Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Suntikan perangsang vaksin COVID-19 S'pura diperluas kepada warga 50-59 tahun

Individu berusia antara 50 dengan 59 tahun yang sudah menerima kedua-dua dos vaksin COVID-19 sekurang-kurangnya enam bulan lalu akan ditawarkan suntikan ketiga atau suntikan perangsang mRNA mulai 4 Oktober.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Sep 2021 07:44PM Dikemas Kini : 24 Sep 2021 09:40PM

SINGAPURA: Individu berusia antara 50 dengan 59 tahun yang sudah menerima kedua-dua dos vaksin COVID-19 sekurang-kurangnya enam bulan lalu akan ditawarkan suntikan ketiga atau suntikan perangsang mRNA mulai 4 Oktober.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (24 Sep).

Buat masa ini, Singapura hanya menawarkan suntikan ketiga vaksin COVID-19 kepada mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas, individu yang mempunyai sistem imun yang lemah atau sangat lemah dan yang menginap di kemudahan jagaan warga tua.

Keputusan untuk menyertakan golongan berusia antara 50 dengan 59 tahun dibuat menyusuli saranan daripada Jawatankuasa Pakar bagi Vaksinasi COVID-19.

Golongan dewasa itu mempunyai risiko lebih tinggi menghidap dua atau lebih penyakit, sekali gus berisiko mengalami sakit teruk berbanding individu yang lebih muda, menurut MOH.

"Memandangkan ramai yang sudah selesai rejimen penuh vaksinasi pada awal tahun, tahap perlindungan mereka mungkin sudah berkurangan," jelas kementerian itu.

"Dengan merangsang sistem imun penduduk kita akan dapat memastikan tahap perlindungan tinggi yang berterusan daripada penyakit teruk".

Mereka yang layak mendapatkan suntikan perangsang vaksin akan menerima SMS dengan pautan untuk membuat janji temu.

Mereka boleh membuat janji temu di mana-mana pusat vaksinasi, poliklinik atau Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) yang disenaraikan.

Setakat ini, 56 peratus warga senja yang dipelawa untuk menerima suntikan perangsang sudahpun membuat janji temu atau mendapatkan suntikan mereka. Setakat Khamis, hampir 91,500 warga tua sudah diberi suntikan perangsang.

DOS VAKSIN MODERNA LEBIH RENDAH BAGI SUNTIKAN 'BOOSTER'

Berdasarkan saranan daripada jawatankuasa pakar, MOH menyatakan pusat-pusat vaksinasi yang menawarkan vaksin Moderna akan memberi vaksin perangsang mulai esok (25 Sep), dengan jumlah dos 50mcg.

Ini separuh daripada dos 100mcg yang diberikan dalam suntikan sebelum ini, jelas MOH.

MOH menyatakan jawatankuasa pakar menyarankan dos yang lebih rendah berdasarkan bukti bahawa dos 50mcg "mencukupi untuk merangsang tindak balas imun dengan ketara".

Ia menambah "tiada keprihatinan dari segi keselamatan" bagi mereka yang sudah menerima vaksin perangsang Moderna dengan dos 100mcg.

Dos sebanyak 100mcg bagi vaksin Moderna akan terus digunakan dalam rejimen dua dos pertama, dan tiga dos pertama yang dipertingkat bagi individu dengan sistem imun yang lemah, tambah MOH.

Bagi vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty pula, MOH menyatakan tiada perubahan pada dosnya baik bagi dua suntikan awal ataupun suntikan perangsang. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan