Sun Xueling: Pihak berkuasa timbang hukuman lebih berat bagi pemandu mabuk
Pihak berkuasa sedang menimbangkan hukuman lebih berat bagi pesalah yang memandu dalam keadaan mabuk di tengah-tengah jumlah kes kemalangan jalan raya yang terus meningkat dan membahayakan nyawa para pengguna jalan raya.

Polis Trafik melakukan ujian terhadap seorang pemandu. (Gambar fail: Lim Jia Qi)
SINGAPURA: Pihak berkuasa sedang menimbangkan hukuman lebih berat bagi pesalah yang memandu dalam keadaan mabuk di tengah-tengah jumlah kes kemalangan jalan raya yang terus meningkat dan membahayakan nyawa para pengguna jalan raya.
Ini termasuk denda lebih berat, hukuman penjara dan tempoh dilarang memandu lebih panjang.
Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Cik Sun Xueling berkata demikian dalam satu acara sempena pelancaran kempen yang menolak perbuatan memandu dalam keadaan mabuk pada Jumaat (21 Dis).
Dalam sembilan bulan pertama tahun ini, secara purata, seorang meninggal dunia akibat terlibat dalam kemalangan berkaitan dengan pemandu mabuk, kata Cik Sun.
"Secara keseluruhannya, kami menyaksikan lebih 120 kemalangan berkaitan perbuatan memandu dalam keadaan mabuk, iaitu kenaikan 20 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Lebih 1,500 individu juga ditangkap," tambah beliau.
"Dalam kebanyakan kes, pemandu mabuk melanggar isyarat lampu merah dan memandu lebih laju daripada kelajuan yang ditetapkan. Ini perlu dihentikan."
Cik Xueling menarik perhatian kepada beberapa kes di mana kemalangan berkaitan dengan perbuatan memandu dalam keadaan mabuk mengakibatkan kehilangan nyawa. Antaranya termasuk satu kemalangan melibatkan seorang wanita lanjut usia yang sedang mengumpul kadbod di Collyer Quay.
Ada juga kes di mana pemandu yang mabuk sendiri terkorban. Dua penunggang motosikal, dalam kejadian berasingan awal tahun ini, berada dalam keadaan mabuk dan tidak dapat mengawal motosikal lalu terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia, kata Cik Sun.

Dari kiri: Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Bernard Tay, Cik Sun Xueling dan Komander Polis Trafik Gerald Lim. (Gambar: SPF)
JUMLAH PESALAH BERKURANGAN
Namun, jumlah pesalah yang diberkas antara Januari hingga September sudah berkurang sebanyak 2.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, katanya.
Usaha mendidik masyarakat, termasuk yang diusahakan Polis Trafik dan Majlis Keselamatan Jalan Raya Singapura, berjaya "mengawal" masalah ini, tambah Cik Sun.
Pendidikan awam akan disokong dengan "penguatkuasaan tegas dan hukuman berat," katanya.
"Seperti yang saya katakan, kami sedang menimbangkan hukuman lebih berat - denda lebih tinggi, hukuman penjara dan tempoh dilarang memandu lebih panjang. Ini mampu mencegah lebih baik perbuatan memandu dalam keadaan mabuk," jelas Cik Sun.
Buat masa ini, pemandu yang didapati memandu dalam keadaan mabuk tetapi tidak terlibat dalam kemalangan, tidak dibenarkan memandu selama setahun, didenda sehingga S$10,000 dan dipenjara sehingga setahun.
Jika pemandu terlibat dalam kemalangan, dia akan dikenakan hukuman lebih berat, terutama sekali jika ada pihak lain yang cedera. Ini termasuk denda lebih tinggi, tempoh dilarang memandu selama 20 tahun atau lebih dan hukuman penjara lebih panjang iaitu sehingga lima tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.