Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Surat, kad Hari Raya jadi pengganti dek keluarga banduan tak dapat kunjung ke penjara

Tidak seperti tahun-tahun lalu, para anggota keluarga banduan tidak dapat melawat atau saling bertemu muka dengan mereka pada Hari Raya tahun ini, ekoran langkah-langkah ketat pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tidak seperti tahun-tahun lalu, para anggota keluarga banduan tidak dapat melawat atau saling bertemu muka dengan mereka pada Hari Raya tahun ini, ekoran langkah-langkah ketat pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Ternyata, kad Hari Raya dan surat menjadi wadah penting untuk para banduan meluahkan isi hati mereka kepada keluarga masing-masing.

Salah seorang banduan yang memanfaatkan peluang itu adalah seorang banduan wanita yang menulis sepucuk surat yang menyentuh hati buat anaknya yang tersayang sempena Hari Raya ini.

Ini antara kata-kata yang ditulisnya itu:
"Anakku, belaian jiawaku. Waktu berlalu tanpa pernah kita sedari namun pelukan sayang ibu tidak pernah kehilangan erti. Dakapan hangat ibu juga selalu menyertai... Hadapi tentangan dengan senyuman, setiap kesulitan dengan keihklasan. Raih bintang dengan penuh harapan."

Surat-surat seperti itu adalah antara isi sebuah hamper yang turut mengandungi barangan seperti kuih Raya, paket ketupat dan rendang serta baucar pasar raya, yang akan dikirimkan kepada 37 keluarga banduan merata negara mulai esok (20 Mei).

Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin terlibat sebagai sukarelawan dalam projek Pelita Hati.

Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin, merupakan antara orang yang menjadi sukarelawan membungkuskan hamper-hamper khas itu di bawah insiatif Pelita Hati.

"Saya berasa amat simpati dan rendah diri apabila membaca surat-surat dikirimkan oleh para pesalah kepada kelaurga mereka. Ini adalah detik-detik yang amat pedih kepada mereka, berjauhan daripada keluarga waktu Hari Raya ini," kata Encik Amrin kepada BERITAmediacorp.

Disebabkan pandemik COVID-19, golongan banduan tidak dapat bertemu dengan keluarga mereka - baik lawatan fizikal di penjara mahupun lawatan video.

Lantaran itulah projek Pelita Hati anjuran Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF), yang kini masuk tahun kedua, diharap menjadi jembatan untuk terus mengukuhkan hubungan pesalah dengan keluarga mereka.

"Projek Pelita Hati ini amat bermakna kepada kami kerana kami percaya ia dapat mengukuhkan siratulrahim antara seorang ayah, ibu dengan anak-anak mereka. Kami berharap projek ini sebagai sebuah pelita yang dapat menerangi dan memberi cahaya dalam kehidupan mereka," kongsi Setiausaha Kehormat HGEF Cik Haslinda Putri Harun.

Cik Haslinda yang juga adalah anak kepada Allahyarham Harun Ghani, mantan Anggota Parlimen dan pejuang antidadah, berharap usaha itu turut memberikan semangat kepada anak-anak pesalah itu apabila mereka memulakan sekolah selepas 1 Jun nanti. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan