Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Suri rumah didakwa kerana dera amah; tidak bayar gaji tepat pada masa

Seorang wanita rakyat Singapura berusia 42 tahun yang dituduh mendera amahnya dan gagal membayar gajinya tepat pada masanya didakwa di mahkamah pada Rabu (28 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Suri rumah didakwa kerana dera amah; tidak bayar gaji tepat pada masa

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 28 Apr 2021 10:16PM Dikemas Kini : 28 Apr 2021 10:21PM

SINGAPURA: Seorang wanita rakyat Singapura berusia 42 tahun yang dituduh mendera amahnya dan gagal membayar gajinya tepat pada masanya didakwa di mahkamah pada Rabu (28 Apr).

Ummi Kalsum Ali berdepan 10 tuduhan di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing.

Dia didakwa menyerang pembantu rumah warga Indonesia, Sugiyem Bt Samad Radimah yang berusia 49 tahun, beberapa kali antara Februari dengan Oktober tahun lalu di flatnya di Pasir Ris Drive 6.

Mediacorp melaporkan bahawa dia dituduh menampar Sugiyem pada bahagian muka dan telinga serta menumbuk mata dan memukulnya menggunakan objek-objek termasuk penyangkut baju. Ini menyebabkan amah itu mengalami kerosakan penglihatan pada kedua matanya buat selama-lamanya.

Pada Oktober lalu, Ummi dipercayai menekap seterika panas pada bahagian lengan Sugiyem.

Dalam kenyataan medianya pada Rabu, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan ia dimaklumkan mengenai kes itu oleh Centre for Domestic Employees pada 28 Okt 2020.

"Ummi gagal menyediakan bantuan perubatan dengan segera dan secukupnya kepada Sugiyem setelah mangsa berkali-kali meminta Ummi untuk berjumpa doktor," menurut MOM.

Menurut polis, pihaknya menerima aduan pada 30 Okt 2020 mengenai seorang wanita yang mendera bekas pembantu rumahnya.

"Memandangkan pembantu rumah itu sudah pulang ke Indonesia apabila aduan itu diterima, usaha dijalankan untuk mengatur kepulangannya ke Singapura bagi membantu siasatan," menurut polis pada Selasa (27 Apr).

Sekiranya disabitkan dengan perlakuan buruk dengan mengabaikan tanggungjawab, Ummi boleh dihukum penjara sehingga 24 bulan, didenda sehingga S$20,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi setiap tuduhan gagal membayar gaji Sugiyem, dia berdepan hukuman penjara sehingga 12 bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah.

Dia juga dilarang menggajikan sebarang pembantu rumah hijrahan pada masa akan datang, menurut MOM.

"MOM memandang serius terhadap keselamatan dan kebajikan kesemua (pembantu rumah hijrahan) dan komited memperkenalkan garis panduan baru untuk memberi mereka lebih perlindungan daripada potensi didera," tambah kenyataan tersebut.

Para pembantu rumah hijrahan yang memerlukan bantuan boleh menghubungi talian MOM di 1800 339 5505 atau Centre for Domestic Employees di talian 1800 2255 233.

Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kesalahan yang disyaki melibatkan pembantu rumah hijrahan boleh melaporkan hal itu kepada MOM di mom_fmmd [at] mom.gov.sg atau hubungi talian 6438 5122.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan