Skip to main content

Singapura

Sumbangan masyarakat Muslim minoriti antara bidang tumpuan Dr Hannan Hassan di RSIS

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Jun 2026 03:28PM Dikemas Kini : 27 Jul 2026 10:58AM
SINGAPURA: Membangunkan kehidupan beragama yang bermakna bukan hanya terbatas kepada masyarakat Melayu/Islam tetapi masyarakat lain juga.

Demikian menjadi fokus Dr Mohammad Hannan Hassan, yang sudah tiga bulan menggalas tanggungjawab sebagai Zamil Kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS).

Dr Hannan melepaskan jawatan sebagai Timbalan Mufti tahun lalu selepas lebih lima tahun menyandang peranan tersebut di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Dr Hannan berkata: "Sekarang saya ada ruang dan masa untuk membuat penelitian, membuat refleksi, merenungkan isu tertentu, mengumpulkan data-data, melihat berbagai teori kemasyarakatan, perubahan dan kehidupan agama."

ISU KEHIDUPAN BERAGAMA DALAM MASYARAKAT MODEN MENJADI FOKUS KAJIAN

Dalam peranan baharunya di RSIS, Dr Hannan berkata antara bidang yang ingin diterokanya adalah berkaitan kehidupan beragama serta peranan agama dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan inklusif.

Beliau turut berminat untuk mengkaji bagaimana masyarakat Muslim minoriti dapat menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara dan masyarakat.

"Persoalannya bukan masalah minoriti, tetapi persoalan tentang kenegaraan atau kewarganegaraan," kata Dr Hannan.

Menurut beliau, kajian tersebut tidak akan terhad kepada masyarakat Islam di Singapura sahaja, malah akan turut meneliti pengalaman masyarakat lain di pelbagai negara.

"Saya ingin mengkaji dan belajar bukan hanya masyarakat Singapura tetapi masyarakat-masyarakat yang lain. Itu yang saya katakan bahawa saya akan tidak hanya terbatas masyarakat Islam dan tidak hanya terbatas di Singapura," ujarnya.

Dr Hannan menambah: "Jadi, melihat pengalaman masalah masyarakat minoriti memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan negara dan masyarakat dan kemanusiaan keseluruhannya."

PERBEZAAN KERJA-KERJA DI RSIS DENGAN USAHA MENDEKATI MASYARAKAT SEBAGAI TIMBALAN MUFTI

Menurut Dr Hannan, peranan baharunya memberinya lebih banyak ruang dan masa untuk menjalankan penyelidikan, mendalami isu-isu tertentu, mengumpulkan data serta meneliti pelbagai teori berkaitan masyarakat, perubahan dan kehidupan beragama.

Lantaran itu, Dr Hannan banyak mendapat pandangan bahawa dirinya kini lebih bebas dan liberal selepas melepaskan tanggungjawab sebagai Timbalan Mufti.
Related article image
Menurut Dr Mohammad Hannan Hassan, beliau akan memanfaatkan segala pengalaman yang diraihnya sebagai Timbalan Mufti ke dalam kerja-kerja di RSIS. (Gambar: Khidmat Penjara Singapura (SPS)
Dalam wawancara bersama wartawan Hidir Ezat, Dr Hannan cuba untuk menjelaskan pandangan tersebut.

Dr Hannan berkata: "Persoalan utama ialah bahawa kita harus bertanggungjawab dalam melakukan perubahan kepada masyarakat dan dunia. Itu tanggungjawab kita. Bukan masalah bahawa sudah bebas, menyatakan sesuatu apa saja dan sebagainya. Di sebalik segala kebebasan itu, ada tanggungjawab yang besar."

"Saya tidak melihat diri saya bahawa sekarang sudah bebas menyuarakan apa sahaja. Tapi saya harus bertanya pada diri saya, apakah impak daripada pandangan, komentar dan sebagainya. Tentunya saya rasa bahawa dalam bidang ini ada ada sedikit kebebasan. Dan saya hargai ruang untuk bersifat kritikal. Tapi ini semua harus bertanggungjawab," tambah beliau lagi.

Menurut Dr Hannan, kerja-kerja yang dilakukannya di RSIS lebih berunsur kepada wadah penelitian dan perbincangan ilmiah.

Dr Hannan berkata: "Bezanya ialah kerana mungkin wadahnya berbeza, fokusnya berbeza. Jadi kalau di MUIS dulu saya banyak berinteraksi dengan masyarakat dan membuat dasar-dasar awam. Di RSIS, saya membaca dan menulis. Lebih kepada kerja-kerja penelitian, kajian akademik dan sebagainya."

Namun begitu, Dr Hannan berkata beliau akan berusaha untuk merapatkan jurang antara dunia akademik dengan pengalaman serta realiti di lapangan.

PENGALAMAN SEBAGAI TIMBALAN MUFTI BANTU FAHAM MASYARAKAT SG

Dr Hannan berkongsi bahawa beliau akan memanfaatkan segala pengalaman yang diraihnya sebagai Timbalan Mufti ke dalam kerja-kerja di RSIS.

Menurut beliau, matlamatnya adalah untuk mengaplikasikan dapatan penyelidikan dan teori akademik di lapangan.

"Pengalaman saya sebagai Timbalan Mufti ialah terlibat dalam lapangan, membuat dasar-dasar umum, dan memahami, mendengar suara masyarakat. Ia bukan hanya dat- data sosiologi semata atau teori-teori dan pemikiran-pemikiran, tetapi mendengar suara orang-orang biasa. Saya rasa itu merupakan satu kelebihan saya," ujar Dr Hannan.

Beliau menambah: "Jadi inilah tugas sebagai ahli akademik ialah untuk membumikan idea-idea dan data-data ini dan juga membawa suara- suara masyarakat ke dunia."

Beliau juga berkata bahawa pengalaman yang diraih sepanjang berkhidmat sebagai Timbalan Mufti dan sebelum itu sebagai Naib Dekan Akademi MUIS, selain penglibatannya dalam pelbagai wacana ilmiah dan penerbitan akademik, telah membentuk perspektif serta kepakarannya dalam bidang tersebut.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita