'Supermoon' terakhir 2023 hiasi langit Singapura di tengah Pesta Bulan
Harvest Moon yang dilihat dari Woolands Avenue 5 pada 29 September 2023. (Gambar: A Kannan)
Bertepatan dengan perayaan itu, yang turut dikenali sebagai Pesta Bulan atau Pesta Kuih Bulan, 'supermoon' yang keempat tahun ini mula terbit dari timur pada jam 7.00 malam.
Memandangkan bulan mengambang berlaku paling hampir dengan ekuinoks September setiap tahun, dengan jagung dituai sekitar tempoh yang sama, bulan mengambang ini turut digelar sebagai 'Harvest Moon' atau 'Corn Moon', menurut kumpulan Facebook Stargazing Singapore pada Khamis (28 Sep).
Walaupun cuaca agak mendung semasa bulan terbit, pembaca Mediacorp A Kannan berjaya memetik gambar 'Harvest Moon' itu dari Woodlands.
Beliau berkata bahawa bulan boleh "dilihat dengan jelas" ketika pada sekitar 8.00 malam, dengan "awan sesekali melintasi dan melindungi bulan". Encik Kannan juga berkesempatan melihat planet Musytari atau 'Jupiter' di atas bulan sekitar jam 6.00 pagi Jumaat (29 Seb).
Beliau berkata bahawa bulan berada sekitar 361,800 kilometer (km) daripada bumi ketika gambar-gambar itu dipetik, sambil menambah bahawa ia "berada lebih dekat, bersinar lebih terang dan lebih besar berbanding bulan yang biasa kita lihat pada bulan-bulan lain".
Bulan itu, yang dijangka terbenam pada pagi Sabtu pada kira-kira jam 7.20 pagi, akan kelihatan 'kemerah-merahan', kata Encik Kannan.
Tiga supermoon yang berlaku tahun ini termasuk Bulan Buck pada bulan Julai, serta Bulan Sturgeon dan Bulan Biru pada bulan Ogos.
"Buat beberapa malam dalam tempoh ini, bulan gibbous terbit lebih awal berbanding bulan lain. Bulan akan digambarkan sebagai 'gibbous' apabila bulan lebih daripada separuh penuh, tetapi tidak terang sepenuhnya, apabila dilihat dari perspektif Bumi," kata Balai Cerap Pusat Sains pada hari Isnin.
"Ini mengakibatkan (sebuah) cahaya bulan yang terang pada awal petang, yang secara tradisinya banyak membantu para petani dan kru menuai tanaman musim panas mereka."
Harvest Moon turut dilihat oleh pemerhati bulan di seluruh dunia, dari Australia hingga ke Jerman.
'Supermoon' berlaku apabila orbit bulan berada pada jarak lebih dekat dengan Bumi, yang menyebabkan bulan kelihatan lebih besar dan terang daripada biasa.
Pemerhati bulan yang bertuah juga dapat menyaksikan planet Musytari, Zuhal dan Merkuri ketika memerhati Harvest Moon ini.
Walaupun 2023 menyaksikan empat 'supermoon' berturut-turut, kejadian bulan seperti ini tidak akan berlaku lagi sehingga hampir setahun lamanya.
'Supermoon' seterusnya, yang juga merupakan 'Harvest Moon', hanya boleh dilihat pada 18 September 2024, menurut data Time and Date.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.