Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sumbangan Syed Yusof Alsagoff kepada dunia orkid diiktiraf dengan Anugerah Warisan Budaya Tidak Ternilai

Anggaran Waktu Membaca:
Sumbangan Syed Yusof Alsagoff kepada dunia orkid diiktiraf dengan Anugerah Warisan Budaya Tidak Ternilai

Sumbangan Syed Yusoff Alsagoff kepada dunia orkid diiktiraf dengan Anugerah Warisan Budaya Tidak Ternilai. (Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA: Mula-mula "dipaksa" oleh datuknya, namun Encik Syed Yusof Alsagoff lama kelamaan berputik minat terhadap mencucuk tanam anggerik.

Kini, Encik Yusof yang berusia 88 tahun itu sudah menyumbang lebih enam dekad kepada bidang mencucuk tanam anggerik di Singapura dan sudah mendaftar lebih 200 hibrid orkid.

Ia termasuk bunga-bunga anggerik yang dinamakan sempena isterinya, Aranda Zahela Alsagoff serta anaknya iaitu Aranda Noorah Alsagoff.



Beliau memberitahu BERITAmediacorp bahawa kedua-dua jenis hibrid itu merupakan antara bunga kegemarannya.

Malah Encik Yusof juga sering memberi nama orkid sempena keluarga dan temannya, dengan orkid yang dinamakan sempena isterinya itu menjadi orkid hibrid pertamanya untuk menerima Sijil Kelas Pertama oleh Persatuan Orkid di Asia Tenggara (OSSEA).


Atas dedikasi dan sumbangan Encik Yusof, beliau terpilih menjadi antara empat penerima Anugerah Warisan Budaya Tidak Ternilai Singapura 2022.

Ia bagi mengiktiraf para pengamal warisan yang menunjukkan komitmen luar biasa dalam melestarikan dan menyebarkan amalan-amalan warisan mereka itu.

"Saya pun terperanjat bila saya diberitahu yang saya dipilih untuk ini. Buat saya, ini satu yang patut dilayakkan dan diadakan, bukan buat saya sendiri tetapi kerja-kerja yang dijalankan itu," kongsinya yang melahirkan rasa senang hati atas pengiktirafan ini.

CARA CUCUK TANAM BUNGA ORKID BERBEZA DARI BUNGA-BUNGA LAIN



Encik Yusof sebelum ini pernah berkhidmat dalam Jawatankuasa OSSEA dari 1964 hingga 1997.

Beliau juga menerajui persatuan itu selama 14 tahun selaku Presidennya serta terlibat dalam program-program orkid Kebun Bunga Singapura sejak 1960an lagi.

Namun, apa yang membuat minat Encik Yusof berkekalan sehingga hari ini ialah keunikan dan keistimewaan bunga orkid itu sendiri.



Misalnya, cara mencucuk tanam bunga itu amat berbeza berbanding bunga-bunga yang lain dan bagi satu generasi orkid untuk menghasilkan baka, ia memerlukan kira-kira lima hingga enam tahun.

"Rupanya nak tanam biji orkid itu mesti perlu ada ilmu lebih mendalam lagi. Ia mesti ditanam dalam sistem yang lain, dalam makmal," ujar Encik Yusof yang mempunyai empat orang anak.

"Kita (juga) mesti ada cendawan yang boleh menghidupkan biji-biji orkid tetapi itu mesti ditanam dalam suasana yang tidak ada angin, tempat yang sesuai," tambahnya.

Sepanjang penglibatannya dalam bidang cucuk tanam anggerik, pelbagai cabaran juga dihadapinya lebih-lebih pada awal penglibatannya.

"Waktu itu tidak ada buku, tidak ada apa yang saya dapat belajar tetapi kerana pertemuan dengan orang-orang bekerja sana (Kebun Bunga Singapura) dan ilmunya, saya dapat belajar, bertanya pelbagai soalan. Jadi dari situ, saya lebih mendalami ilmu dalam anggerik," dedah Encik Yusof.

PERLU SABAR, ADA PENGETAHUAN ASAS UNTUK CUCUK TANAM ORKID



Ditanya pula apakah nasihat beliau kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang mencucuk tanam anggerik, beliau berkongsi bahawa mereka perlu "sabar" dan mempunyai sedikit pengetahuan asas tentang orkid.

"Minat anggerik sekarang sudah tinggi di Singapura. Aktiviti-aktiviti pun kuat. Kita ada Kebun Bunga Singapura, OSSEA. Di situlah tempat bagi sesiapa yang ingin belajar, ingin tahu. Kita pun sudah ada internet sekarang, bukan main senang lagi. Jadi tidak ada perkara yang susah," kata Encik Yusof, yang sering berkongsi pengetahuan dan nasihat bersama masyarakat tempatan yang mencucuk tanam orkid termasuk penghasil baka anggerik muda.

"Soalnya, mesti kamu tahu pengetahuan asas dan perasaan yang sabar ini. Apa kelebihan itu, sampai sekarang orang-orang yang tanam anggerik semua selalu tidak rasa dirinya tua atau susah. Dia semua senang. Itu pendapatan saya," tambahnya.

Encik Yusof merupakan antara empat individu atau kumpulan yang akan diiktiraf Lembaga Warisan Negara (NHB) dalam sebuah majlis yang akan diadakan pada Selasa (21 Mac) ini.

PERSATUAN GUNONG SAYANG LESTARIKAN WAYANG PERANAKAN



Sebuah lagi penerima anugerah itu tahun ini ialah Kumpulan Persatuan Gunong Sayang (GSA).

Kumpulan seni itu memainkan peranan penting dalam mengekalkan tradisi wayang peranakan iaitu sejenis teater yang secara tradisional, dipersembahkan dalam Bahasa Melayu Baba .

Kumpulan itu sudah berusia 112 tahun dan menjayakan wayang peranakan hampir 40 tahun, dengan hampir 29 pementasan sejauh ini.



"Ingin membuat satu wayang peranakan itu bukan senang. Kita mesti ada satu kampung, bukan satu pelakon atau penyanyi yang menjayakan persembahan. Kita mesti ada pembantu belakang tabir, tukang rias rambut, artis solek, penulis skrip dan pengarah," kongsi Naib Presiden I GSA, Encik Frederick Soh.

"Jadi ada banyak orang yang membantu kita untuk menjayakan wayang peranakan. Jadi untuk GSA, kita dapat anugerah ini dan saya ingin berterima kasih kepada mereka yang membantu dari dulu hingga sekarang. Anugerah ini bukan sahaja untuk GSA tetapi dikongsi bersama anda semua," tambah beliau.

Untuk Encik Soh yang kini berusia 55 tahun, beliau mula berlakon dalam wayang peranakan pada usia 31 tahun.

PAPAN, SESUAIKAN SKRIP SECARA SPONTON, PENYAMAR WANITA

Beliau juga sempat berkongsi kepada BERITAmediacorp tentang beberapa perkara yang orang ramai mungkin tidak tahu tentang wayang peranakan.

Ia termasuk tiga papan yang digunakan semasa persembahan yang akan dicat atau dihias mengikut konteks lokasi sebuah pementasan itu.

Para pelakon pada ketika itu juga hanya diberikan skrip dengan jalan cerita sahaja di mana mereka perlu membuat penyesuaian secara spontan.


Kiri: Encik Frederick Soh (Gambar: Frederick Soh)

"Satu lagi ialah penyamar wanita. Dahulu, untuk wayang, nyonya (perempuan) tidak boleh naik pentas. Itu dianggap tidak senonoh. Itu sebab perlu memakai lelaki sebagai wanita," kata Encik Soh.

"Jadi sekarang nyonya-nonya semua boleh naik pentas tetapi kita rasa kita mesti mengekalkan tradisi itu. Jadi sehingga sekarang kita masih mengekalkan aspek persembahan itu. Jadi selalu bila anda menyaksikan wayang peranakan, mesti ada sekurang-kurangnya satu penyamar wanita," tambah beliau.

Namun, kumpulan itu menghadapi beberapa cabaran hari ini termasuk menarik minat anak-anak muda yang mungkin menganggap wayang peranakan sebagai sudah "lapuk".

Lantas, mereka perlu membuat beberapa penyesuaian untuk terus kekal relevan.

"Jadi apa yang kita buat kini adalah untuk mengadakan penterjemahan untuk persembahan. Jadi bila generasi muda menonton, mereka dapat memahami persembahan kita apabila melihat penterjemahan itu," ujar Encik Soh.

WAYANG PERANAKAN MENARIK MINAT MEREKA DARI KAUM BERLAINAN



Wayang Peranakan juga menurutnya bukan sahaja khusus buat masyarakat Peranakan.

"Ada bermacam-macam kaum yang menonton, ada orang India, Melayu, Serani, Barat kerana kita kini mempunyai penterjemahan," kongsi Naib Presiden I GSA.

Isu-isu masa kini seperti demensia dan juga penggunaan peribahasa tiu senang difahami dan dihargai masyarakat secara am.

Untuk terus melestarikan budaya dan tradisi kepada masyarakat, GSA mengadakan pelbagai kelas termasuk kelas bahasa Melayu Baba, kelas kasut manik dan sulam.



"Cinta dan semangat kita terhadap wayang peranakan yang memastikan usaha kita diteruskan sebab jika tidak ada minat dan cinta untuk budaya ini, wayang peranakan sudah memang tidak boleh terjadi," kongsi Encik Soh.

"Budaya Asli Baba Peranakan, banyak senyap dilupakan. Persatuan Gunong Sayang di dunia tumpangan. Naikkan Wayang Peranakan buat kenangan," tambahnya, membaca satu pantun oleh William Gwee, seorang peranakan yang terkenal.

Lagi dua penerima anugerah itu kali ini ialah Encik Balakrishnan Veerasamy Ramasamy bagi seni Karagam dan Persekutuan Wushu Naga dan Tarian Singa Singapura untuk Wushu, Tarian Naga dan Tarian Singa.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan