Skip to main content

Singapura

Suspek kes pedang di Buangkok pernah disiasat ISD; kongsi gambar kumpulan militan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lelaki yang diberkas kerana menghayun pedang di Buangkok pada Isnin(14 Mac) pernah disiasat oleh
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 2016 selepas dia mengongsikan gambar kumpulan-kumpulan militan online seperti kumpulan Izz ad-Din Al-Qassam, menurut agensi tersebut pada Selasa (15 Mac).

ISD mengenal pasti suspek sebagai lelaki warga Singapura, Fadhil Yusop, berusia 37 tahun. Menurut ISD, Fadhil melaungkan "Allahu Akbar" semasa kejadian di Buangkok.

Polis menerima beberapa panggilan bagi meminta bantuan pada petang semalam (14 Mac) selepas seorang lelaki dilihat menghayunkan pedang di tengah-tengah Buangkok Crescent dan menghalang pergerakan trafik. Suspek menghayunkan senjatanya ke arah seorang lelaki di persimpangan trafik di depan pusat beli-belah Buangkok Square Mall sebelum beberapa orang awam lain menahannya.

BACA: Lelaki akan didakwa di mahkamah; guna pedang untuk serang orang, 5 kereta di Buangkok

BACA: Lelaki diberkas kerana hayun pedang ke arah orang awam, kereta di Buangkok

"Fadhil dipercayai bertindak sendirian. Siasatan awal setakat ini tidak menyifatkan kejadian itu sebagai satu tindakan pengganasan. Dia dipercayai mengambil beberapa pil yang tidak diketahui sebelum meninggalkan rumahnya bersama dengan pedang itu," menurut ISD.


Selepas disiasat pada 2016 kerana mengongsi gambar kumpulan-kumpulan militan online, Fadhil telah diberi amaran bertulis atas catatan media sosialnya, menurut ISD.

"Tiada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa dia menjadi radikal atau merancang untuk melibatkan diri dalam keganasan bersenjata," tambah ISD.

Pada 2020, Fadhil diberkas oleh polis selepas dia menghampiri Imam Masjid Al-Mawaddah membawa sebilah pisau.

"Siasatan bersama ISD dan polis pada ketika itu tidak menunjukkan serangan Fadhil ada kaitan dengan pengganasan," menurut agensi tersebut.

"Fadhil didapati telah mengambil sejumlah besar pil yang mengandungi dekstrometorfan (dextromethorphan), yang menyumbang kepada tingkah lakunya," tambah ISD.

Dia dihukum penjara selama sembilan bulan dan dua minggu dan dibebaskan pada Julai 2020 (selepas tarikh hukumannya diundurkan).

“Walaupun Fadhil dinilai sebagai tidak radikal, dia dirujuk untuk mendapatkan khidmat kaunseling agama selepas kejadian kedua ini sebagai langkah berjaga-jaga,” menurut ISD.

Fadhil akan didakwa di mahkamah pada Rabu (16 Mac) atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.

"ISD akan bekerjasama dengan pihak polis untuk menyiasat kejadian terbaru ini dan akan memberikan kemas kini dalam masa terdekat", dedah agensi tersebut.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita