Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sulaimah Mahmood terajui pasukan S’pura dalam rundingan perjanjian dagangan bebas antara terbesar dunia

Selepas lapan tahun dirundingkan, akhirnya termeterai juga Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) semalam (15 Nov). 

Anggaran Waktu Membaca:
Sulaimah Mahmood terajui pasukan S’pura dalam rundingan perjanjian dagangan bebas antara terbesar dunia

(Gambar: Tommy Koh/Facebook)

SINGAPURA: Selepas lapan tahun dirundingkan, akhirnya termeterai juga Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) semalam (15 Nov).

Dengan pelibatan 15 negara anggota yang menyumbang kepada 30 peratus Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) dunia, pemeterian RCEP disifatkan sebagai satu pencapaian yang sangat besar – seperti yang diluahkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong – bahawa ia akan merangsang pemulihan dan kebangkitan ekonomi serantau yang dicengkam dengan pandemik COVID-19 buat masa ini.

Namun, tidak ramai yang tahu betapa sukar dan sulitnya tugas balik tabir pemeteraian perjanjian bersejarah ini - ketika RCEP ditandatangani oleh pemimpin-pemimpin ASEAN dan negara-negara yang turut menyokongnya seperti China, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Australia - dengan sepasukan pegawai kanan Perkhidmatan Awam bertungkus lumus memastikan semuanya berjalan lancar.

Antara mereka yang memainkan peranan besar dalam membawa perjanjian tersebut ke peringkat pemeteraiannya ialah Cik Sulaimah Mahmood, Pengarah Kanan Divisyen ASEAN, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Dalam catatan Facebooknya hari ini (16 Nov), Duta Kelana Singapura Tommy Koh menarik perhatian kepada kesulitan dan kerumitan yang dihadapi dalam rundingan mana-mana Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) berdasarkan pengalamannya sebagai Ketua Perunding bagi FTA Amerika Syarikat-Singapura.

Sulaimah Mahmood is Singapore’s Chief Negotiator of the Regional Comprehensive Economic Partnership Agreement which was...

Posted by Tommy Koh on  Sunday, 15 November 2020

Profesor Koh turut mendedahkan dalam catatannya itu bahawa Cik Sulaimah adalah Ketua Perunding Singapura bagi RCEP. Tugasnya dalam menjayakan RCEP “teramat sukar”, kata Prof Koh, kerana Cik Sulaimah perlu berunding dengan 14 negara lain dan prosesnya memakan masa lapan tahun sehingga ia akhirnya berjaya dimuktamadkan.

ISYARAT KEPADA DUNIA

Sebagai ketua perunding, Cik Sulaimah menggalas tanggungjawab memenuhi komitmen Singapura untuk memuktamadkan RCEP tepat pada masanya, menurut rencana Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew (LKYSPP) yang diterbitkan pada 2019.

Dalam rencana itu, Cik Sulaimah menjelaskan: "Sangat penting untuk mewujudkan (RCEP). Ia memberikan isyarat yang sangat penting kepada seluruh dunia bahawa ada satu lagi FTA yang besar di sini".

Namun, tugas Cik Sulaimah dirumitkan dengan suara berbelah bagi dalam kalangan sesetengah negara anggota seperti India, yang memutuskan untuk mengundurkan diri dari menyertai RCEP.

Para pengkritik menganggap RCEP sebagai satu ancaman terhadap perusahaan tempatan, khususnya dalam industri pengilangan dan pertanian, menurut rencana LKYSPP.

Tanggapan sedemikian, ulas Profesor Madya LKYSPP James Crabtree, menghambat pemeteraian RCEP sehingga tertangguh selama "bertahun-tahun".

Lantaran itu, setiap pihak perlu berunding dengan pihak-pihak berkepentingan dan membuat penilaian tersendiri, kata Cik Sulaimah.

SELARASKAN FTA SEDIA ADA

Cik Sulaimah juga berdepan dengan kerumitan dalam menyelaraskan FTA-FTA sedia ada antara negara-negara ASEAN dengan ekonomi-ekonomi rakan iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Cik Sulaimah ditukil LKYSPP sebagai berkata: "Prinsip yang menjadi panduan RCEP adalah untuk melakar dan terus membangunkannya supaya ia jauh lebih baik daripada FTA-FTA ASEAN Campur Satu".

Perjanjian-perjanjian FTA sedemikian, yang sudah dirundingkan secara dua hala antara negara masing-masing menetapkan syarat-syarat yang berbeza-beza. Ini termasuk perbezaan dari segi tahap akses kepada pasaran masing-masing.

Matlamat Cik Sulaimah adalah untuk memastikan tahap akses pasaran bagi kesemua negara anggota RCEP dinaikkan sehingga "melepasi paras 90 peratus atau lebih".

MEMIKAT PENYERTAAN PERUSAHAAN

Kepentingan syarikat-syarikat juga perlu diambil kira oleh Cik Sulaimah. Satu lagi matlamat yang jelas bagi Singapura adalah memudahkan urusan perniagaan.

Namun, para ahli perniagaan memberi maklum balas bahawa perjanjian-perjanjian yang lebih terdahulu daripada RCEP menetapkan pelbagai syarat dan ada daripadanya yang dianggap mengelirukan.

"Jika kita mempunyai hanya satu FTA 'mega' ... untuk memudahkan syarat-syarat dan peraturan-peraturan (mengenai asal usul barang-barangan), misalnya, dari segi dokumentasi ... baru kita akan lihat peningkatan," ujar Cik Sulaimah menurut laporan LKYSPP.

PERUNDING WANITA ANTARA YANG TERUNGGUL

Duta Kelana Tommy Koh berkongsi bahawa antara perunding Singapura yang terbaik terdiri daripada wanita seperti Cik Sulaimah dan Ketua Pengarah Divisyen Perdagangan Amerika Utara dan Eropah, Ng Bee Kim dan Ketua Spesialis Perdagangan, Mary Elizabeth Chelliah.

Mereka adalah antara pemain 'belakang tabir' yang menjayakan begitu banyak FTA - sekurang-kurangnya 25 kesemuanya - yang dimeterai antara Singapura dengan ekonomi-ekonomi asing dalam aturan dua hala mahupun berbilang hala.

Mengakhiri catatannya, Profesor Koh turut melahirkan penghargaannya kepada para perunding perdagangan – masa lalu dan sekarang – atas sumbangan mereka kepada kepentingan Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan