Sulaimah Mahmood antara wanita berpengaruh dalam landskap perdagangan S'pura
Sebagai Ketua Perunding RCEP Singapura, Cik Sulaimah mengetuai pasukan hampir 50 pegawai daripada pelbagai agensi negara ini.
SINGAPURA: Wanita bernama Sulaimah Mahmood ini mungkin tidak dikenali ramai dalam masyarakat Melayu/Islam kita, namun beliau sebenarnya salah seorang tokoh begitu berpengaruh dalam landskap perdagangan Singapura.
Hasil rundingan yang beliau ketuai di pentas dunia bagi pihak Singapura, bukan sahaja memanfaatkan jutaan penduduk negara ini, malah juga memanfaatkan lebih dua bilion penduduk dunia.

Cik Sulaimah (dua dari kanan) bersama PM Lee dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing. (GambarMCI)
Rundingan yang dimaksudkan itu ialah Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) - iaitu perjanjian dagangan bebas terbesar dunia yang dimeterai 15 negara baru-baru ini.
Cik Sulaimah mencuri perhatian umum sekitar dua minggu lalu apabila muncul dalam catatan Facebook Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang berkongsi sekeping gambar memperkenalkan Cik Sulaimah sebagai Ketua Perunding RCEP di pihak Singapura.
Duta Kelana Singapura Prof Tommy Koh, dalam catatan Facebook beliau juga memuji Cik Sulaimah sebagai antara perunding dagangan terbaik negara ini.
Pada Rabu (25 Nov), Cik Sulaimah, yang juga merupakan Pengarah Kanan di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Divisyen ASEAN, bertemu dengan pihak media untuk berkongsi pengalamannya mewakili negara untuk merealisasikan RCEP yang dipersetujui ASEAN, China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

(Gambar: MCI)
Ini bermakna setiap negara boleh mengimport barangan satu sama lain dengan tarif minimum atau tiada sama sekali - suatu langkah yang dijangka merangsang lagi kegiatan ekonomi blok 15 negara itu.
Sebagai Ketua Perunding RCEP Singapura, Cik Sulaimah mengetuai pasukan hampir 50 pegawai daripada pelbagai agensi negara ini.
"Peranan saya pastinya untuk memastikan RCEP ditandatangani. Ia adalah perjanjian yang baik untuk Singapura. Untuk merundingkan huraian terbaik yang diinginkan daripada perjanjian ini dan semasa rundingan ada masa di mana kami perlu bertolak ansur dan lebih fleksibel demi mencapai keseimbangan dengan rakan-rakan negara lain.
"Sebagai Ketua Perunding saya juga perlu memastikan saya menjalin hubungan sangat baik dengan rakan sejawatan lain, iaitu ketua perunding dari 14 negara lain. Terutama kerana penting untuk kami mengekalkan hubungan baik dan untuk memahami isu-isunya," kongsi Cik Sulaimah.

Cik Sulaimah (depan, tengah) bersama sebahagian pegawainya. (Gambar: Sulaimah Mahmood)
Perjanjian dagangan bebas atau FTA itu cukup rumit dan kompleks kerana ia bukan setakat dua hala, tetapi 14-hala kerana melibatkan 15 negara kesemuanya.
Maka itulah, ia mengambil masa lapan tahun sebelum RCEP dapat dimeterai.
Perjanjian itu sepatutnya melibatkan 16 buah negara, termasuk India. Namun di saat-saat akhir hendak sampai ke 'garisan penamat' untuk mengumumkan di sidang puncak RCEP pada 4 November 2019 bahawa perjanjian itu sudah dipersetujui semua 16 negara anggota, India pula menarik diri.
"Perasaan saya waktu itu, saya terus terdiam membeku. Terkejut. Sangat kecewa kerana kita semua sudah bekerja keras. Malah pada 3 November kami semua masih lagi bekerja sehingga lepas tengah malam termasuk para menteri untuk memastikan semua sedia untuk membuat pengumuman," cerita Cik Sulaimah tentang perkembangan di balik tabir.

Cik Sulaimah (dua dari kiri). (Gambar: Facebook/Chan Chun Sing)
Sekalipun demikian, negara-negara anggota RCEP bersepakat untuk mengalu-alukan India sekiranya negara itu membuat keputusan untuk menyertai semula perjanjian tersebut pada masa akan datang.
SULAIMAH MAHMOOD SUDAH TERLIBAT DENGAN LEBIH 12 FTA
RCEP bukanlah FTA pertama yang melibatkan Cik Sulaimah. Wanita berusia 63 tahun itu sebenarnya sudah terlibat dengan lebih 12 FTA sepanjang 30 tahun beliau bertugas dalam rundingan perdagangan. Ujar beliau:
"(Merundingkan FTA) memerlukan kesabaran yang tinggi. Saya rasa semua ketua perunding, bukan saya sahaja, semua perlu komited, bercita-cita dan bersungguh-sungguh tentang apa yang dilakukan dan sabar. Saya rasa jika anda tiada kesabaran, jika anda mahu jalan pintas sukar sekali untuk menjadi seorang perunding perdagangan bukan sahaja untuk ASEAN tetapi dalam apa juga perjanjian perdagangan."

Cik Sulaimah (tengah) bersama sebahagian pegawainya. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)
Ditanya sama ada tugas menjadi perunding seperti ini lebih sesuai untuk wanita, ibu dua anak itu tidak berpendapat begitu, walaupun akur bahawa wanita punya faktor "ekstra".
Cik Sulaimah berkongsi bahawa asalnya beliau mahu menjadi seorang guru sekolah rendah selepas tamat pengajian di Universiti Singapura. Namun beliau tidak ditawarkan pekerjaan tersebut. Dipendekkan cerita, Cik Sulaimah kemudian diberi dua pilihan: Menerima tawaran bekerja di Lembaga Kemajuan Ekonomi atau di Kementerian Ehwal Luar.
Beliau menyahut tawaran pertama dan terus mendaki tangga kerjaya dalam bidang perdagangan.

(Gambar: Facebook/Tommy Koh)
Kini Cik Sulaimah sudah seolah-olah menjadi 'tukang promosi' bagi MTI. Beliau berkongsi bahawa beliau sekarang lebih mengajak anak-anak kawannya supaya menyertai MTI kerana ia "tempat sangat mengghairahkan".
"Pada akhirnya anda harus ingat, bahawa dasar yang anda buat akan menjejas kehidupan rakyat Singapura, semua perniagaan. Jika anda sertai sektor privet, sertai sebuah syarikat, dan anda lakukan kesilapan, ia hanya menjejas syarikat itu. pekerjanya. Ia terhad.
"Jika anda menyertai Kementerian Perdagangan, kepuasan yang anda perolehi, cabaran-cabaran yang anda lalui semasa melakar dasar-dasar. Anda tidak hanya melakar dasar dengan hanya duduk di balik komputer. Anda perlu berbincang dengan sektor privet, agensi-agensi relevan dan rakan-rakan sekerja. Anda mendapatkan panduan daripada bos anda. Jadi, ia cukup memperkayakan diri saya," kata Cik Sulaimah lagi.

Cik Sulaimah (tengah) bersama sebahagian pegawainya. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)
Walaupun tugas sebagai perunding adalah tugas yang berat, Cik Sulaimah berkata ia bukanlah sentiasa kerja keras semata-mata.
Beliau dan rakan-rakan sekerja "tahu berseronok" tambahnya serta kerap makan bersama-sama dan menyambut hari lahir bersama-sama.
"Salah satu memori paling indah adalah sewaktu kami meraikan Hari Kebangsaan ke-50 Singapura di Naypyidaw, Myanmar. Kami semua membawa periuk dari Singapura untuk memasak. Semuanya untuk berasa seronok meraikannya kerana kami tahu kami tidak akan berada di tanah air untuk menyambutnya," cerita Cik Sulaimah.
Jadi, adakah pemeteraian RCEP yang beliau rundingkan merupakan kemuncak kerjayanya? Cik Sulaimah menjawab bahawa beliau sebenarnya tidak dapat menentukan pencapaian mana yang terbaik sepanjang kerjayanya yang bermula pada 1981.
"Tapi saya tahu bahawa esok pasti akan ada perkara-perkara baru untuk dipelajari dan bidang-bidang baru untuk diterokai," tekan tokoh veteran ini.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.