Suntikan elemen nyanyian dan lukisan dalam program MTL SOAR untuk pupuk minat membaca sejak usia muda
SINGAPURA: Dalam usaha untuk memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda dalam kalangan pelajar, Kementerian Pendidikan (MOE) akan melancarkan program pembacaan berstruktur baharu, MTL SOAR, di sekolah rendah mulai tahun depan.
Di bawah inisiatif itu, murid Darjah 1 dan 2 akan diberikan masa 30 minit sewaktu pembelajaran kurikulum Bahasa Ibunda (MTL) untuk aktiviti membaca dan yang berkaitan perpustakaan.
Program MTL SOAR akan dilaksanakan secara berperingkat kepada semua peringkat sekolah rendah menjelang tahun 2029.
Ia memastikan semua murid mendapat manfaat daripada usaha yang dipertingkatkan terhadap pembacaan sepanjang pendidikan awal mereka.
PROGRAM PERMULAAN MTL SOAR
Sekolah Rendah Woodlands Ring merupakan salah satu sekolah rendah yang telah melaksanakan program permulaan MTL SOAR.
Seramai 28 murid Darjah 1 terlibat dalam program itu, yang berlangsung selama lebih dua bulan.
Guru Bahasa Melayu, Mustika Alyssa Mohamed Isa, berkongsi pengalamannya dengan wartawan Nurfazirah Azman.
"Saya mengendalikan program ini bersama murid-murid darjah satu. Buku 'Lari, Benji, Lari!' merupakan buku bahan cerita. Buku 'Perut! Oh, Perut!' merupakan buku tambahan. Jadi dengan dua buah buku ini, saya menjalankan aktiviti untuk mereka mengenali watak, tajuk dan jalan cerita dalam kedua-dua buku ini," kata Cikgu Alyssa.
Selain membaca, beliau juga memperkenalkan beberapa aktiviti menarik untuk membangkitkan minat pelajarnya terhadap bahan bacaan dalam bahasa Melayu.

"Aktiviti 'Gallery Walk' yang saya jalankan adalah untuk murid-murid untuk melihat hasil daripada rakan-rakan yang lain jadi mereka boleh tambah nilai ataupun boleh berikan komen mereka kepada hasil kawan-kawan.
"Dengan melakukan ini, mereka mendapat idea untuk membantu rakan-rakan yang lain atau menambahkan idea untuk jalan cerita yang mungkin mereka tiba-tiba dapat fikirkan," kongsi Cikgu Alyssa.
PERKASA BAHASA IBUNDA PARA PELAJAR
Beliau menyambut baik program tersebut dan menekankan manfaatnya dalam meningkatkan penggunaan bahasa ibunda dan kosa kata para pelajar.
"Program ini dapat memperkasa bahasa ibunda para pelajar di sekolah ini. Dengan adanya peruntukkan masa sebegini, murid-murid dapat fokus dan membaca buku cerita yang diberikan kepada mereka dan pada masa yang sama, mereka dapat mengenali jalan cerita dengan lebih lanjut dan mereka juga dapat membaca perkataan-perkataan itu dengan tersendiri dan lebih fokus," kata Cik Alyssa.
Beliau juga berkongsi bahawa terdapat perbezaan ketara dalam prestasi pelajarnya setelah mengikuti program itu.
"Sebelum program ini dijalankan, saya lihat yang susah untuk murid-murid saya mengambil buku bahasa Melayu dan kalau dah ambil buku bahasa Melayu pun mereka susah hendak membaca kerana mereka tidak minat dalam buku bahasa Melayu itu.
"Saya dapat lihat sekarang mereka lebih suka membaca buku cerita bahasa Melayu dan mereka akan bertanyakan kepada saya, 'Bila kita akan baca buku ini sekali lagi?" kongsi Cik Alyssa.
GUNA TEKNIK 'PENDRAMATISAN' UNTUK TARIK MINAT PELAJAR
Walau bagaimanapun, Cik Alyssa menghadapi cabaran dalam menarik minat pelajarnya yang lebih cenderung dan fasih membaca buku cerita dalam bahasa Inggeris.
Untuk mengatasi cabaran itu, beliau berusaha menyuntik elemen menarik seperti nyanyian dan menerapkan teknik bacaan yang pelbagai.
"Antara aktiviti yang saya lakukan adalah pendramaan. Jadi bila kita baca buku itu, saya akan melakonkan dan menerusi gerak-geri saya dan suara saya yang saya bezakan mengikut watak dan perasaan watak, murid-murid itu dapat lebih memahami jalan cerita.
"Tambahan pula, saya juga menjalankan aktiviti-aktiviti yang menarik seperti menyanyi bersama mereka. Jadi, aktiviti menyanyi sebegini dapat menarik minat para pelajar yang lebih fasih dalam bahasa Inggeris itu untuk mencetuskan minat mereka dan semangat membaca mereka dalam buku bahasa Melayu," kata Cik Alyssa.
Beliau juga menekankan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam memupuk minat membaca buku Melayu di kalangan anak-anak.
"Saya berharap ibu-bapa dapat menyokong tabiat membaca di rumah seperti membaca sebelum anak anak tidur dan kerap membawa anak-anak ke perpustakaan awam untuk meminjam buku dan menyertai aktiviti-aktiviti yang dijalankan di sana," kata Cik Alyssa.
TERUJA DAPAT LAKUKAN AKTIVITI BERKAITAN BACAAN
Pelajar yang ditemui teruja dapat melibatkan diri dalam program itu.
"Saya suka aktiviti 'Pasport Membaca' kerana selepas membuat aktiviti dan baca, perkataan di dalam buku senang untuk saya fahami. Yang paling seronok di dalam program ini ialah melukis, menyanyi lagu, membuat poster dan membaca buku," kata Pelajar Darjah 1, Muhammad Shayaan Mohamed Imran.
Seorang lagi pelajar, Nur Insyirah Muhammad Satria, juga seronok dapat melakukan aktiviti bacaan bersama guru dan rakan-rakan sedarjah.
"Saya baca dua buah buku "Perut! Oh, Perut!" dan "Lari, Benji, Lari!". Kita buat pasport membaca bersama guru dan kawan kawan. Aktiviti banyak di dalam kelas, kami buat kulit buku dan poster, kami menyanyi lagu," kata Insyirah.

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.