Skip to main content

Singapura

Sumbangan masyarakat Arab di Singapura sejak 200 tahun lalu dihidupkan kembali menerusi penerokaan elemen-elemen deria

Anggaran Waktu Membaca:
Sumbangan masyarakat Arab di Singapura sejak 200 tahun lalu dihidupkan kembali menerusi penerokaan elemen-elemen deria

Para peserta acara 'Threads of Time' anjuran bersama Arab Network @ Singapore (AN@S) dan Motion for Impact (Gambar: Motion for Impact)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 29 May 2026 08:16PM Dikemas Kini : 30 May 2026 06:10AM
SINGAPURA: Sumbangan masyarakat Arab terhadap pembangunan Singapura menjadi antara topik yang hangat diperbualkan dalam perbincangan panel di acara 'Threads of Time' pada Khamis (28 Mei).

Dianjurkan bersama oleh Arab Network @ Singapore (AN@S) dan Motion for Impact, acara tersebut 'menghidupkan' buku 'Arabs of Singapore: 200 Years On'.

Buku setebal 282 muka surat itu mengisahkan tentang perubahan sejarah, budaya dan warisan masyarakat Arab di Singapura sejak dua abad lalu.
Related article image
Buku 'Arabs of Singapore: 200 Years On' (Gambar: Athirah Karim/BERITA Mediacorp)
Anggota panel tersebut termasuk penyunting buku, Profesor Syed Farid Alatas, yang membincangkan sedikit tentang sejarah penghijrahan masyarakat Arab Hadrami ke rantau ini, serta kepentingan mengetahui sejarah masyarakat Arab di Singapura.
Related article image
Profesor Syed Farid Alatas, Pengerusi AN@S dan penyunting buku 'Arabs of Singapore: 200 Years On' (Gambar: Athirah Karim/BERITA Mediacorp)
Beliau berpendapat bahawa perubahan kepada budaya masyarakat Arab di Singapura sepanjang 200 tahun menjadikan cara hidup sebenar masyarakat tersebut penting untuk diturunkan kepada generasi muda.

"Dari generasi ke generasi, selepas berapa ratus tahun, tentu ada perubahan dalam budaya mereka, ada beberapa kehilangan dan ada juga tambahan pada budaya mereka. Jadi, kita di Arab Network of Singapore anggap bahawa adalah penting untuk menyebarkan budaya Arab dan budaya Arab Hadrami. Kita menganggap diri (kita) sebagai Arab Peranakan kerana kita sudah berubah dari beberapa segi. Yang penting adalah budaya dan cara hidup kami diturunkan dari generasi ke generasi," jelas beliau.

Sekretariat AN@S, Cik Samira Alhadi pula berkata: "Sangat penting bagi masyarakat Singapura kenal dan faham tentang sejarah orang Arab kita kerana sejarah Arab ini adalah sebahagian daripada sejarah Singapura dan kalau kita tidak kenal sejarah Arab, maka kita tak boleh cakap kita kenal semua sejarah Singapura."
Related article image
Cik Samira Alhadi, Sekretariat AN@S dan penyelaras penerbitan buku (Gambar: Athirah Karim/BERITA Mediacorp)
"Singapura sekarang ini adalah kerana sumbangan banyak kaum-kaum termasuk kaum Arab. Saya harap, dengan persefahaman ini, kita boleh hidup dengan harmoni, hidup saling bersefahaman dan bersatu," tambah Cik Samira, yang juga merupakan penyelaras penerbitan buku itu.
Related article image
Panel perbincangan. (dari kiri) Encik Omar Alattas, Profesor Syed Farid Alatas, Encik Kelvin Ang, Cik Aziza Ali, Dr Larry Francis Hilarian, dan moderator Catherine Wu (Gambar: Athirah Karim/BERITA Mediacorp)
Beberapa lagi anggota panel di acara itu termasuk para penyunting lain serta para penulis kandungan buku tersebut.

Ia termasuk Encik Omar Alattas yang berkongsi tentang sejarah dan keluarga-keluarga Arab Hadrami mewasiatkan tanah kepada anak-anak perempuan mereka.

Para penulis bab buku itu, Cik Aziza Ali, pula berkongsi kepada 24 tetamu yang hadir tentang pengalaman beliau membesar dalam keluarga yang menikmati hidangan Arab manakala Dr Larry Francis Hilarian pula berkata bahawa muzik, tarian, makanan dan kopi membentuk budaya Hadrami.

BUKU 'ARABS OF SINGAPORE: 200 YEARS ON' TURUT DIHIDUPKAN OLEH PENGALAMAN DERIA

Buku yang dicipta sebagai satu inisiatif untuk mewakili suara-suara masyarakat Arab tempatan ini dihidupkan juga oleh Motion for Impact yang menyediakan elemen-elemen deria agar para tetamu boleh mengenali dengan lebih rapat apa yang membentuk budaya Arab.

Antaranya ialah sebuah kegiatan khas bau-bauan yang digemari masyarakat Arab oleh pakar aromakologi dalaman Motion, Cik Aaliyah Hamdoon.
Related article image
Beberapa bau-bauan Arab dikurasi khas untuk acara ini (Gambar: Athirah Karim/BERITA Mediacorp)
Selain deria bau, deria rasa juga dirangsang oleh pelbagai jenis hidangan Arab yang disediakan seperti nasi khabsa, hummus, babaganoush, bamia kambing, dan maamoul.
Related article image
Hidangan-hidangan yang tersedia. Resipi bamia kambing turut dikongsi dalam buku 'Arabs of Singapore: 200 Years On' (Gambar: Athirah Karim/BERITA Mediacorp)
Acara 'Threads of Time' pada Khamis (28 Mei) itu disertai ahli keluarga-keluarga keturunan Arab di Singapura, termasuk Alatas, Mattar, Aljunied, Alhadi, Alhabsyi, Bahajaj dan Bagharib.

Turut serta ialah mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Ahmad Mattar, dan Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan, Dr Syed Harun Alhabsyi.
 
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita