Suri rumah untung S$1,300 seorang dalam 2 minggu saja dengan jual kuih. Ini caranya…
Mereka ini sekumpulan suri rumah Melayu dari keluarga-keluarga berpendapatan rendah. Tetapi, dalam tempoh sesingkat dua minggu sahaja, mereka mampu meraih pendapatan sebanyak S$1,300 seorang!
SINGAPURA: Mereka ini sekumpulan suri rumah Melayu dari keluarga-keluarga berpendapatan rendah. Tetapi, dalam tempoh sesingkat dua minggu sahaja, mereka mampu meraih pendapatan sebanyak S$1,300 seorang! Dengan hanya menjual kuih seperti biskut raya.
Siapa antara para pelanggan mereka? Ia termasuklah syarikat-syarikat korporat.
Berapa banyak kuih mereka jual? Lebih 2,700 botol kuih terjual semasa perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini.
Semua itu berjaya dilakukan setelah para suri rumahtangga itu mengikuti kursus membuat kuih dan kemahiran berniaga anjuran Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Timur Laut.
(Kumpulan pertama program 'Heart Bakers' di bazar Hab Tampines Kita sempena Tahun Baru Cina.)
Melihat bahawa inisiatif mengupaya para suri rumah seperti itu membuahkan hasil yang menggalakkan, CDC tersebut terdorong untuk menganjurkan sekali lagi program dipanggil ‘Heart Bakers’ itu.
Kali ini, 20 peserta lain dengan profil serupa sudahpun berdaftar bagi mengikuti program percuma itu untuk belajar membuat kuih dan kemahiran berniaga.
Kumpulan kedua ini juga akan mengambil tempahan dari syarikat-syarikat korporat semasa musim Hari Raya menjelang Jun ini. Sesi mencuba kuih yang mereka buat akan diadakan pada 20 April.
APA DAN KEMAHIRAN MANA DIAJARKAN KEPADA PARA PESERTA?
Sememangnya, bukan mudah untuk memulakan perniagaan dari rumah dan ia memerlukan lebih daripada sekadar kemahiran memasak.
Kini di tengah-tengah ledakan media sosial, menggunakan wadah tersebut untuk memasarkan hasil perniagaan, boleh dianggap sebagai satu kemestian.
Kreativiti, pemilihan warna gambar-gambar yang dimuat naik di media sosial serta waktu yang tepat untuk memasarkan jualan di platform-platform media sosial, perlu diambil kira.
Itulah antara perkara penting yang perlu seorang peniaga pertimbangkan untuk memanfaatkan media sosial sepenuhnya.
Oleh sebab itu, program 'Heart Bakers @ North East CDC' memastikan pesertanya tidak hanya menimba kemahiran memasak, tetapi juga pengetahuan tentang perniagaan yang sama penting untuk memulakan perniagaan dari rumah.
(Kumpulan pertama 'Heart Bakers' terima tempahan daripada 25 syarikat korporat pada Tahun Baru Cina lalu.)
"Mereka diajar bagaimana mereka boleh memanfaatkan media sosial seperti Facebook, Instagram dan Internet supaya mereka dapat menggunakan ini sebagai alat pemasaran. Dengan itu, ia akan dapat membantu usaha kecil mereka untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan," kata Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol Encik Zainal Sapari yang turut hadir untuk beramah mesra dengan para peserta pada perasmian program tersebut petang tadi (2 Apr).
Memandangkan para peniaga juga perlu mempunyai sijil Kebersihan Makanan untuk menjual makanan kepada orang ramai, program ini juga akan menampung kos pensijilan bagi para peserta.
FARIDAH FASHA - IBU TUNGGAL 3 ANAK, ANTARA PESERTANYA
Peluang untuk meraih pendapatan tambahan inilah yang mendorong Cik Faridah Fasha, seorang ibu tunggal yang menyara tiga orang anak, untuk menyertai kursus berniaga dari rumah itu. Cik Faridah mendapat tahu tentang program ini melalui laman Facebook.
Walaupun beliau sudah memulakan perniagaan kecil-kecilan dari rumah sejak 2014, program yang sedang diikutinya itu ada kelebihannya yang tersendiri.
"Saya rasa kursus seperti ini dapat membantu saya mempertingkatkan lagi kemahiran saya dan mungkin dapat memperkembangkan perniagaan dan pendapatan saya," jelas beliau.
Cik Faridah kini masih mengambil tempahan kuih pada musim perayaan dan untuk majlis-majlis.
Bagaimanapun, beliau berazam untuk mengembangkan lagi perniagaannya. Beliau berharap, melalui pembelajaran tentang penggunaan media sosial dalam perniagaan yang dijalankan dalam program ini, beliau akan lebih tahu tentang selok-belok perniagaan.
TUNJUK AJAR CEF SITI MASTURA JADI PENDORONG
Antara tunggak program pengupayaan suri rumah itu petang tadi adalah Chef Siti Mastura yang mengajar para peserta resipi membuat MAC O' CHIPS, kuih yang boleh dijual sempena Lebaran nanti.
(Gambar: CDC Timur Laut/ Facebook)
Lebih bermakna lagi, Chef Siti bukan setakat mengajar kemahiran teknikal membuat kuih, malah meniupkan kata-kata semangat di mana beliau turut berkongsi tentang pengalaman beliau sendiri semasa baru-baru bermula sebagai seorang peniaga.
"Secara jujur, saya mula berniaga di bawah kolong blok. Masa itu belum lagi ada platform media sosial untuk saya pasarkan kuih muih saya," cerita Chef Siti yang juga perunding utama Institut Kulinari SSA.
"Kita mula kecil-kecil, ambil langkah kecil dulu. Mereka yang berazam pun perlu bersemangat kental. Tidak boleh mengeluh dan berhenti bila dah mula dapat banyak permintaan, macam orang kata hangat-hangat taik ayam," tambah beliau.
"Lagi pula sekarang dengan adanya platform media sosial, akan lebih mudah untuk mereka mula bertapak."
RAMAI TUNJUK MINAT MEMASAK, NAMUN KURANG TAMPIL UNTUK DAPAT LATIHAN UNTUK PERNIAGAAN
Institut Kulinari SSA menjadi hos program belajar memasak dan kemahiran niaga menerusi wadah digital petang tadi.
Dalam perkembangan lain, Encik Suhaimi Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kulinari SSA berkata, sejak institut itu ditubuhkan lebih setahun lalu, ramai yang tampil untuk belajar memasak.
"Sekitar 60 peratus peserta kami terdiri daripada anggota masyarakat kita. Ini satu tanda yang memberangsangkan," kata Encik Suhaimi.
Namun, BERITAMediacorp juga difahamkan peratusan peserta Melayu yang cuba mempelajari lebih daripada sekadar kemahiran memasak - iaitu kursus-kursus untuk menimba pengetahuan tentang perniagaan - jauh di belakang berbanding para peserta dari kaum-kaum lain.
Ini semestinya suatu perkara yang perlu diperbaiki.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.