Suri rumah SG jadi radikal angkara konflik Israel-Hamas; pekerja pembersihan diekstradisi ke Malaysia kerana sokong ISIS

Bangunan MHA di Singapura.
SINGAPURA: Wanita warga Singapura, Hamizah Hamzah, suri rumah berusia 56 tahun, telah dikenakan Arahan Sekatan (RO) pada bulan lalu selepas menjadi radikal angkara konflik Israel-Hamas.
Demikian menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dalam kenyataan medianya pada Isnin (10 Feb).
RO mengenakan syarat-syarat seperti tidak dibenarkan menukar tempat tinggal atau pekerjaan atau melakukan perjalanan ke luar negara tanpa izin ISD. Mereka juga tidak dibenarkan mengakses internet dan media sosial.
Radikalisasi Hamizah bermula selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Okt 2023, dedah ISD. Dia mengikuti dan menyokong operasi ketenteraan Axis of Resistance (AOR), iaitu sebuah rangkaian pertubuhan militan dan pengganas, dan dia kerap membaca kandungan tentang penderitaan warga Palestin.
Selepas menyertai kumpulan media sosial yang menyokong tindakan ganas AOR, dia semakin membenci Israel dan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dan percaya bahawa mereka harus dihapuskan. Dia menjadi "penyokong tegar" AOR, dan mewajarkan tindakan ganas ahlinya, seperti Hamas, Hiezbollah dan Houthi.
Dia juga sangat mengagumi jurucakap Hamas, Abu Obaidah, dan bersedia bercakap dengan para militan yang dikaitkan dengan AOR jika dia dihubungi.
ANCAMAN GANAS TERHADAP PENYOKONG ISRAEL
Oleh kerana dia tidak dapat menyertai konflik secara fizikal, Hamizah menyokong AOR secara online, memuat naik kandungan yang mengagungkan keganasan bersenjata dan mati syahid.
"Dia komited untuk mendapatkan sokongan bagi AOR, dan akan membuka akaun baharu setiap kali akaunnya ditutup disebabkan oleh kandungan ganas yang dimuat naik," kata ISD.
Hamizah juga membuat ugutan ganas terhadap penyokong Israel dan menggalakkan orang lain terlibat dalam keganasan bersenjata terhadap angkatan pertahanan negara itu. Dia menguruskan beberapa kumpulan media sosial pro-AOR, dengan keahliannya seramai antara 16 hingga lebih 1,000 anggota.
Menurut ISD, Hamizah "berbangga" menjadi pentadbir kumpulan-kumpulan itu, dan berasa bertanggungjawab untuk menyebarkan naratif pro-AOR dan anti-Israel.
Walaupun dia tidak berniat untuk melibatkan diri dengan keganasan bersenjata di dalam atau luar negara, sokongan padunya terhadap AOR dan operasi ganas mereka serta kesediaannya untuk menyebarkan propaganda tersebut menjadikannya satu keprihatinan terhadap keselamatan, menurut ISD.
Keluarganya tidak mengetahui tentang radikalisasinya, kerana dia telah menyembunyikan pandangan ekstremisnya kerana takut dia akan dikecam.
KEKURANGAN DANA HAMBAT LELAKI RAKYAT MALAYSIA MELAKUKAN PERJALANAN KE SYRIA, GAZA
Secara berasingan, seorang lelaki warga Malaysia berusia 34 tahun yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di Singapura telah diberkas di bawah ISA pada November tahun lalu dan diekstradisi ke Malaysia, dedah ISD.
Radikalisasi Saharuddin Saari bermula pada 2014 apabila dia menemui kandungan berkaitan ISIS yang terkait dengan konflik di Syria. Menjelang 2017, dia menjadi penyokong tegar ISIS, yang mengikrarkan taat setianya kepada pemimpin kumpulan tersebut, Abu Bakr al-Baghdad, yang meninggal dunia selepas dia meletupkan dirinya semasa serbuan tentera yang diterajui oleh Amerika Syarikat terhadap tempat persembunyiannya di Syria pada Oktober 2019.
Walaupun selepas kematian Baghdadi, Saharuddin terus menyokong ISIS dan perjuangan mereka, dan dia menanam hasrat untuk mati syahid dan membentuk khilafah ISIS di Asia Tenggara.
Dia mencari jalan untuk memasuki Syria dan menghubungi para militan ISIS untuk mendapatkan bimbingan. Seorang kenalan online yang memperkenalkan dirinya sebagai anggota ISIS Malaysia memberinya panduan mengenai laluan perjalanan, tetapi Saharuddin kekurangan dana untuk meneruskan hasratnya itu.
Selepas konflik Israel-Hamas meletus pada Oktober 2023, dia menunjukkan sokongannya kepada Hamas dan Briged Izz ad-Din al-Qassam (AQB) dan menimbangkan untuk pergi ke Gaza bagi bertempur bersama dengan para anggota Hamas. Sekali lagi, kekurangan kewangan menghalangnya daripada berbuat demikian.
Menurut ISD, Saharuddin tidak mempunyai rancangan untuk melakukan serangan terhadap Singapura atau telah meradikalkan orang lain di sini. Bagaimanapun, dia sanggup melakukan keganasan jika dia menganggap "Singapura berpihak kepada musuh Islam".
Menyusuli siasatan ISD, pas kerjanya telah dibatalkan dan dia diekstradisi ke Malaysia dan diserahkan kepada Cawangan Khas Malaysia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.