Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Suratman Markasan, Hartinah Ahmad cipta sejarah dalam Hadiah Sastera Singapura 2022

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Usia bukan penghalang untuk mencapai kejayaan.

Itulah yang dibuktikan para pemenang Hadiah Sastera Singapura (SLP) tahun ini - sasterawan mapan Suratman Markasan, yang akan menyambut ulang tahunnya yang ke-92 menjelang akhir tahun ini, serta penulis Hartinah Ahmad, 68 tahun.

Setelah disenarai pendek sebanyak empat kali, Encik Suratman akhirnya berjaya memenangi kategori Bukan Fiksyen Kreatif menerusi karya beliau 'Mengasah Kalam Jilid 2'.



Beliau sekali gus mencipta sejarah sebagai pemenang paling berusia dalam anugerah itu di samping penulis dan sejarawan, Wang Gungwu yang juga menjangkau usia 92 tahun ini. .

"Perasaan saya tentu sekali bangga, puas hati kerana ini kali pertama saya diberi kemenangan oleh pihak Majlis Buku Singapura (SBC)," kongsi Encik Suratman bersama BERITAmediacorp.

MENELITI SASTERA MELAYU S'PURA

Buku beliau itu mengandungi kumpulan esei yang meneliti sastera Melayu Singapura dan antara lain memberi kritikan dan analisis terhadap karya para tokoh sastera dan antaranya ialah Masuri S.N.

"Saya sudah membuat kertas kerja yang panjang mengenai dari mula beliau menulis sehingga bukunya yang penghabisan," menurut Encik Suratman.

"Jadi saya lihat dalam buku-bukunya itu ada bermacam-macam tema. Daripada tema rasa kebangsaan sampai tema falsafah dan akhirnya tema agama," tambahnya lagi.

Karya itu menurut laporan pengadil "menunjukkan gaya yang mantap yang menyumbang kepada perkembangan kritikan sastera di Singapura".

SURATMAN MARKASAN SEDANG TULIS MEMOIR DAN NOVEL BARU


Tokoh sastera yang pernah menerima anugerah tertinggi Singapura dalam bidang seni iaitu Pingat Budaya akan terus berkarya.

Beliau merancang untuk terus menulis "selagi hayat dikandung badan".



Menurutnya, ada novel serta memoir tentang kehidupan beliau sejak kecil lagi, yang sedang ditulisnya.

"Saya tidak ada ingat ingin menjadi penulis. Saya ingin menyampaikan fikiran saya (sahaja). Bagaimana ingin menyampaikan fikiran kalau kita tidak menulis?" ujar Encik Suratman.

"Akhirnya saya menulis setelah saya membaca hasil-hasil penulisan penulis-penulis terkenal di Indonesia, Malaysia," tambah beliau.

GALAK PENULIS MUDA UNTUK BANYAK MEMBACA DAN KRITIK TULISAN SENDIRI

Encik Suratman juga sempat berkongsi nasihat buat para penulis muda Singapura iaitu untuk "banyak membaca".

"Dengan membaca baru kita dapat (tahu) sesuatu tentang apa yang orang lain katakan. Jadi apabila kita ingin menulis sesuatu, kita perlu lihat apa orang lain katakan. Tidak perlu sama dengan orang yang sudah menulis tetapi kita mencari sesuatu yang belum orang (lain) tulis," nasihat Encik Suratman.

"Sesuatu yang boleh mendatangkan fikiran yang mengembangkan dan penulis harus selalu cuba mengkritik tulisannya sendiri. Bandingkan di antara tulisannya dengan tulisan orang lain yang terkenal," tambah beliau.

HARTINAH AHMAD WANITA PERTAMA MENANG KATEGORI PUISI SLP

SLP tahun ini juga menyaksikan penulis wanita pertama menjadi pemenang kategori puisi dalam bahasa Melayu secara solo dalam sejarah anugerah itu.

Mawar di antara duri, Hartinah Ahmad, muncul sebagai pemenang dalam kategori itu dengan karya beliau berjudul 'Gandoura'.

Debaran jelas dilihat apabila nama beliau diumumkan sebagai pemenang.

Namun, perasaan syukur dirasakan penulis berusia 68 tahun itu.



"Saya rasa ini satu tanggungjawab yang besar untuk saya galas dan saya harap saya diberi kesihatan untuk terus menulis," kongsi beliau kepada BERITAmediacorp.

"Dengan dorongan teman-teman penulis yang lain, saya harap saya akan terus dapat melahirkan buku-buku yang baik," tambahnya lagi.

Karya beliau itu mengandungi isu-isu kemanusiaan dari kutipan kehidupan seharian.

Kisah yang disampaikan secara dramatik untuk memberi emosi dalam hasil-hasil karya dan elemen menduga minda pembaca juga ada dalam karya itu.

Penulis itu juga sebenarnya bukan baru dalam dunia penulisan.



Beliau sebelum itu pernah menulis lebih dari 150 lirik serta skrip drama untuk saluran TV SURIA sejak tahun 1982 lagi.

Cik Hartinah juga pernah memenangi Hadiah Sastera Singapura pada tahun 2016 dalam kategori yang sama tetapi pengiktirafan itu dikongsi dengan penulis Hamed Ismail dan Samsudin Said bagi karya yang dihasilkan bersama.

USIA BUKAN HAMBATAN; HARAP PENULIS WANITA BERANI CUBA MENULIS

"Pada saya usia itu bukan menjadi satu hambatan kerana saya juga bermula dari (usia) agak lewat dan saya masih terus menulis," ujar Cik Hartinah.

"Saya percaya ramai sekali bakat wanita-wanita di Singapura ini. Mungkin mereka kurang didedahkan dan saya harap mereka berani ke tengah, cuba menulis dan yang sudah menulis, jangan berhenti menulis," tambahnya lagi.



Setiap pemenang dalam 12 kategori itu menerima hadiah wang tunai S$3,000.

Mereka juga mendapat trofi khas buatan tangan dan kod hadiah yang sah digunakan selama 12 bulan di pelantar buku audio, StoryTel.

Sumber : BERITA Mediacorp/NJ/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan