Sukarelawan NDP 2026 perhalusi persiapan, semarakkan sambutan Hari Kebangsaan
Kejayaan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) bukan sahaja bergantung kepada para peserta dan pasukan di belakang tabir, malah ribuan sukarelawan yang memainkan pelbagai peranan bagi menjayakan sambutan tahun ini.
Para sukarelawan NDP 2026 memperhalusi persiapan menjelang sambutan Hari Kebangsaan di Stadium Negara pada 9 Ogos. (Gambar: Mediacorp)
Antara mereka ialah penuntut politeknik Celeste Kan, yang menjadi salah seorang daripada ratusan pendorong persembahan NDP 2026.
Peranannya adalah untuk menyemarakkan suasana dan menggalakkan penonton di Stadium Negara supaya turut sama menyertai kemeriahan persembahan.
Celeste dan pendorong persembahan lain sudah menjalani latihan selama berbulan-bulan sebagai persiapan bagi sambutan pada 9 Ogos.
"Apabila anda melihat para penonton dan anda nampak semua orang tersenyum serta menyanyi sekuat hati, tenaga itu sesuatu yang hadir secara semula jadi," katanya.
Menurut Celeste, penglibatannya dalam NDP juga menjadi satu cara baginya melepaskan tekanan.
CABAR DIRI BUAT PERSEMBAHAN BERSAMA PANCARAGAM TENTERA
Seorang lagi sukarelawan, Madeline Chan, pula memainkan peranan berbeza pada NDP tahun ini.
Dalam edisi-edisi NDP sebelum ini, Cik Chan, seorang warga baharu, menjalankan tugas seperti pemeriksaan keselamatan dan memberikan panduan jalan kepada orang ramai.
Namun tahun ini, beliau menjadi satu-satunya sukarelawan yang akan membuat persembahan bersama pancaragam tentera Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Peranan tersebut memerlukan Cik Chan menggabungkan kemahirannya bermain alat muzik dengan keupayaan berbaris dan berarak.
Beliau mengakui tugas itu pada mulanya mencabar kerana pengalamannya sebelum ini adalah bersama pancaragam simfoni dan beliau tidak mempunyai latar belakang dalam pancaragam tentera.
"Saya mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan kemahiran berbaris dan bermain alat muzik sambil berarak," katanya.
Celeste dan Cik Chan adalah antara ribuan sukarelawan yang menyumbang tenaga kepada NDP 2026, masing-masing memainkan peranan tersendiri dalam menyemarakkan semangat sambutan ulang tahun Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.