Skip to main content

Singapura

Suri rumah diarah bayar ganti rugi S$25,000 berhubung komen fitnah kepada syarikat jual sayuran

Anggaran Waktu Membaca:
Suri rumah diarah bayar ganti rugi S$25,000 berhubung komen fitnah kepada syarikat jual sayuran

Komen fitnah berkenaan. (Gambar: Dokumen Mahkamah)

Diterbitkan : 10 Sep 2025 11:29PM Dikemas Kini : 10 Sep 2025 11:30PM
SINGAPURA: Seorang suri rumah diarah membayar ganti rugi sebanyak S$25,000 kerana memfitnah sebuah syarikat yang menjual hasil tumbuhan dari Taiwan.

Wanita itu dilaporkan membuat komen memperlekehkan sayur kangkung dan tauge yang dijual syarikat itu, termasuk mendakwa sayur-sayuran itu "beracun".

Menurut penghakiman yang diterbitkan pada Selasa (9 Sep), syarikat D'Season menyaman Cik Sophia Wu Chao Wen berhubung catatan yang dimuat naik ke laman Facebooknya pada 13 Mac 2022.

D'Season mempunyai pengkhususan dalam import, pengedaran, penjualan dan pemborongan barangan dan hasil dari Taiwan.

Dalam catatan itu, Cik Wu yang merupakan seorang suri rumah yang tinggal di Singapura tetapi berasal dari Taiwan, memuat naik gambar sayur kangkung dan tauge serta petikan skrin dari satu rencana dalam bahasa Cina yang mengandungi gambar taugeh.

Cik Wu menulis: "Sungguh mengejutkan, serius, ada yang berani menjual sayur hodoh ini! Mereka yang sudah membuat bayaran benar-benar malang! Apa 'sayuran organik dari Taiwan'?! Ia adalah sayuran beracun! Adakah kerana mereka tidak mempunya pengetahuan? Atau mereka sekadar tutup mata semata-mata kerana wang dan meminta semua orang memilih sayuran yang baik? Satu bungkusan sayuran yang mengandungi bahan-bahan buruk ini sudah toksik, dan mereka masih mahu para pelanggan membuat pilihan - ia hanya memperlekehkan nyawa manusia!! Sejujurnya, apabila saya pergi ke pasar, sayur-sayuran yang dilemparkan penjual untuk dimakan arnab lebih baik daripada ini!"

Petikan skrin yang dimuat naik adalah jawapan kepada soalan tentang sama ada seseorang boleh makan tauge kuning jika ia sudah bertukar menjadi hitam.

Jawapan dalam petikan skrin itu memberi amaran kepada orang ramai supaya jangan makan tauge itu, sambil mendakwa ia mengandungi toksin dengan 'kesan karsinogenik yang kuat' dan sesetengah 'penjual tidak jujur menggunakan bahan kimia untuk menjadikan tauge-tauge itu kelihatan lebih segar dan cantik'.

Cik Wu mempunyai 410 teman di Facebook yang boleh melihat catatan itu.

Ia mendapat 43 reaksi dan dia menulis komen dalam respons kepada
beberapa balasan yang diterimanya.

Apabila salah seorang wanita bertanya dari mana sayur-sayuran itu berasal, Cik Wu menjawab: "Dari peristiwa buah laici yang tidak boleh dilupakan."

Ini merujuk kepada satu peristiwa melibatkan syarikat itu apabila ia menjual buah laici pada Jun 2021 yang ternyata sudah terlalu masak.

Syarikat itu kemudian meminta para pelanggan supaya mengetepikan buah laici yang sudah terlalu masak dan menawarkan bayaran balik.

Apabila seseorang memberitahu Cik Wu bahawa "ini betul-betul tidak masuk akal" dan menasihatinya supaya "beli sahaja taugeh di Singapura", Cik Wu berkata "apa yang mereka jual adalah organik" dan kemudian menambah "mungkin boleh dimasukkan ke hospital".

Syarikat itu menghantar surat tuntutan kepada Cik Wu pada April 2022 bagi menuntut supaya dia memadamkan catatan itu dan menerbitkan catatan permohonan maaf.

Cik Wu berkata dia memadamkan catatan itu beberapa hari kemudian. Dia bagaimanapun tidak memohon maaf.

Syarikat itu memohon ganti rugi sebanyak sekurang-kurangnya S$35,000 dan pada awalnya tidak mengemukakan jumlah tertentu bagi ganti rugi khas. Kemudian, ia menuntut sekurang-kurangnya S$110,000.

Menurut syarikat itu, Cik Wu memfitnahnya, termasuk menulis kenyataan bahawa ia menjual sayur-sayuran beracun atau sudah rosak, bahawa ia menipu para pelanggan dan ia menambah bahan kimia kepada sayur-sayuran sambil mendakwa ia adalah organik.

Cik Wu menafikan dia memfitnah syarikat itu.

Dia berkata bahawa dia mungkin membuat andaian bahawa syarikat itu menambah bahan kimia kepada sayur-sayuran itu kerana syarikat itu tidak menghasilkan sayuran.

Dia juga menafikan berhasrat menukil syarikat itu apabila merujuk kepada peristiwa buah laici itu dan berkata dia sudah pun memadamkan catatan itu.

Cik Wu menambah dia mempercayai petikan skrin rencana mengenai tauge kuning kerana dia mempunyai seorang teman yang jatuh sakit dan hampir meninggal dunia kerana makan tauge yang sudah berwarna hitam.

Namun, syarikat itu menyatakan Cik Wu tidak mengenal pasti temannya atau memanggilnya sebagai saksi.

Hakim mendapati catatan itu berunsur fitnah, sambil berkata pembaca catatan itu akan membentuk pandangan bahawa penjual itu melakukan perniagaan secara tidak jujur atau tidak wajar, dan anggaran penjual itu lebih rendah pada pandangan individu yang wajar.

Hakim justeru mengarahkan Cik Wu supaya membayar ganti rugi S$15,000 kepada D'Season dan ganti rugi khas sebanyak S$10,000, dengan faedah ditetapkan pada 5.33 peratus setahun dari penghakiman hingga tarikh pembayaran.
Sumber : CNA/HA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita