Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sumbangan para perintis masyarakat India Muslim dikenang dan dibincangkan dalam siri ceramah

Orang ramai boleh menjangkakan lebih banyak peluang untuk mengenali budaya dan sejarah masyarakat India Muslim setempat menerusi sesi ceramah atau pameran.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Orang ramai boleh menjangkakan lebih banyak peluang untuk mengenali budaya dan sejarah masyarakat India Muslim setempat menerusi sesi ceramah atau pameran. 

Persatuan Nagore Dargah mengumumkan bahawa inisiatif itu akan dilakukan setiap tahun. 

Pada tahun ini, sejarah serta sumbangan berharga para perintis masyarakat India Muslim kepada pembangunan ekonomi Singapura dikupas dalam siri Ceramah Warisan yang diadakan pada Ahad (21 Ogos).

Ia antaranya bertujuan meningkatkan pemahaman orang ramai, khususnya generasi muda tentang kepentingan penghijrahan dan perdagangan golongan perintis dalam pembangunan masyarakat India Muslim di Singapura. 

Kumpulan itu membentuk sekitar 24 peratus daripada masyarakat India di sini.

Di samping itu, ia juga ingin membangkitkan penghargaan kepada perjalanan dan cabaran-cabaran yang perlu ditempuhi para perintis.

Ceramah sepanjang tiga jam yang disampaikan dalam Bahasa Inggeris dan Tamil itu menampilkan dua penceramah - ahli lembaga Warees Investment dan Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (RIMA) AMP Singapura, Dr Abdul Razak Chanbasha dan Penasihat kepada Jawatankuasa Pengurusan Masyarakat ND, Naseer Ghani.

Menurut Dr Razak, masyarakat India Muslim sudahpun bergiat dalam bidang pengangkutan dan perniagaan seawal abad ke-19 lagi.

Ini sekali gus bantu merancakkan lagi ekonomi dan bidang pelabuhan di Singapura.

"Walaupun masyarakat India Muslim Singapura adalah kecil tapi sumbangan mereka pada abad ke-19 itu agak terserlah. Mereka bantu membangunkan pelabuhan dan mereka juga pedagang.

"Saya rasa kalau sumbangan seperti ini tidak diberitakan atau dipaparkan, anak-anak sekarang tidak akan tahu asal usul datuk nenek, moyang mereka yang datang ke Singapura dan juga bantu membangunkan Singapura," kata Dr Razak Chanbasha, yang baru-baru ini juga melancarkan sebuah buku tentang sejarah, warisan dan sumbangan masyarakat India-Muslim.

Penasihat kepada jawatankuasa pengurusan masyarakat ND, Naseer Ghani turut berkongsi tentang bagaimana usaha untuk menggalak semangat perpaduan dan harmoni dijalankan menerusi masyarakat India Muslim dan menggalak kestabilan sosioekonomi.

Tokoh-tokoh ternama kaum India Muslim yang berhijrah ke Singapura seperti Ustaz Moulavi Babu Sabih dan Profesor Ahmad Mohamed Ibrahim turut disebut-sebut bagi mengenang jasa mereka yang telah membawa revolusi kepada perniagaan dan sektor-sektor lain.

Selain itu, satu sesi soal-jawab turut diadakan bagi memberi peluang kepada 100 peserta yang hadir untuk bertukar-tukar pendapat dengan para penceramah.

Dalam ucapannya, pengerusi penganjur Encik Farihullah Abdul Wahab Safiullah berkata lokasi ceramah itu iaitu di Taman Warisan Melayu (MHC) cukup bermakna kerana ia menggambarkan keharmonian kaum dan keagamaan di Singapura.

"Ini akan menjadi acara tahunan untuk memperkaya masyarakat kami dengan ilmu yang banyak yang belum diketahui ramai. Insya-Allah, dalam tahun-tahun akan datang apabila situasi bertambah baik, kami akan adakan acara ini dalam skala yang lebih besar untuk dimanfaatkan penonton yang lebih luas," kata Encik Farihullah, yang juga merupakan Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA.

Tahun lalu, acara diadakan dalam Bahasa Tamil sepenuhnya secara online disebabkan COVID-19.

Acara itu turut diserikan Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim sebagai tetamu terhormat. 

Dalam ucapannya di acara tersebut, Dr Faishal memuji usaha kumpulan ND untuk memberi lebih perincian terhadap sumbangan golongan perintis dan menghargai sumbangan mereka.

Beliau mengalu-alukan orang ramai untuk terus menghargai budaya, nilai dan sumbangan para perintis dan teruskan warisan mereka melalui bidang-bidang kepakaran masing-masing.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan