Skip to main content

Singapura

'Supermoon' paling terang, dekat dengan Bumi hiasi langit SG bermula 7.34 malam

Anggaran Waktu Membaca:
'Supermoon' paling terang, dekat dengan Bumi hiasi langit SG bermula 7.34 malam

(Gamabr: CNA/ A Kannan)

Diterbitkan : 31 Aug 2023 04:18PM
SINGAPURA: Orang ramai berpeluang melihat fenomena ‘Bulan Raksasa Biru' atau supermoon kedua menghiasi langit Singapura bagi bulan Ogos, pada malam ini (31 Ogos).

Kehadirannya itu menandakan berakhirnya bulan Ogos yang amat dinanti-nantikan pemerhati bintang, dengan Bulan Sturgeon muncul pada 1 Ogos dan pancuran tahi bintang (meteor) Perseid berlaku pada 12 Ogos dan 13 Ogos.

Balai Cerap Pusat Sains sebelum ini berkata bahawa Bulan Biru dijangka menjadi supermoon paling terang dan paling dekat dengan Bumi pada tahun ini.

Supermoon ialah fenomena yang berlaku apabila bulan purnama mengelilingi pada jarak paling dekat dengan Bumi, menjadikannya kelihatan lebih besar dan lebih terang daripada biasa.

Balai cerap berkata Bulan Biru akan mula kelihatan pada 7.34 malam dari timur negara.
Related article image
(Gambar: CNA/A Kannan)
Walaupun supermoon mula kelihatan sejak beberapa hari kebelakangan ini, balai cerap berkata bahawa waktu optimum untuk melihatnya di Singapura adalah dari 9.00 malam pada Khamis.

Fenomena Bulan Biru akan mencapai kemuncaknya pada 12.51 pagi Jumaat dan terbenam pada 7.03 pagi.

"Seperti kebanyakan bulan purnama, ia boleh dilihat di mana-mana di Singapura selagi langit cerah dan menawarkan pemandangan yang tidak terhalang," kata balai cerap Pusat Sains.

Ia mengesyorkan kawasan terbuka seperti Bendungan Marina, Taman East Coast dan Southern Ridges yang menawarkan pemandangan supermoon lebih baik.

Satu lagi supermoon - yang terakhir daripada empat bulan yang boleh dilihat pada 2023 - dijangka pada akhir September.
Bulan Biru terakhir dilihat pada tahun 2020.

Meskipun namanya mungkin menimbulkan bayangan bulan berwarna biru, sebenarnya "Blue Moon" adalah istilah yang digunakan di negara-negara Barat untuk menggambarkan kejadian ketika bulan purnama muncul dua kali dalam satu bulan.

Ia sesuatu yang jarang berlaku setiap dua hingga tiga tahun.

Bagaimanapun, terdapat keadaan di mana bulan kelihatan biru, disebabkan oleh titisan air di udara, jenis awan atau zarah tertentu di atmosfera akibat malapetaka semula jadi seperti abu gunung berapi dan asap.

Ini dilihat semasa letusan gunung berapi Krakatau 1883 di Indonesia. Pada masa itu, zarah abu di udara menyebarkan cahaya merah dan bertindak sebagai penapis biru, menyebabkan bulan kelihatan biru.

 
Sumber : CNA/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita