Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Suntikan dana S$145 juta bagi tambah lagi 20,000 tempat latihan

Lagi 20,000 tempat latihan akan diwujudkan menyusuli peluasan Program Pemacu Kemahiran Teknologi (TeSA) dan tempoh latihan juga lebih panjang dan tersusun berbanding 27,000 tempat latihan yang disediakan sebelum ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Suntikan dana S$145 juta bagi tambah lagi 20,000 tempat latihan
Diterbitkan : 06 Mar 2018 12:06PM Dikemas Kini : 06 Mar 2018 12:18PM

SINGAPURA: Lagi 20,000 tempat latihan akan diwujudkan menyusuli peluasan Program Pemacu Kemahiran Teknologi (TeSA) dan tempoh latihan juga lebih panjang dan tersusun berbanding 27,000 tempat latihan yang disediakan sebelum ini, menurut Menteri Perhubungan dan Penerangan Dr Yaacob Ibrahim.

Semasa berucap di perbahasan jawatankuasa peruntukan bagi kementeriannya di Parlimen hari ini (6 Mac), Dr Yaacob berkata 20,000 tempat latihan itu akan diwujudkan menjelang 2020 selepas menerima tambahan pelaburan bernilai S$145 juta yang diumumkan dalam Kenyataan Belanjawan tahun ini.

Tempat-tempat latihan yang diperkenalkan mulai April 2016 adalah lebih singkat dan ringkas dalam bentuk kandungannya, sedangkan kursus-kursus terbaru ini lebih panjang dan lebih fokus, dengan program-programnya digunakan untuk menyokong pembangunan kemahiran dalam bidang-bidang baru teknologi seperti kecerdasan buatan, analitik data, keselamatan siber dan Internet of Things (IoT).

Dalam ucapan Kenyataan Belanjawannya, Menteri Kewangan Heng Swee Keat ada mengatakan bahawa TeSA akan diperluaskan untuk merangkumi sektor-sektor baru seperti pengilangan dan khidmat profesional di mana penggunaan teknologi digital kini semakin penting.

BANTUAN BAGI PMET ICT PERTENGAHAN KERJAYA

Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan Janil Puthucheary berkata bahawa kementeriannya sedang memastikan agar sokongan dihulurkan kepada para karyawan pertengahan kerjaya supaya mereka lebih bersiap sedia, memandangkan semua sektor penting sedang menjalani perubahan digital.

Strategi dua serampang akan diambil untuk mencapai matlamat ini: Khidmat kerjaya bersepadu TeSA serta penyesuaian dan latihan semula pekerjaaan, menurut Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dalam kenyataan medianya.

Bagi khidmat kerjaya bersepadu, ia adalah sebuah ekosistem sokongan yang boleh dimanfaatkan oleh para karyawan ICT untuk mendapatkan bimbingan kerjaya dan pemadanan kerja yang lebih baik. Ia akan bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Persatuan Komputer Singapura dan SGTech (yang dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Teknologi Infokom Singapura).

Dari segi penyesuaian dan latihan semula pula, kerja kosong ICT mungkin ditawarkan oleh pelbagai sektor dalam industri itu tetapi para pekerja mungkin belum memiliki rangkaian atau kemahiran yang diperlukan untuk menceburi sektor lain.

Bagi memudahkan peralihan ini, usaha seperti bekerjasama dengan badan-badan pemerintah seperti Kementerian Pendidikan (MOE) bagi mengenal pasti pekerjaan untuk para karyawan ICT - misalnya rakan ICT di sekolah-sekolah - akan dijalankan. MCI juga akan bekerjasama dengan rakan-rakan industri melalui program SME Go Digital Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) untuk mengubah suai peranan-peranan itu.

Inisiatif-inisiatif ini diumumkan sedang Dr Yaacob menarik perhatian bahawa permintaan bagi karyawan ICT dijangka terus meningkat. Semasa melancarkan Rangka Kerja Kemahiran bagi Teknologi Infokom pada November tahun lalu, Dr Yaacob mendedahkan bahawa lebih 42,000 karyawan ICT akan diperlukan dalam masa tiga tahun akan datang.

Beliau turut mendedahkan bahawa inisiatif TeSA membolehkan lebih 16,000 karyawan ICT dilatih untuk menimba kemahiran baru dan mempersiapkan mereka bagi ekonomi digital.

Sumber : CNA/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan