Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Suriani Muhamed Ishak, Khairulazmi Iswahyudi antara 125 penerima Anugerah Merit Jururawat 2022

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA:  Seramai 125 jururawat diiktiraf Kementerian Kesihatan dengan Anugerah Merit Jururawat hari ini (6 Julai). 

Para penerima anugerah tahun ini menerima pingat yang perlu dipakai sebagai sebahagian daripada pakaian seragam mereka berserta hadiah wang tunai bernilai S$1,000.

Dua daripada penerimanya ialah Cik Suriani dan Encik Khairulazmi. 

HASILKAN GARIS PANDUAN URUSKAN MAYAT PESAKIT COVID-19

Apabila COVID-19 melanda negara ini, tidak siapa yang dapat menjangkakan sejauh mana wabak itu akan menular.

Namun, para pegawai barisan hadapan khususnya para doktor dan jururawat di hospital perlu bersiap sedia untuk menghadapi senario paling buruk yang boleh berlaku iaitu kematian.

Di situlah, Jururawat Klinisian Cik Suriani Muhamed Ishak, 55 tahun, mengambil langkah proaktif untuk menghasilkan garis panduan tentang cara-cara menguruskan pesakit-pesakit yang meninggal dunia akibat COVID-19. 

Garis panduan sebanyak tiga muka surat itu juga lebih terperinci berbanding pengurusan kematian biasa.

"Pada mulanya bila kita terima panggilan daripada jururawat, dia kata ada kematian akibat COVID-19 seperti ketakutan sebab kalau boleh saya tak nak menghadapinya kerana ia pertama kali bagi saya dan saya juga baru untuk  menghadapinya tapi, saya buat yang terbaik," kata Cik Suriani.

Dengan protokol itu juga, ia melancarkan lagi proses pengurusan dengan selamat. 

Prihatin dengan keluarga seseorang pesakit COVID-19 juga, Cik Suriani akan memberikan kata-kata semangat untuk meringankan kesedihan yang dirasakan.

"Kadang-kadang kematiannya secara mengejut. Dan kita perlu beritahu (keluarga) yang oleh kerana COVID-19, mereka tidak boleh menyentuh jenazah itu tapi kita berikan cara lain. 

"Kita boleh doa, bacakan Al-Fatihah, berikan semangat dari segi itu. Kita boleh ikhtiar dalam cara lain. Saya rasa itu sahaja sokongan yang saya boleh berikan,” kata Cik Suriani.

Sepanjang 34 tahun berkhidmat di Hospital Besar Singapura (SGH), Cik Suriani sudah melalui pelbagai pahit getir dalam tugasnya.

Beliau bermula kerjayanya di unit pediatrik pada 1988 selepas tamat sekolah menengah, beliau ditawarkan melanjutkan pelajarannya di luar negara dalam bidang neurosains.

Walaupun pada awalnya kurang berminat dalam bidang kejururawatan, Cik Suriani kuatkan semangat dan berkat doa orang tua dan sokongan keluarga, beliau berjaya bertahan hingga ke hari ini. 

Bahkan, beliau boleh berbangga kerana dua dari lima anaknya juga mengikut jejaknya dalam bidang yang sama.

(Cik Suriani Muhamed Ishak, Gambar: Syawal Yusoff)

Bagi Cik Suriani, beliau akan terus berkhidmat selagi 'tulang masih kuat, dan masih diperlukan'.

"Kejururawatan adalah satu perjalanan yang saya sangat nikmati. Dari segi kerohanian pun ada, dan pada masa yang sama, saya mempelajari banyak perkara. Setiap hari adalah pengalaman baru dalam bidang kejururawatan," ujar Cik Suriani. 

Bagi beliau, kepuasan dapat dirasakannya apabila melihat para pesakitnya sembuh dan dibenarkan pulang.

CEKAL HATI SESUAIKAN DIRI, WAKTU DEMI TUGAS DAN KELUARGA

Seorang lagi jururawat yang mempunyai azam yang kuat untuk menimba ilmu dan kemahiran baru ialah Pembantu Jururawat Klinisian, Khairulazmi Iswahyudi, 39 tahun.

(Encik Khairulazmi Iswayhudi, Gambar: Syawal Yusoff)

Sepanjang 18 tahun dalam bidang kejururawatan, beliau sudah merasakan pelbagai aspek tugas tersebut bermula dari sebuah rumah penjagaan, hingga ke wad ortopedik di SGH.

Ketika keadaan penularan koronavirus semakin hebat, wadnya terpaksa diubah menjadi sebuah wad Penyakit Pernafasan Akut (ARI).

"Apabila saya bermula di SGH sebagai jururawat ortopedik, saya betul-betul tidak tahu apa-apa mengenainya tapi saya sesuaikan diri dan saya cuba lakukan.

"Jadi semasa wad kami diubahkan kepada wad ARI, ia sedikit mencabar kerana daripada bidang pembedahan seperti apa yang saya telah pelajari, saya terpaksa tukar kepada bidang perubatan, ia perlukan banyak penyesuaian. Jadi saya dan teman-teman sekerja saling mendorong satu sama lain,” kata Encik Khairulazmi yang sudah 13 tahun berkhidmat di SGH.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Lazimnya, tugas jururawat itu dibahagi-bahagikan kepada syif siang dan malam.

Namun, demi tanggungjawabnya sebagai seorang anak, Encik Khairulazmi sanggup berkorban dan bekerja syif malam sahaja agar dapat menjaga orang tuanya di siang hari.

“Bekerja pada syif malam adalah pilihan yang saya lakukan untuk ibu bapa saya kerana mereka perlukan anak-anak mereka pada siang hari. Adik-beradik saya boleh bekerja pada siang hari dan ada pada waktu malam. Jadi melihat kejururawatan ada syif malam tetap, saya mengambil peranan ini," jelas Encik Khairulazmi, anak kedua daripada tiga beradik.

"Saya bersyukur, waktu bertugas banyak membolehkan saya menjaga ayah saya," tambahnya.

(Encik Khairulazmi Iswayhudi, Gambar: Syawal Yusoff)

SIFAT BELAS IHSAN SEORANG JURURAWAT 'PENTING' DAN 'TIADA GANTINYA': ONG YE KUNG

Dalam ucapannya di majlis anugerah itu, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung menyanjungi semangat dan pengorbanan para jururawat sepanjang dua tahun menangani COVID-19 dan menyifatkan mereka sebagai tulang belakang sistem jagaan kesihatan.

"Pertarungan yang berlarutan ini tidak pernah dijangkakan untuk sistem jagaan kesihatan kita namun para jururawat berjaya mengharungi ujian itu dengan ramai yang melakukan lebih daripada tugas biasa dan sumbangan anda itu sangat dihargai," kata Encik Ong.

Beliau menarik perhatian, sifat belas kasihan para jururawat semasa krisis itu yang dikatakan sebagai 'penting' dan 'tiada gantinya'.

"Bukan semua orang boleh menjadi tempat bergantung apabila orang tersayang sedang berkecamuk atau kekeliruan. Bukan semua orang boleh membawa ketenangan kepada pesakit atau orang tersayang mereka semasa waktu ketidaktentuan. Bukan semua orang boleh membuat seseorang pesakit tersenyum semasa detik paling rendah mereka, atau melihat masa depan dengan optimisme sedang beliau mendapatkan semula tenaga.

"Dalam krisis yang mengasingkan seperti COVID-19, sifat belas kasihan para jururawat memberikan semangat, memberi keselesaan dan tidak ternilai,"tambah Encik Ong.

Acara tahunan itu kembali diadakan secara fizikal di Pusat Konvensyen Suntec City, selepas dua tahun diadakan secara maya.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan