Skip to main content

Singapura

SUSS henti guna alat pengesan AI sedang lebih banyak universiti SG persoal kebolehpercayaannya

Anggaran Waktu Membaca:
SUSS henti guna alat pengesan AI sedang lebih banyak universiti SG persoal kebolehpercayaannya

Para pelajar tetap bertanggungjawab memastikan integriti hasil kerja mereka meskipun penggunaan AI generatif dibenarkan, menurut universiti-universiti di Singapura. (Gambar fail: AP/Michael Dwyer)

Diterbitkan : 24 Aug 2026 07:27PM
  • SUSS dan NTU memutuskan untuk menghentikan penggunaan alat pengesan penulisan AI kerana meragui kebolehpercayaannya, dengan SUSS bermula Ogos 2024 dan NTU pada 2027.
  • SMU masih menggunakan alat pengesan AI, namun hanya sebagai salah satu sumber penilaian dan bukan asas utama menentukan salah laku akademik.
  • NUS, SUTD dan SIT tidak menggunakan alat pengesan AI automatik, sebaliknya menilai pelajar berdasarkan mutu kerja dan bukti lain, serta mewajibkan pengisytiharan penggunaan AI jika perlu.
  • Semua universiti menekankan tanggungjawab pelajar terhadap integriti akademik, dengan penggunaan AI generatif dibenarkan jika digunakan secara bertanggungjawab dan dinyatakan dengan jelas.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) menghentikan penggunaan alat pengesan penulisan kecerdasan buatan (AI) di seluruh universiti itu mulai Ogos, sedang lebih banyak universiti di Singapura mempersoalkan kebolehpercayaan alat sedemikian.

Menjawab pertanyaan CNA, SUSS menyatakan pihaknya mengakui keterbatasan skor pengesanan AI, terutama kerana skor tersebut tidak dapat menentukan secara muktamad sama ada AI generatif digunakan secara tidak wajar.

SUSS menghentikan penggunaan skor pengesanan penulisan AI Turnitin mulai 11 Ogos.

"Keputusan ini tidak menjejas jangkaan SUSS agar para pelajar menegakkan integriti akademik dan menggunakan AI generatif secara bertanggungjawab," menurut universiti itu.

"Tumpuan kami kekal kepada sama ada para pelajar dapat menunjukkan pemahaman dan hasil kerja yang diserahkan adalah hasil kerja mereka sendiri."

Alat pengesan penulisan AI menganalisis teks untuk menganggarkan kemungkinan ia dihasilkan AI.

Alat tersebut boleh disepadukan ke dalam perisian pengesanan plagiat dan persamaan teks yang sudah digunakan institusi pendidikan, seperti Turnitin.

NTU HENTI GUNA ALAT PENGESAN AI MULAI 2027

Langkah SUSS dibuat selepas Universiti Teknologi Nanyang (NTU) mengumumkan kepada tenaga pengajarnya awal bulan ini bahawa ia akan menghentikan penggunaan alat pengesan AI mulai 2027 kerana mengakui alat sedemikian "pada dasarnya tidak boleh dipercayai".
Timbalan Presiden merangkap Provost NTU Profesor Christian Wolfrum berkata alat pengesan AI mempunyai tujuan yang munasabah ketika ia mula diperkenalkan kerana penggunaan AI ketika itu masih merupakan bidang baharu.

Namun, keadaan kini sudah berubah.

"Apa yang dahulunya merupakan langkah perlindungan yang munasabah kini sudah lapuk," katanya.

Penggunaan AI secara tidak wajar mencetuskan tengkarah di NTU tahun lalu.

Pada April 2025, tiga mahasiswa NTU dituduh menyalahgunakan AI dengan mengemukakan petikan palsu dan tidak tepat.

BERITA Mediacorp sebelum ini melaporkan NTU menubuhkan panel melibatkan pakar AI untuk menilai rayuan seorang mahasiswi yang dituduh melakukan salah laku akademik.

Dalam keputusan rayuan berikutnya, NTU mendapati 14 contoh petikan atau data palsu dalam eseinya. Universiti itu menyifatkan perbuatan memetik sumber yang tidak wujud sebagai satu bentuk "salah laku akademik yang serius".
NTU tidak menjawab pertanyaan CNA sama ada alat pengesan AI yang dianggap tidak boleh dipercayai itu menyumbang kepada sebarang tuduhan salah laku akademik sebelum ini dan sama ada siasatan terhadap kes-kes terdahulu akan dibuka semula.

SMU MASIH GUNA ALAT PENGESAN AI

Universiti Pengurusan Singapura (SMU) pula menyatakan ia masih menggunakan alat pengesan AI, tetapi alat tersebut "tidak pernah menjadi satu-satunya asas" untuk menentukan berlakunya salah laku.

Profesor Madya Michelle Lee, Provost Bersekutu bagi Pendidikan Prasiswazah SMU, berkata alat itu hanya digunakan sebagai salah satu daripada beberapa sumber penilaian.

Menurutnya, reka bentuk penilaian dan keupayaan pelajar menerangkan sendiri hasil kerja mereka turut memainkan peranan.

"Kami percaya cara paling boleh dipercayai untuk memastikan integriti akademik adalah dengan mereka bentuk penilaian yang memerlukan pelajar menunjukkan kecekapan sebenar, bukan mengesan sama ada AI digunakan selepas sesuatu tugasan disiapkan," katanya.

SMU tidak merancang mengubah pendekatan tersebut.

NUS, SUTD DAN SIT TIDAK GUNA ALAT PENGESAN AI AUTOMATIK

Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) serta Institut Teknologi Singapura (SIT) mengesahkan bahawa mereka tidak menggunakan alat pengesan AI automatik.

Institusi-institusi tersebut menyatakan alat berkenaan tidak dapat menentukan dengan pasti bahawa seseorang pelajar melakukan salah laku akademik.

Sebarang siasatan perlu mengambil kira keseluruhan konteks penilaian dan bukti lain yang berkaitan.

Ini termasuk penjelasan pelajar mengenai hasil kerjanya serta bahan sokongan seperti draf atau catatan refleksi.

SIT pernah mengambil bahagian dalam percubaan awal alat pengesan penulisan AI tetapi memutuskan untuk tidak menggunakannya kerana keterbatasan alat tersebut.

NUS pula menyatakan teknologi sedia ada mempunyai keterbatasan ketara dari segi kebolehpercayaan dan ketepatan.

Oleh itu, alat pengesan penulisan AI tidak digunakan sebagai bukti dalam prosiding tatatertib.

Jika penggunaan AI dibenarkan, para pelajar dinilai berdasarkan mutu hasil kerja dan tidak akan dikenakan tindakan kerana menggunakan AI sekiranya penggunaannya dinyatakan dengan sewajarnya.

"Plagiat merupakan kesalahan akademik yang serius di NUS. Pelajar yang mengemukakan kandungan atau hasil kerja yang dijana AI sebagai hasil kerja sendiri tanpa pengakuan sewajarnya melakukan plagiat," menurut NUS.

PELAJAR KEKAL BERTANGGUNGJAWAB

SUSS menegaskan penggunaan AI generatif semata-mata tidak dianggap sebagai salah laku akademik.

Universiti itu mempunyai dasar yang membimbing pelajar dan tenaga pengajar mengenai penggunaan AI generatif yang sesuai bagi menyokong pembelajaran.

Bergantung kepada keperluan penilaian, ia boleh merangkumi sumbang saran, mengembangkan idea, menyediakan draf dan menyunting.

Namun, para pelajar kekal bertanggungjawab terhadap ketepatan dan integriti tugasan yang diserahkan serta perlu menunjukkan bahawa mereka sudah memenuhi hasil pembelajaran yang ditetapkan.

SUTD turut mewajibkan para pelajar mengisytiharkan penggunaan alat AI generatif berdasarkan garis panduan khusus bagi kursus masing-masing.

Menurut SUTD, pendekatannya bukan untuk menganggap AI sebagai alat yang perlu dikesan dan diasingkan, sebaliknya menyepadukan alat AI ke dalam proses pembelajaran.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita