan) dengan biaya biasiswa tersebut.
Sumber : BERITA Mediacorp/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita