Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Suspek disyaki jual butiran Singpass kepada penipu pada harga S$10,000 antara 78 individu disiasat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sejumlah 78 individu, yang berusia dalam lingkungan 17 dan 63 tahun, sedang disiasat kerana disyaki memberi butiran Singpass mereka kepada para penipu.

Siasatan awal mendapati sebilangan mereka dipercayai menjual butiran Singpass pada harga S$10,000 setiap satu.

Demikian didedahkan Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media pada Khamis (18 Apr).

"Butiran Singpass itu kemudian disalah guna untuk membuka akaun bank baharu dan mendaftar bagi talian telefon bimbit baharu. Kebanyakan individu tidak akan menerima bayaran yang dijanjikan daripada para penipu."

Yang lain pula disyaki menyediakan cara untuk individu mengakses akaun Singpass mereka, tanpa mengetahui siapa yang mereka berikan akses.

Seramai 46 lelaki dan 32 wanita diberkas menyusuli operasi penguatkuasaan antipenipuan bersama yang dijalankan di merata negara antara 8 hingga 15 Apr. Sepuluh individu telah diberkas.

Operasi tersebut melibatkan para pegawai daripada Jabatan Ehwal Komersil (CAD) dan tujuh divisyen polis.

Kakitangan Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech), yang ditempatkan di CAD, turut menyokong operasi itu dengan menyediakan maklumat berkaitan siasatan tersebut.

Siasatan polis masih dijalankan.

NASIHAT POLIS

Polis menasihatkan orang ramai supaya menolak tawaran lumayan untuk menjana wang, yang kononnya menjanjikan pembayaran pantas dan mudah bagi penggunaan akaun Singpass mereka.

Ini demi mengelak daripada terlibat dalam kesalahan bersubahat. SPF menambah bahawa individu sedemikian akan dipertanggungjawabkan sekiranya didapati mempunyai kaitan dengan kes jenayah sedemikian.

Orang awam juga diingatkan supaya jangan mendedahkan butiran, kata laluan atau maklumat Pengesahan Data Tahap Kedua (2FA) Singpass mereka kepada individu yang tidak dikenali.

"Para penipu boleh menggunakan akaun Singpass untuk mengakses pelbagai kemudahan digital, termasuk membuka akaun bank, dompet online dan akaun kripto serta mendaftar bagi telefon bimbit, untuk meneruskan kegiatan penipuan dan aktiviti jenayah lain," jelas polis.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan