Skip to main content

Singapura

Sumbangan lebih 200 pegawai, pasukan dan agensi Home Team diiktiraf

Kemajuan dalam teknologi telah membolehkan kita bekerja dengan lebih pantas dan lebih bijak. 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Jan 2023 05:27PM Dikemas Kini : 19 Jan 2023 01:52PM

SINGAPURA: Kemajuan dalam teknologi telah membolehkan kita bekerja dengan lebih pantas dan lebih bijak. 

Tetapi, pada masa yang sama, ia telah menjadikan jenayah lebih mudah dilakukan.

Demikian menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang Encik K. Shanmugam di majlis penyampaian Anugerah Menteri di Akademi Home Team semalam (17 Jan). 

Encik Shammugam memberi contoh bagaimana telefon bijak dan aplikasi sembang baharu telah memudahkan penipuan merebak pada kelajuan yang sangat pantas. 

'

Pada separuh pertama tahun 2022 sahaja, terdapat 14,000 kes penipuan kata beliau.

Selain itu, platform online juga telah menjadikan kempen maklumat bermusuhan dijalankan dengan lebih mudah, cepat dan murah.

"Pada masa kini, adalah sangat mudah untuk menyebarkan maklumat yang salah atau menjalankan operasi sedemikian untuk memecahbelahkan masyarakat. Dan sudah tentu saiz kita yang kecil dan sifat berbilang kaum dan agama menjadikan kita sasaran yang amat mudah," kata Encik Shanmugam.

Beliau menggesa rakyat Singapura agar terus berwaspada terhadap keganasan dan individu yang menjadi radikal secara sendiri kerana ia kekal sebagai ancaman kepada keamanan dan kemakmuran negara ini.

Encik Shanmugam turut menyentuh tentang keperluan untuk mengekalkan sikap sivil.

"Jika anda melihat perpaduan sosial, di seluruh dunia, orang semakin mendefinisikan identiti mereka mengikut garis sempit - kaum, budaya, politik, agama. Dan itu secara amnya telah membawa kepada wacana yang kurang sivil dan lebih memecahbelahkan yang membawa kepada keganasan," kata beliau.

APLIKASI SCAMSHIELD BANTU PENGGUNA KENAL PASTI KES PENIPUAN TERIMA ANUGERAH INOVASI HOME TEAM (PLATINUM)

Sebanyak 202 anugerah dalam empat kategori disampaikan di majlis penyampaian Anugerah Menteri semalam.

Ia mengiktiraf pegawai, pasukan serta agensi yang menunjukkan kecekapan dan keupayaan luar biasa dalam menjalankan operasi, kes dan projek utama ataupun memaparkan piawaian inovasi tinggi dan kecemerlangan khidmat sepanjang mengendalikan tugas mereka.

Salah satu daripada 19 penerima Anugerah Inovasi Home Team adalah bagi aplikasi ScamShield untuk menangani jenayah online yang semakin meningkat.

'

Aplikasi itu dibangunkan hasil kerjasama pasukan dari Pasukan Polis Singapura (SPF), Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC) dan beberapa agensi Home Team lain.

Antara yang terlibat dalam pembangunan aplikasi itu adalah Pegawai Staf di Pejabat Penyelarasan Siber, DSP Azfer Ali Khan dan rakan-rakan kerjanya dari Divisyen Polis Tanglin.

Beliau berkata: "Idea ScamShield ini timbul selepas kita melihat jumlah kes penipuan semakin meningkat dan lebih ramai orang melaporkan bahawa mereka menjadi mangsa kes-kes penipuan. Cabarannya juga adalah mereka menjadi mangsa kepada pelbagai jenis penipuan dan sukar untuk mereka tahu mana yang sah atau penipuan."

Mereka kemudian bekerjasama dengan GovTech untuk membangunkan aplikasi ScamShield yang berupaya menapis dan menyekat panggilan dan mesej penipuan di telefon bimbit para pengguna. 

Projek pembangunan aplikasi itu menerima Anugerah Inovasi (Platinum) di Majlis Penyampaian Anugerah Menteri. 

'

DSP Azfer berkata: "Saya teruja menerima anugerah ini. Selepas aplikasi itu dilancarkan pada 2020, saya rasa gembira untuk semua pasukan dan agensi yang sudah bekerjasama. Ini bukan usaha satu orang tetapi satu pencapaian pasukan untuk memastikan projek ini berjaya."

KECEMERLANGAN SARJAN MOHAMMAD SHAHID ARIFFIN MENGAWASI BENGKEL KERJA UNTUK PARA BANDUAN DIIKTIRAF

Salah satu tugas utama Pegawai Program Bekerja di Institusi A2 Penjara Changi, Sarjan (SGT) Mohammad Shahid Ariffin adalah untuk mengawasi bengkel-bengkel kerja untuk para banduan setiap hari. 

Menurut SGT Shahid, bengkel-bengkel selama empat bulan itu membantu para banduan mempertingkatkan diri dan mendapatkan kerja apabila bebas dari penjara. 

'

Beliau juga bekerjasama rapat dengan para pensyarah dari Politeknik Nanyang serta Reben Kuning Singapura (YRSG) untuk pendaftaran banduan ke program itu.

"Antara cabaran adalah untuk memastikan para banduan sentiasa ada motivasi di dalam kelas. Mereka adalah banduan. Untuk mereka berikan fokus selama 4 bulan agak sukar."

"Untuk saya, berikan motivasi, saya perlu berikan semangat, keyakinan dan jaga kebajikan mereka juga," ujar SGT Shahid. 

Kecemerlangan SGT Shahid di tempat kerja diiktiraf dengan Anugerah Pencapaian Home Team. 

SGT Shahid berkata: "Perasaan saya gembira menerima anugerah ini. Anugerah ini berikan galakan kepada saya untuk melakukan lebih baik di tempat kerja dan untuk menjaga para banduan"

SGT Shahid merupakan antara enam penerima anugerah tersebut pada tahun ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita