Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Suratman Markasan lancar buku kumpulan puisi 124 penyair

Siapa tidak kenal, Encik Suratman Markasan - sasterawan mapan negara yang banyak menyumbang kepada dunia kesusasteraan dan seni Melayu. Nama beliau memang sudah terkenal dalam persada sastera seantero Nusantara.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Siapa tidak kenal, Encik Suratman Markasan - sasterawan mapan negara yang banyak menyumbang kepada dunia kesusasteraan dan seni Melayu. Nama beliau memang sudah terkenal dalam persada sastera seantero Nusantara.

Meskipun sudah berkecimpung lama dalam bidang itu, lebih tepat lagi lebih daripada 50 tahun, sebagai penyair, penulis cerpen dan novel, pada Jumaat (3 Jan) penulis sejati itu, melancarkan sebuah buku yang berjudul “Kesusasteraan Melayu Singapura: Kumpulan Puisi Melayu (1930-2015).”

Menariknya, buku itu bukan setakat menampilkan karyanya sahaja, malah ia turut mengumpulkan 124 penyair yang sudah berkarya sejak 1930-an lagi.

Pelancarannya berlangsung di Taman Warisan Melayu dengan dihadiri Setiausaha Parlimen Kanan, Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.

Turut hadir di acara itu ialah barisan pemimpin masyarakat Melayu/Islam; antaranya ialah CEO Yayasan Mendaki Cik Rahayu Buang, Pengerusi MESRA Cik Amatul Jameel Suhani, Pengasas MYF Ustaz Zahid Zin dan mantan pemimpin politik Encik Zainul Abidin Rasheed.

BUKU SEBAGAI BAHAN RUJUKAN SOSIO-BUDAYA

Memuatkan 300 sajak dan puisi, buku setebal 376 muka surat itu bukan sekadar menampilkan kekayaan bahasa sastera menerusi karya barisan penulis. Lebih daripada itu, ia turut merakam perjalanan sosio-budaya dan politik yang berlaku dari tahun 1930-an, sebelum kemerdekaan Singapura hingga tahun 2015, yakni secara keseluruhannya sepanjang 85 tahun.

Di sebalik setiap karya yang dikedepankan, penulisan mereka itu dibentuk dan didorong oleh keadaan semasa. Bagi merakam detik-detik penting itu, Encik Suratman sendiri membuat pencerahan dan analisa terhadap puisi yang dipilih beliau serta kekalutan yang berlaku pada zaman itu.

Saratnya kandungan dan mesej sosial yang dirakam dalam buku itu boleh menjadikannya sebagai salah satu daripada bahan rujukan bagi sosio-budaya masyarakat Melayu/Islam di sini.

Bagi memastikan buku itu dapat dinikmati sama masyarakat berbilang kaum di sini, penerbitnya, Yayasan Warisan Melayu (MHF) sedang dalam perancangan untuk menterjemahkan bahagian pencerahan Encik Suratman kepada bahasa Inggeris.

“Kekhuatiran pra dan pasca merdeka serta cabaran masa kini yang begitu bersangkut paut dengan perkembangan teknologi telah menghasilkan luahan kreatif yang begitu rencam.

“Saya pasti buku ini akan menjadi bahan rujukan yang penting dan bermakna kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk mengetahui pemikiran dan perkembangan masyarakat kita dari kaca mata kita sendiri,” tekan Prof Madya Faishal.

Barisan penulis mapan lain yang turut menyumbang kepada buku ialah Nadi Putra, Rasiah Halil dan Nadim Adam.

TINGKATKAN PELUANG KEPADA PENULIS

Berucap di hadapan 100 hadirin, tokoh sastera yang disegani ramai itu berkata beliau sedang dalam proses untuk membukukan hasil karya seterusnya.

Namun, sebagai seorang pengkritik sosial juga, Encik Suratman meluahkan dua kebimbangan beliau dalam arena kesusasteraan hari ini.

Pertama, ialah kurangnya penghayatan terhadap karya dan puisi Melayu dalam kalangan masyarakat.

Kedua, ialah kurangnya kerjasama antara pihak berkepentingan dengan penulis tempatan. Encik Suratman menyarankan lebih banyak peluang dan kerjasama diwujudkan bagi golongan tersebut, sementara jangkauan kepada golongan muda dipergiat. Beliau juga menggesa lebih ramai penulis Melayu mengambil inisiatif mereka sendiri untuk menterjemahkan karya mereka ke bahasa Inggeris.

Menerusi langkah itu, penulis masyarakat Melayu tegas beliau bukan sahaja akan diiktiraf di negara sendiri, malah di taraf antarabangsa juga.

Naskhah “Kesusasteraan Melayu Singapura: Kumpulan Puisi Melayu (1930-2015)” dijual pada harga $25.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan