Skip to main content

Singapura

'Susah belajar tulisan Jawi' - tanggapan ini sukarkan lagi usaha lestarikannya

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 19 Nov 2025 04:55PM Dikemas Kini : 03 Dec 2025 03:30PM
SINGAPURA: Salah tanggap masyarakat bahawa Jawi itu sukar dipelajari masih menjadi antara penghambat untuk sistem penulisan itu kembali mekar dan digunakan secara meluas.

Ini meskipun ia kian diminati, menurut pemantauan pengkaji tulisan Jawi, Dr Hirman Mohamed Khamis.

Beliau berkongsi pandangan itu dalam pembentangan di Seminar Jawi anjuran Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri pada Ahad (16 Nov).

“Cabaran untuk mengembalikan Jawi kepada pangkuan masyarakat adalah sikap salah sangka masyarakat yang menganggap Jawi sangat susah. Ia sebenarnya mudah dipelajari, dan banyak cara yang seronok yang boleh kita gunakan untuk ajar Jawi seperti permainan komputer atau aplikasi. Ia mesti digalakkan oleh semua masyarakat tidak kira bangsa untuk belajar kerana ianya indah,” kata Dr Hirman.

“Realitinya, Jawi semakin diminati tetapi bukan cepat untuk kembali. Banyak usaha perlu dilakukan. Jawi adalah sesuatu yang kita boleh lihat pada masa akan datang sebagai berpotensi untuk masyarakat majmuk kita, rakyat yang berbeza kaum tetapi bersatu padu tetapi ada juga potensi untuk komersil dan membangunkan produk-produk untuk mendatangkan ekonomi," tambahnya.
Related article image
Para anggota panel Seminar Jawi anjuran Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri.
Seminar yang bertajuk "Memartabatkan Jawi, Warisan Melayu Islam" yang diadakan di dewan HomeTeamNS Khatib juga mengupas bagaimana sistem penulisan itu pernah menjadi wadah intelektual di Nusantara.

Di Singapura misalnya, Dr Hirman berkata sejarahnya banyak bersangkut paut dengan tulisan Jawi.

Ini termasuk penggunaannya dalam beberapa dokumen rasmi sejarah moden Singapura.

"Apa yang rakyat Singapura perlu tahu, Jawi sangat sebati dengan DNA Singapura. Dokumen pertama dalam sejarah moden Singapura iaitu perjanjian Raffles-Sultan Hussain - sudah ada Jawi yang tertera. Jawi juga ada di tugu-tugu utama di bandar Singapura seperti Tugu Peringatan Lawatan Raja Siam," jelas Dr Hirman.

TULISAN JAWI – CETUSAN INTELEKTUALISME ALAM MELAYU

Pihak penganjur seminar tersebut juga berharap para peserta dapat menyedari nilai Jawi, melebihi sekadar satu sistem penulisan.
Related article image
Petikan gambar pembentangan pengkaji tulisan Jawi, Dr Hirman Mohamed Khamis.
Ia dihadiri oleh hampir 800 pelajar Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri, Kordova dan Andalus.

"Tujuan utama adalah untuk memaklumkan kepada mereka bahawa Jawi bukan sekadar tulisan, tetapi ia adalah bahasa yang mencetuskan kepada ilmu dan intelektualisme di alam Melayu, jaringan kepada kitab-kitab yang boleh mereka kenali untuk menghayati sejarah dan agama. Jadi tidak cukup mereka didedahkan kepada tulisan Rumi tetapi Jawi sebagai identiti yang perlu diketengahkan kepada mereka," kata Pengarah Eksekutif Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri, Mas'udin Syarifuddin.

"Bahasa Melayu awalnya dituliskan dalam bahasa Jawi. Dalam Al-Quran pula, bahasa Arab. Mengetahui bahasa Jawi, dengan mudahnya orang akan mengenali bahasa Arab. Itu yang kita harapkan juga. Apabila para pelajar belajar Jawi, mereka akan sebenarnya mempelajari huruf-huruf Arab, jadi pelajaran akan lebih berkesan dan efektif," tambahnya.

Selain itu, penganjuran seminar itu juga bermatlamat untuk memperkasakan kedudukan tulisan Jawi, dengan meneliti peranan kritikalnya merentasi sejarah dan konteks kontemporari.
Related article image
Para pelajar Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri di Seminar Jawi (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Dalam ucapannya, tetamu kehormat, Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Zhulkarnain Abdul Rahim berkata memartabatkan Jawi adalah antara usaha untuk menyambung semula akar, ilmu, maruah dan identiti masyarakat dalam konteks Singapura yang majmuk dan moden.

"Ia (Jawi) membuka pintu kepada lautan ilmu yang luas bagi masyarakat kita. Kita tidak membina daripada dasar yang rendah tetapi kita membina atas ilmu yang yang kaya oleh masyarakat dan generasi yang terdahulu daripada kita," kata Encik Zhulkarnain.
Related article image
Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri akan mengendalikan satu lagi seminar Jawi pada Sabtu ini (22 Nov).
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita