Susah payah anak S'pura Ashraf Bakar dalam bangunkan ladang kambing di Mersing
Meskipun mengalami hambatan, beliau tidak menyesal membangunkan ladang itu dan berasa optimistik mengenai masa depannya.
Encik Ashraf Bakar, seorang rakyat Singapura, membuka sebuah ladang kambing di Mersing.
MERSING: Apabila Encik Ashraf Bakar, seorang rakyat Singapura, membuat keputusan untuk menubuhkan sebuah ladang kambing, rakan-rakannya meluahkan keprihatinan dan berpendapat beliau tidak berfikir sedalam-dalamnya.
"Mereka tidak percaya. Kenapa saya ingin buka ladang kambing? Banyak lagi kerja di Singapura yang tidak memerlukan banyak usaha dan masa," kata usahawan berusia 29 tahun itu.
Ideanya tercetus melalui ibadah akikah yang mana lazimnya kambing dikorbankan apabila seseorang anak dilahirkan.
Beliau menceritakan bagaimana kakaknya, yang pada masa itu baru melahirkan sepasang anak kembar, tidak tahu siapa yang mengendalikan ibadah sebegitu di Singapura dan jika ia boleh dipercayai.
"Ada juga ibadah Korban yang kami melakukan setiap tahun. Terdapat kekurangan bekalan di Malaysia dan Singapura," jelas Encik Ashraf.
Ibadah Korban, yang dilakukan semasa Hari Raya Haji, seperti tahun ini melihat sekitar 3,700 kambing diimport dari Australia ke Singapura.
Walaupun daging Korban di Malaysia tidak boleh dibawa masuk ke Singapura, Ladang Aliyah Rizq membantu mengagihkan daging itu kepada mereka yang memerlukan di Malaysia bagi pihak pelanggan.
Encik Ashraf adalah antara rakyat Singapura yang semakin bertambah bilangannya yang meneroka ke tempat-tempat berlainan untuk menjalankan perniagaan dan tugas.
Beliau sudah "mengendalikan perniagaan" sejak beliau remaja lagi, katanya.
Misalnya dengan mencuba nasib di bidang restoran, pemasaran, perdagangan, hartanah dan rundingan.
Visi ladang kambing ini ditubuhkan secara tidak sengaja apabila ibu mertuanya menyokong ideanya dan bersama-sama mengumpulkan sumber-sumber mereka untuk melabur dalam membangunkan sebuah ladang di Mersing pada Januari tahun ini.
KOS TERSEMBUNYI PENTERNAKAN
Encik Ashraf mengira bahawa beliau boleh menjual kambingnya pada harga S$350 setiap satu berbanding sekitar S$500 bagi seekor kambing dari Australia.
Dengan harapan yang cerah, beliau menyasarkan untuk menjual 100 kambing menjelang Hari Raya Haji ini.
Isterinya, Cik Nabilah Bagarib, bagaimanapun pada awalnya sangsi tentang hasrat suaminya mahu mengendalikan sebuah ladang kambing.
Encik Ashraf perlu meratakan tanah, yang pada asalnya berhutan, dan mendapatkan bekalan elektrik dan air ke ladang itu.
Beliau kemudian berdepan dengan masalah oleh seorang kontraktor yang melenyapkan diri separuh jalan semasa pembinaan dan lebih daripada itu, mereka terlebih belanja.
"Jadi kami perlu berbelanja sekitar 30 hingga 40 peratus lebih banyak," katanya, yang memberitahu beliau dan keluarga berbelanja sekitar S$38,000 bagi ladang tersebut sejauh ini.
HAMBATAN TETAPI TIADA KESALAN
Memburukkan lagi keadaan, enam kambing beliau mati, menelan kos tambahan sekitar S$1,300; dan mereka perlu menangani isu dengan para pekerja yang tidak jujur dan tidak cekap.
Dua daripada mereka juga diberkas polis di ladang itu kerana menyalah guna dadah.
Demi mencari pendapatan yang lebih mantap, beliau menyasarkan restoran-restoran dan syarikat katering di Malaysia sebagai pembekal - tetapi hanya mendapat sebuah restoran untuk menjadi pembekal.
Kebanyakan kedai F&B lain dihubungi Encik Ashraf lebih senang dengan daging beku kerana ia lebih murah.
Encik Ashraf berkongsi bahawa berbekalkan pengalaman yang lalu, beliau sepatutnya memberi lebih banyak usaha dalam pemasaran bagi khidmat ibadah Korban. Mereka terlalu tergesa-gesa membangunkan ladang berkenaan.
Beliau mempunyai idea-idea lain untuk memperbaiki perniagaan penternakan kambingnya, termasuk konsep penginapan - mengubah kontena menjadi pondok kampung supaya para pelanggan dapat tinggal di tapak itu.
Meskipun mengalami hambatan, beliau tidak menyesal membangunkan ladang itu dan berasa optimistik mengenai masa depannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.