Skip to main content

Singapura

Suspek terakhir kes rogol 'kongsi isteri' dihadapkan ke makhamah

Anggaran Waktu Membaca:
Suspek terakhir kes rogol 'kongsi isteri' dihadapkan ke makhamah

Gambar fail Mediacorp.

Diterbitkan : 15 Aug 2023 03:54PM Dikemas Kini : 15 Aug 2023 03:55PM
SINGAPURA: Suspek terakhir dalam beberapa kes rogol "kongsi isteri", yang dimulakan sekumpulan lelaki yang bertemu online, dibicarakan di Makhamah Tinggi pada Selasa (15 Ogos).

Lelaki berusia 44 tahun yang dinamakan "O" di dalam dokumen makhamah, menuntut dibicarakan atas pertuduhan bersubahat merogol dalam satu peristiwa antara 2010 dengan 2011.

Dia juga berdepan lapan pertuduhan menyebarkan gambar-gambar lucah di dalam forum Sammyboy, dan memiliki 118 video lucah. Semuanya sudahpun diserahkan semasa perbicaraan.

O merupakan yang terakhir daripada tujuh lelaki dalam rangkaian "kongsi isteri" yang ditangani di makhamah, dan yang pertama yang menuntut dibicarakan. Lima lelaki lain disabit kesalahan merogol, dan seorang lelaki atas kesalahan cuba merogol.

Dalang utama dalam kes ini, seorang lelaki berusia 42 tahun yang dikenali sebagai "J", dijatuhi hukuman 29 tahun penjara dan maksimum 24 sebatan rotan pada Mei.

J berpakat dengan lima lelaki lain untuk memberikan dadah kepada isterinya supaya beliau tidak sedarkan diri dan merogolnya dalam tempoh lapan tahun. Dia juga berpakat dengan dua lelaki lain untuk merogol isteri atau bekas isteri mereka.

Mangsa O dikatakan adalah isteri J. Semua pihak dalam kes itu tidak boleh didedahkan namanya atas perintah mahkamah.

BAGAIMANA TERTUDUH BERTEMU MANGSA

Pada April 2010, O memulakan satu rangkaian mesej di forum Sammyboy, yang kebanyakannya bertemakan seks.

Menurut dokument mahkamah, catatan pertama O mengajak lelaki-lelaki lain yang mempunyai fantasi serupa berkaitan dengan isteri mereka untuk menghubunginya dan berkongsi cerita, gambar dan video dengan cara yang lebih berselindung.

O dan J kemudian mula berhubung sekitar tahun yang sama menerusi Skype. J menyuruh O mendekati isterinya, dan memberi O butiran untuk menghubungi mangsa.

Dalam perbicaraan kes J sebelum ini, pihak mahkamah diberitahu bahawa dua lelaki menyokong tindakan O menghubungi isteri J untuk menguji sama ada isterinya akan terus setia atau akan membuat pilihan untuk menjalinkan hubungan sulit.

Selepas hampir sebulan berhubung, O bertemu dengan isteri J untuk makan malam.

Mereka juga bertemu pada 2 September 2010, untuk makan tengah hari. Mereka kemudian dengan rela melakukan hubungan seks di sebuah resort.

O tidak memberitahu J tentang pertemuan kedua itu dan meneruskan perbualan dengan isteri J secara online selepas itu.

Beberapa ketika selepas itu, J menghantar mesej kepada O mengatakan bahawa isterinya mabuk dan bertanya sama ada O mahu datang ke rumah mereka. O bersetuju.

Perincian tentang apa yang berlaku di bilik tidur utama flat itu dan fakta-fakta yang membawa kepadanya masih lagi dipertikaikan dan akan dibicarakan di makhamah.

Rangkaian kes rogol itu ditemui hampir sedekad kemudian pada Januari 2020, apabila isteri J membuat aduan polis selepas menemui gambar-gambar yang jelas menunjukkan dirinya dalam telefon suaminya.

O, yang merupakan seorang eksekutif kewangan pada masa itu, ditangkap di rumahnya pada bulan yang sama.

KES PENDAKWA

Timbalan Pendakwa Raya Gail Wong, Ang Siok Chen dan Lim Ying Min akan cuba membuktikan bahawa terdapat perjanjian antara O dan J untuk merogol, dan bahawa hubungan seks antara O dengan mangsa pada ketika itu bukan dilakukan atas kerelaan.

J akan memberi keterangan kepada pihak pendakwa, dan membina kesnya dengan keterangan daripada 28 saksi.

Menurut pendakwa raya, J akan memberi keterangan bahawa dia memberi dadah kepada isterinya sehingga dia tidak sedarkan diri, memaklumkan kepada O tentang keadaan isterinya dan mengajak O untuk melakukan hubungan seks dengan mangsa.

J akan memberi keterangan bahawa O bersetuju dengan tindakan dan kejadian tersebut dan bahawa O merogol mangsa yang tidak sedarkan diri di hadapan J.

Pihak pendakwa dijangka menunjukkan bukti bahawa, O dan J merancang untuk terus memberikan dadah kepada isteri J supaya O boleh terus melakukan hubungan seks dengannya, sehingga sekurang-kurangnya September 2016.

Dalam rangkaian perbualan ini, O juga didakwa menawarkan isterinya sendiri kepada J untuk melakukan hubungan seks, walaupun O tidak mendapat persetujuan isterinya.

Perbicaraan diteruskan sepanjang minggu ini.

Jika sabit kesalahan bersubahat untuk merogol, O boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda atau dikenakan sebatan rotan.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita