Skip to main content

Singapura

Sumbangan, dedikasi guru & kakitangan Madrasah Al-Arabiah sepanjang 80 tahun disanjungi

Anggaran Waktu Membaca:
Sumbangan, dedikasi guru & kakitangan Madrasah Al-Arabiah sepanjang 80 tahun disanjungi
(Gambar: Majlis Ugama Islam Singapura)
SINGAPURA: Bangunannya pernah terbakar pada 1965 dan dibangunkan semula.

Namun ini tidak mematahkan semangat guru-guru, kakitangan dan para pemimpin Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) untuk meneruskan usaha membimbing dan mendidik generasi muda sehinggalah ke hari ini.

Berkat dedikasi mereka dan sumbangan masyarakat, institusi itu dapat terus memberi manfaat kepada masyarakat dan meraikan ulang tahunnya yang ke-80 tahun ini.
Related article image
(Gambar: Majlis Ugama Islam Singapura)
Semangat dan usaha mereka disanjung Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim.

"Pemulihan (daripada kebakaran) yang luar biasa ini dimungkinkan melalui sokongan daripada masyarakat dan ketekunan, dedikasi dan pengorbanan peribadi guru-guru dan kakitangan. Ketabahan dan perjuangan yang sama terus hidup dalam dedikasi yang kita saksikan dalam kepimpinan dan kakitangan institusi ini," kata Dr Faishal dalam ucapannya di Majlis Haflah madrasah itu pada Sabtu (14 Feb).

SIRI ACARA RAIKAN ULANG TAHUN KE-80 MAI

Madrasah itu ditubuhkan Shaik Omar Abdullah Bamadhaj pada 1946 dan wakafnya itu masih dimanfaatkan ribuan pelajar hingga ke hari ini.

Sempena ulang tahunnya yang ke-80 tahun ini, pelbagai acara dianjurkan termasuk Majlis Hari Raya bagi alumni madrasah itu pada April ini.

Siri acara itu bertemakan "Sebuah Legasi Ilmu, Masa Depan Rahmah".

MAJLIS HAFLAH RAIKAN PENCAPAIAN PELAJAR MAI

Dr Faishal juga memuji usaha MAI melahirkan para graduan yang berakarkan ilmu agama dan bersedia menyumbang kepada masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura.

Antara mereka ialah pelajar terbaik aliran Ekspres MAI bagi kohort 2025 - Laiqa Rasyiqah
Muhammad Ridzwan.
Related article image
(Gambar: Majlis Ugama Islam Singapura)
Penuntut berusia 16 tahun itu berjaya meraih 8 'A' dalam peperiksaan GCE 'O'.

Beliau berharap dapat meneruskan pelajarannya dalam bidang Sains Bio-Farmaseutikal di Politeknik Singapura dan bercita-cita menjadi seorang doktor.

"Selain kejayaan akademik, dia telah berkhidmat kepada orang lain melalui inisiatif masyarakat di peringkat tempatan dan luar negara termasuk memasang penapis air di Bintan dan menganjurkan pengagihan makanan untuk keluarga yang memerlukan. Dia juga merancang untuk menjadi sukarelawan di Hospital Besar Sengkang dan bercita-cita untuk menjadi seorang doktor," kongsi Dr Faishal kepada para hadirin.

"Kisahnya adalah peringatan yang kuat bahawa setiap daripada kita boleh melangkah ke hadapan untuk berkhidmat kepada orang lain. Saya berharap ia memberi inspirasi kepada lebih ramai untuk memainkan peranan aktif dalam masyarakat dan berusaha untuk menjadi versi terbaik diri mereka, di mana sahaja mereka berada dalam perjalanan mereka," tambahnya.

Pemahaman lebih baik tentang konteks kehidupan masyarakat berbilang kaum sebegini juga penting kata Dr Faishal, di tengah-tengah keadaan global yang berubah.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita