Skip to main content

Singapura

Sukarelawan masjid ditaja sepenuhnya tunai umrah, tanda penghargaan atas khidmat bakti

Anggaran Waktu Membaca:
Sukarelawan masjid ditaja sepenuhnya tunai umrah, tanda penghargaan atas khidmat bakti

Jemaah yang aktif dalam kerja-kerja sukarelawan di masjid selama sekurang-kurangnya 3 tahun telah dipilih untuk inisiatif umrah ini. (Gambar: Hidir Ezat)

SINGAPURA: Sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti mereka, seramai 18 sukarelawan masjid menerima tajaan penuh untuk menunaikan umrah.

Mereka dipilih menerusi pakej Badal Umrah yang diperkenalkan Shahidah Travel & Tours.

"Kami telah meminta pengerusi masjid untuk membantu kami memperkenalkan kepada jemaah yang aktif dalam kerja-kerja sukarelawan selama sekurang-kurangnya 3 tahun,"kata Pengarah Urusan Shahidah Travel & Tours, Haji Ayoob Angullia.

"Kita harus menghormati sukarelawan masjid kerana masjid tidak boleh berfungsi tanpa sukarelawan dan mereka telah banyak berjasa," tambahnya lagi.

Melalui inisiatif ini, orang awam membeli pakej Badal Umrah berharga $1,999.

Hasil kutipan yang mencecah $40,000 digunakan bagi menaja perjalanan para sukarelawan.

Pada masa yang sama, mereka turut memikul amanah melaksanakan badal umrah bagi pihak penyumbang, selain menunaikan umrah untuk diri sendiri.

"Untuk melakukan badal haji sekarang adalah susah. Hanya beberapa orang sahaja dalam Singapura yang kami terima visanya. Jadi badal umrah merupakan alternatif kepada badal haji," kata Haji Ayoob.
Related article image
Para sukarelawan ini turut memikul amanah melaksanakan badal umrah bagi pihak penyumbang, selain menunaikan umrah untuk diri sendiri. (Gambar: Hidir Ezat)
Bagi para sukarelawan yang dipilih, inisiatif ini merupakan penghargaan yang sangat bermakna untuk mereka.

"Apabila saya diberitahu oleh Shahidah Travel yang saya dipilih sebagai salah satu jemaah umrah pakej infaq umrah, kami sebagai relawan masjid sangat mengalu-alukan usaha ini," kata sukarelawan Masjid Mujahidin, Encik Haris Hambali.

"Program ini merupakan sesuatu yang baik kerana ia membawa satu kelainan. Saya rasa sebagai satu pengiktirafan kepada relawan-relawan masjid dan itu adalah sesuatu yang baik," tambahnya lagi.

Seorang lagi sukarelawan, Encik Isa Kamsani, turut meluahkan rasa syukur atas penghargaan itu.

"Saya berterima kasih pada yang menaja kami yang dapat pergi umrah kali ini dan juga mengenang jasa sukarelawan-sukarelawan yang ada, yang berbakti di masjid-masjid di Singapura ini seperti saya dan kawan kawan yang lain," katanya.

Para sukarelawan dari lapan masjid tersebut berangkat ke tanah suci pada Khamis (28 Ogos).

Kumpulan tersebut merangkumi:
5 sukarelawan dari Masjid Pusara Aman
1 sukarelawan dari Masjid Angullia
2 sukarelawan dari Masjid Malabar
1 sukarelawan dari Masjid Abdul Gafoor
1 sukarelawan dari Masjid Al Abdul Razak
3 sukarelawan dari Masjid Abdul Aleem Siddique
1 sukarelawan dari Masjid Kampung Siglap
4 sukarelawan dari Masjid Mujahidin

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim turut berada di Lapangan Terbang Changi untuk bertemu para jemaah sebelum berlepas.

Shahidah Travel & Tours berharap agar inisiatif ini menjadi permulaan kepada lebih banyak program seumpamanya pada masa akan datang, dengan sokongan berterusan daripada masyarakat.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita