Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Suspek ditangkap selepas lelaki 41 tahun ditemui tidak sedar diri di kolong blok flat Clementi mati di hospital

Seorang lelaki berusia 50 tahun ditangkap pada Isnin (21 Okt) kerana disyaki terlibat dengan kematian seorang lelaki 41 tahun, yang ditemui tidak sedarkan diri di kolong blok flat HDB di Clementi.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 50 tahun ditangkap pada Isnin (21 Okt) kerana disyaki terlibat dengan kematian seorang lelaki 41 tahun, yang ditemui tidak sedarkan diri di kolong blok flat HDB di Clementi.

Polis dimaklumkan mengenai kes itu yang berlaku di Clementi Avenue 4 pada pukul 5.00 petang.

Lelaki berusia 41 tahun itu dibawa ke hospital, di mana beliau kemudian meninggal dunia.

"Seorang lelaki, 50 tahun ditahan di tempat kejadian dan diberkas berhubung kes itu. Siasatan awal mendapati kedua-duanya saling mengenali satu sama lain," menurut polis sambil menambah siasatan masih dijalankan.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan ia menerima panggilan meminta bantuan di Blok 311B Clementi Avenue 4 pada sekitar pukul 5.00 petang.

Blok itu adalah sebahagian daripada Trivelis, iaitu sebuah pembangunan HDB di bawah Skim Reka, Bina dan Jual (DBSS).

Gambar yang dipetik oleh seorang pembaca Mediacorp menunjukkan kawasan itu dihadang polis dan terdapat beberapa pegawai di tempat kejadian. Seorang individu dilihat sedang melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR).

Menurut SCDF, lelaki itu dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong.

Seorang lagi lelaki dinilai mengalami cedera ringan oleh seorang anggota SCDF dan beliau enggan dibawa ke hospital.
TERDENGAR SUARA JERITAN

Seorang penduduk di blok 311C bersebelahan tempat kejadian memberitahu Mediacorp bahawa beliau terdengar bunyi jeritan pada kira-kira pukul 5.00 petang.

Cik Corina Sim berkata pada awalnya beliau fikir ia suara jeritan kanak-kanak yang bermain di taman permainan namun tidak lama selepas itu beliau menyedari sesuatu yang tidak kena apabila terdengar seorang wanita menjerit meminta dipanggil ambulans.

Seorang lelaki juga kedengaran meminta seorang lagi individu supaya 'hentikan perbuatannya', kata Cik Sim yang berusia 29 tahun.

Apabila suara jeritan itu tidak berhenti, Cik Sim menjenguk luar tingkapnya lalu melihat seorang lelaki sedang mengejar seorang wanita yang berpakaian merah, dengan kedua-duanya berlari ke arah tempat letak kereta berhampiran.

Lelaki yang terbaring di kolong blok masih bergerak dan Cik Sim melihat tangan dan mukanya sedang berlumuran darah.
Tidak lama selepas itu, Cik Sim melihat seorang lagi wanita datang lalu melakukan CPR terhadap lelaki yang cedera itu.

"Tiba-tiba, beliau mula menjerit, meminta bantuan... Itu saatnya segala-galanya berubah. Saya turun (ke kolong blok), saya ingin bantu, tetapi apabila saya turun, ambulans, polis, semuanya sudah tiba," katanya.

Cik Sim menambah polis kemudian menahan seorang lelaki yang sedang memandu keluar dari tempat letak kereta, lalu mengarahnya keluar dari kenderaannya.

Pada kira-kira pukul 8.30 malam, Mediacorp melihat beberapa pegawai polis masih meletakkan label dan mengambil gambar bukti.

Mereka juga melakukan pencarian di kawasan rumput berhampiran.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan