Suntikan geran S$70 juta untuk reka semula pekerjaan; NTUC sasar 2,500 CTC jelang 2025
Syarikat-syarikat dengan rancangan konkrit untuk merubah tenaga kerjanya kini boleh memanfaatkan geran S$70 juta.
SINGAPURA: Syarikat-syarikat dengan rancangan konkrit untuk merubah tenaga kerjanya kini boleh memanfaatkan geran S$70 juta.
Geran itu bertujuan mereka semula pekerjaan dan meningkatkan kemahiran para pekerja.
Ia diumumkan sedang Gerakan Buruh menetapkan sasaran baru bagi membentuk sekurang-kurangnya 2,500 Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) menjelang 2025.
Jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding sebanyak 1,000 CTC yang disasarkan menjelang tahun ini.
"Ini akan memberikan NTUC sumber-sumber tambahan untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat CTC, serta membiayai bersama saranan meningkatkan daya penghasilan, mereka semula pekerjaan, meningkatkan kemahiran para pekerja dan meningkatkan prospek kerja.
"Dengan membantu setiap pekerja menjadi lebih baik melalui latihan, menjadikan setiap pekerjaan lebih baik dengan usaha mereka semula pekerjaan dan kemudian memadankan dengan lebih baik para pekerja kepada pekerjaan yang lebih baik melalui penempatan kerja yang berkesan," kata Timbalan Setiausaha Agung NTUC Chee Hong Tat.
Sejak pelancarannya pada 2019, hampir 830 CTC ditubuhkan bersama pertubuhan-pertubuhan besar serta syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME).
Encik Chee juga menyentuh mengenai usaha untuk membantu sektor-sektor yang paling terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Ini termasuk menubuhkan sebuah hab kerjaya bagi para pekerja dalam industri pelancongan.
Encik Chee menambah, satu cara untuk membantu para pekerja tempatan adalah memperkukuhkan teras Singapura.
"Terdapat beberapa majikan yang tidak mengamalkan pengambilan pekerja secara adil dan tidak melabur secukupnya dalam membangunkan Teras Singapura.
"Kelakuan mereka menimbulkan kesan negatif terhadap pengalaman hidup para pekerja dan keluarga-keluarga mereka.
"NTUC menyokong langkah Pemerintah untuk membezakan kemasukan warga asing.
"Namun, kita tidak harus bertindak balas terhadap sebilangan kecil majikan 'kambing hitam' dengan melaksanakan langkah-langkah tenaga kerja asing yang terlalu ketat, yang boleh menjejas perniagaan kita, menghakis perpaduan dalam masyarakat kita dan menyebabkan para pekerja kita kehilangan pekerjaan," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.