Sumbangan mantan menteri Prof Yaacob dalam bidang IT dijulang dalam Anugerah Teknologi SG 2024
Apabila dilantik sebagai Menteri bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber yang pertama negara ini pada 2015, Profesor Yaacob Ibrahim tekad menggalas tanggungjawab penting untuk membawa Singapura menuju ke arah menjadi sebuah negara bijak.
SINGAPURA: Apabila dilantik sebagai Menteri bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber yang pertama negara ini pada 2015, Profesor Yaacob Ibrahim tekad menggalas tanggungjawab penting untuk membawa Singapura menuju ke arah menjadi sebuah negara bijak.
Memandangkan konsep keselamatan siber itu masih baharu lagi di negara ini pada ketika itu, beberapa cabaran yang dihadapinya termasuk menarik bakat yang berkebolehan serta meningkatkan tahap kesedaran masyarakat tentang keselamatan siber.
"Banyak yang tidak kenal pasti apakah keselamatan siber. Apakah serangan siber. Pada masa itu badan-badan pihak swasta juga tidak faham bahawa inilah salah satu yang mereka harus lakukan. Apabila kita bincang soal keselamatan siber, mereka tak terfikir bahawa mereka harus adakan bajet untuk menentukan bahawa sistem IT yang mereka ada itu dijaga dengan baik," kata Profesor Yaacob kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.
TERAJUI PELBAGAI USAHA NEGARA BIJAK DI PERINGKAT TEMPATAN DAN SERANTAU
Di bawah kepimpinannya, beberapa projek pemerintah berjaya dilaksanakan termasuk melancarkan Pejabat Program Negara Bijak, menubuhkan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), Agensi Teknologi Pemerintah (GovTECH) dan Agensi Keselamatan Siber (CSA).
Beliau turut mengusulkan beberapa rang undang-undang, termasuk Akta Perlindungan Data Peribadi dan Rang Undang-Undang Keselamatan Siber bagi melindungi data peribadi dan infrastruktur maklumat penting rakyat setempat.
Beliau juga menerajui inisiatif Minggu Siber Antarabangsa Singapura (SICW) yang dianjurkan setiap tahun dengan negara-negara jiran untuk berkongsi amalan demi mempertingkatkan lagi keselamatan siber di peringkat serantau.
"Kita tahu bahawa serangan siber itu mungkin berlaku bukan hanya di Singapura, tetapi di negara-negara yang lain. Di mana virus ataupun penyerang itu boleh lompat dari satu negara ke negara yang lain melalui rangkaian internet. Jadi, kita harus bekerjasama," tambah Dr Yaacob.
SUMBANGAN KEPADA BIDANG TEKNOLOGI MASIH DIPERGIAT PASCA POLITIK
Walaupun sudah meninggalkan dunia politik sejak 2020, dedikasi serta sumbangan beliau kepada bidang teknologi masih terus dikembangkan sehingga ke hari ini.
Sebagai seorang Profesor Kejuruteraan di Institut Teknologi Singapura (SIT), beliau masih giat menyumbang kepada arena teknologi dan terlibat dalam usaha-usaha berkenaan etika kecerdasan buatan (AI).
"Ini saya rasa satu langkah yang baik untuk memberi taklimat kepada rakyat Singapura. Apakah itu AI dan bagaimana ia boleh dijalankan dengan bertanggungjawab untuk menentukan bahawa soalan-soalan yang mungkin timbul, soal diskriminasi, kecenderungan daripada sistem AI boleh ditangani dengan baik untuk menentukan bahawa kita boleh terima bahawa AI ialah satu teknologi yang harus kita gunakan dalam semua lapisan masyarakat," ujarnya.
(Gambar: MCI)
Beliau berharap agar masyarakat dapat saling memperkasakan satu sama lain ke arah membina sebuah negara bijak.
"Apabila kita mewujudkan satu negara yang didayakan oleh teknologi, mungkin ada mereka yang berjalan lebih laju kalau dibandingkan mereka yang lain. Saya harap kita jangan tinggalkan sesiapapun. Dalam kita menjalankan transformasi Singapura. Setiap individu tua muda, 'IT Geek' ke bukan 'IT Geek', semua ada peranan dan semua merasakan bahawa mereka ada tempat di Singapura," kata Profesor Yaacob yang pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Perhubungan dan Penerangan serta Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam sehingga 2018.
LAPAN ANUGERAH; EMPAT KATEGORI DIBERIKAN KEPADA INDIVIDU DAN PASUKAN YANG PERJUANGKAN TEKNOLOGI
Sumbangan Profesor Yaacob dalam bidang keselamatan siber, industri media digital dan infokom negara itu diiktiraf dengan Anugerah Dewan Kemasyhuran di majlis tahunan Anugerah Pemimpin Teknologi pada Jumaat (11 Mei).
Majlis anjuran Persatuan Komputer Singapura (SCS) itu bertujuan meraikan wawasan serta inovasi para karyawan teknologi.
Anugerah Pemimpin Teknologi bagi tahun ini pula disampaikan kepada Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat kereta terpakai online, Carro, Aaron Tan atas pencapaiannya dalam mengemudi syarikat itu ke status 'unicorn' dalam masa enam tahun sejak ditubuhkan.
(Gambar: MCI)
Tetamu terhormat Menteri Negara Perhubungan dan Penerangan, Tan Kiat How dalam ucapannya turut mengalu-alukan lebih banyak kerjasama antara badan-badan pemerintah dengan institusi pendidikan serta syarikat-syarikat bukan teknologi untuk meningkatkan tahap karyawan teknologi di negara ini.
"Bukan sahaja membentuk pakatan dengan syarikat dan rakan kongsi dalam ekosistem teknologi, ia telah menghubungkan persatuan bukan teknologi untuk bekerjasama dalam projek kongsi untuk meningkatkan pendigitalan merentas ekonomi kita. Jadi, jalinkan pakatan. Saya sebenarnya sangat gembira kerana ia bukan sahaja membentuk pakatan dengan syarikat bukan teknologi tetapi juga membawa syarikat untuk memberi impak yang nyata," kata Encik Tan.
(Gambar: MCI)
Sebanyak lapan anugerah dalam empat kategori disampaikan kepada individu dan pasukan yang memacu pendigitalan dan transformasi dari berbilang sektor.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.