Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Suspek insiden tikaman Gereja St Joseph dikenal pasti

Anggaran Waktu Membaca:
Suspek insiden tikaman Gereja St Joseph dikenal pasti

Pegawai polis dilihat di dalam Gereja St Joseph di Bukit Timah pada 9 Nov 2024. (Gambar: Jeremy Long/CNA)

Diterbitkan : 10 Nov 2024 01:27PM Dikemas Kini : 10 Nov 2024 01:29PM
SINGAPURA: Penyerang berusia 37 tahun yang menikam seorang paderi dengan sebilah pisau lipat di Gereja St Joseph di Upper Bukit Timah pada Sabtu (9 Nov), dikenal pasti sebagai Basnayake Keith Spencer.

Identiti tersebut dilaporkan oleh The Straits Times, yang memetik mereka yang biasanya mengunjungi gereja itu.

Mereka berkata bahawa lelaki itu pernah dilihat di gereja tersebut sebelum ini tetapi bukan seseorang yang sering mengunjungi Gereja St Joseph.

Mediacorp telah mengesahkan identiti penyerang, secara berasingan.

Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Sabtu menyatakan, penyerang terbabit mempunyai sejarah lampau bagi kecederaan serius dan penyalahgunaan dadah.

Basnayake sebelum ini disabit kesalahan menyebabkan kecederaan secara sengaja dan dijatuhi hukuman penjara setahun pada September 2019.

Pada Sabtu, Paderi Christopher Lee, yang merupakan Paderi Gereja St Joseph, ditikam semasa upacara misa.

Serangan itu berlaku di upacara misa kanak-kanak bulanan paroki, di mana kanak-kanak melaksanakan tugas yang biasanya dilakukan oleh orang dewasa. Kanak-kanak juga duduk di barisan hadapan pada acara itu, tetapi ianya terbuka kepada semua untuk hadir.

Mereka yang hadir di upacara tersebut, termasuk pasukan Respons Kecemasan Archdiocese, yang membantu untuk menahan penyerang itu, yang kemudiannya diberkas oleh polis.

Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Sabtu berkata, lelaki itu, yang merupakan rakyat Singapura berketurunan Sinhala, sebelum ini mengisytiharkan kepada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) bahawa dia beragama Kristian.

Polis telah menyatakan, berdasarkan siasatan awal, lelaki itu dipercayai bertindak sendirian. Pihak polis juga tidak mengesyaki serangan itu sebagai satu tindakan pengganasan, buat masa ini.

"Orang ramai digesa supaya bertenang dan mengelak membuat sebarang spekulasi kerana siasatan sedang dijalankan untuk menentukan motif di sebalik kejadian ini," tekan polis.

Empat senjata lain juga ditemui pada suspek itu, menruut polis.

Paderi tersebut, yang dikejarkan ke hospital dalam keadaan sedarkan diri, berada dalam keadaan stabil.

 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan