Skip to main content

Singapura

Suruhanjaya Keselamatan Online SG ambil tindakan terhadap catatan TikTok kaitkan wanita dengan peletakan jawatan Dr Faishal

Suruhanjaya Keselamatan Online Singapura (OSC) mengambil tindakan terhadap catatan di TikTok yang mengaitkan seorang wanita dengan peletakan jawatan Dr Muhammad Faishal Ibrahim daripada politik selepas mendapati terdapat aktiviti online yang berbahaya.

Anggaran Waktu Membaca:
Suruhanjaya Keselamatan Online SG ambil tindakan terhadap catatan TikTok kaitkan wanita dengan peletakan jawatan Dr Faishal

Suruhanjaya Keselamatan Online Singapura (OSC) mengambil tindakan terhadap catatan TikTok yang mengaitkan seorang wanita dengan peletakan jawatan Dr Muhammad Faishal Ibrahim daripada politik. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 29 Jul 2026 12:59PM
  • Suruhanjaya Keselamatan Online Singapura (OSC) bertindak terhadap catatan TikTok yang mengaitkan seorang wanita secara salah dengan peletakan jawatan Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
  • Catatan tersebut telah dipadam selepas OSC menerima aduan dan mendapati terdapat aktiviti online berbahaya, manakala wanita terbabit menafikan kaitan melalui Instagram.
  • OSC sedang menyiasat beberapa kandungan lain berkaitan laporan sama dan akan mengambil tindakan jika perlu.
  • Sejak mula beroperasi pada 29 Jun, OSC telah menerima sekitar 200 laporan mengenai kegiatan online berbahaya dan menyediakan saluran bantuan kepada mangsa.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Suruhanjaya Keselamatan Online Singapura (OSC) mengambil tindakan terhadap catatan di TikTok yang mengaitkan seorang wanita dengan peletakan jawatan Dr Muhammad Faishal Ibrahim daripada politik selepas mendapati terdapat aktiviti online yang berbahaya.

Menurut OSC, catatan tersebut sudah tidak lagi boleh diakses setakat petang Selasa (28 Jul), semasa menjawab pertanyaan Mediacorp pada Rabu (29 Jul).

Wanita yang menjadi sasaran dakwaan tersebut sebelum ini menjelaskan menerusi catatan di Instagramnya bahawa beliau telah dikenal pasti secara salah dan dikaitkan dengan kes berkenaan.

Dr Faishal meletak jawatan sebagai pemegang jawatan politik pada 20 Julai selepas interaksinya secara online dengan seorang wanita didapati tidak memenuhi piawai yang diharapkan bagi penyandang jawatan politik.

OSC menyatakan pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu sehari sebelumnya, yang merujuk kepada beberapa kandungan termasuk catatan TikTok tersebut.

"Selepas menilai aduan itu dan menentukan bahawa kegiatan online yang berbahaya telah berlaku, OSC mengambil tindakan terhadap catatan berkenaan, yang sudah tidak lagi boleh diakses setakat petang semalam," menurut suruhanjaya tersebut.

OSC menambah bahawa pihaknya sedang menyiasat beberapa kandungan lain yang dikenal pasti dalam laporan sama dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika perlu.

Bagaimanapun, suruhanjaya itu tidak mendedahkan bentuk kandungan lain yang sedang disiasat.

OSC, yang mula beroperasi pada 29 Jun lalu, menyediakan saluran khusus untuk mangsa kegiatan online yang berbahaya mendapatkan bantuan.

Suruhanjaya berkenaan menilai aduan, laporan serta bukti yang dikemukakan mangsa dan boleh mengarahkan kandungan sedemikian dipadam dan diturunkan dengan segera jika perlu.

Buat masa ini, OSC mengendalikan lima kategori kegiatan online berbahaya, termasuk gangguan online, pendedahan maklumat peribadi tanpa kebenaran, menghendap secara online, penyalahgunaan imej intim serta penyalahgunaan imej kanak-kanak.

Menteri Undang-Undang Edwin Tong sebelum ini berkata kira-kira 200 laporan berkaitan kegiatan online yang berbahaya telah diterima oleh OSC sejak ia mula beroperasi.

Mediacorp telah menghubungi TikTok untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang catatan tersebut.
Sumber : CNA/FD/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita