Sukarelawan PAP kongsi rakaman perbalahan dengan anggota PSP
Seorang sukarelawan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Khamis (9 Jan) berkongsi dua rakaman video pertemuannya dengan anggota Parti Kemajuan Singapura (PSP), ini sedang kedua-dua parti politik itu berbalah atas dakwaan diganggu.
PSP menuduh sukarelawan PAP mengekori mereka pada Sabtu lalu (4 Jan), di mana anggotanya sedang melakukan lawatan temui penduduk di Bukit Gombak.
Cik Low Yen Ling, anggota parlimen bagi GRC Chua Chu Kang, berkongsi tentang dakwaan itu dalam catatan Facebook pada Rabu (8 Jan).
Dalam perkembangan terkini, seorang pengguna Facebook bernama Azman Ibrahim berkongsi video yang menunjukkan seorang lelaki memakai kemeja PSP cuba berswafoto dengannya, di mana kedua-duanya kelihatan sedang bertengkar.
Menjelang penghujung video itu, seorang lagi lelaki yang memakai kemeja PSP berjalan di sebelah Encik Azman dan dalam video itu tertera: "Saya ditampar apabila dia berjalan di sebelah saya".
Kapsyen video itu kemudian tertera: "Kejadian bertukar menjadi fizikal".
Dalam satu lagi video yang dikongsi, seorang wanita memakai baju berwarna putih dikelilingi oleh beberapa individu yang memakai kemeja PSP.
Seorang anggota wanita PSP menyedari bahawa mereka sedang dirakam lalu berjalan ke arah kamera tersebut.
Video itu kemudian menonjolkan wajah anggota wanita PSP itu dengan lebih dekat sebelum kamera itu ditutup dengan risalah PSP.
Individu yang merakam video berkenaan kemudian mengundurkan diri namun anggota PSP berkenaan tetap mengekorinya, sambil cuba menutup kamera tersebut.
Kapsyen pada video tersebut tertera "dipukul oleh risalah".
Mediacorp sudah pun menghubungi PSP bagi mendapatkan komen.
Encik Azman mengenal pasti dirinya sebagai "Sukarelawan Lelaki 1" yang dinukil dalam catatan Facebook Cik Low pada Rabu.
Cik Low menyatakan bahawa "Sukarelawan Lelaki 1" berkenaan ditampar sebanyak dua kali, sekali dalam lif dan satu lagi di koridor.
"Dan selama ini, sukarelawan itu juga dihina menggunakan kata-kata cacian," tulisnya.
Encik Azman menyatakan bahawa beliau ingin berkongsi video itu kerana beliau terkesan oleh gambar dan video memaparkan dirinya yang dikongsi secara meluas online, dan orang ramai menanyakan sama ada apa yang dikatakan oleh PSP adalah benar.
Beliau berkata bahawa beliau menghulurkan sokongan kepada para sukarelawan pada 4 Januari lalu dan berasa bimbang apabila melihat seorang sukarelawan wanita dikerumuni.
Menurutnya, kedua-dua pihak mula merakam satu sama lain.
"Apa yang saya tidak dapat jangkakan apabila mereka mula bertindak secara kasar dan fizikal. Keluarga saya dan diri saya menjadi sasaran online. Keluarga saya dan diri saya disakiti," katanya.
"Kini aduan polis dibuat, saya harap kebenaran akan terbongkar."
Pengerusi PSP Tan Cheng Bock pada Rabu menggesa Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang dan PAP supaya mengulas tentang kejadian itu.
Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong yang merupakan seorang AP GRC Chua Chu Kang juga berkongsi catatan Facebook Cik Low pada hari yang sama.
"Saya pasti Dr Tan akan bersetuju bahawa para sukarelawan PSP tidak harus terlibat dalam tindakan yang melibatkan perbuatan menahan, menyerang dan menghina orang lain - walaupun beliau tidak mengatakan apa-apa mengenainya,' katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.