Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sukarelawan M³ bakal kerja rapat dengan KidSTART untuk sokong kukuh keluarga Melayu

Usaha tersebut akan bermula di tiga blok dalam fasa perintis Projek DIAN@M³ di M³@Bedok, M³@Geylang Serai dan M³@Jalan Besar.
 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sukarelawan M³ bakal bekerja rapat dengan program KidSTART untuk mengukuhkan sokongan bagi keluarga Melayu yang mempunyai anak-anak kecil di flat sewa menerusi Projek DIAN@M³.

Usaha tersebut akan bermula di tiga blok dalam fasa perintis Projek DIAN@M³ di M³@Bedok, M³@Geylang Serai dan M³@Jalan Besar.

Demikian menurut Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Maliki Osman di parlimen semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan Ehwal Masyarakat Islam hari ini (10 Mac).

"Sukarelawan kami akan bekerjasama dengan pegawai KidSTART, mengunjungi mereka secara kerap, memantau pembangunan kanak-kanak dan menjadi rakan rapat ibu bapa muda ini.

maliki osman

"Saya yakin terdapat ramai di luar sana yang turut prihatin akan masa depan anak-anak ini dan saya mengajak mereka untuk tampil berkhidmat sebagai sukarelawan kami. Khidmat anda akan mengubah masa depan anak-anak ini," kata beliau.

KidSTART memperkasa ibu bapa dengan kemahiran berkaitan penjagaan bayi, pemakanan dan menyokong pembangunan menyeluruh kanak-kanak.

Projek DIAN@M³ pula bertujuan membantu keluarga di flat sewa meningkatkan pendapatan mereka serta berusaha membeli dan memiliki flat sendiri.

DEKATI HAMPIR 65% KELUARGA MELAYU

Projek DIAN@M³ sudahpun mendekati hampir 65 peratus dari kesemua keluarga Melayu yang menetap di tiga blok sewa fasa perintis di M³@Bedok, M³@Geylang Serai dan M³@Jalan Besar sejak Disember lalu.

Dr Maliki berkata sokongan bersepadu itu diperkukuhkan bagi keluarga di flat sewa itu dengan menghubungkan mereka dengan program-program masyarakat dan nasional.

Ini termasuk program ComLink oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), program UPLIFT oleh Kementerian Pendidikan (MOE) dan program KidSTART oleh Agensi Pembangunan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECDA).

Usaha-usaha itu juga demi melengkapkan usaha pemerintah dengan pendekatan yang sesuai dengan budaya dan nilai masyarakat Melayu, kata Dr Maliki.

JAWATANKUASA PEMANDU PROJEK DIAN DITUBUHKAN

Malah bagi memudahkan proses tersebut, sebuah Jawatankuasa Pemandu Projek DIAN ditubuhkan bagi menyelaras usaha antara agensi pemerintah dan
rakan kongsi masyarakat.

Jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh Dr Maliki sendiri dan terdiri daripada pegawai-pegawai kanan lapan agensi pemerintah dan masyarakat.

Selain meningkatkan penyelarasan, kolaborasi dan sinergi dalam kalangan pihak-pihak berkepentingan, ia juga ditubuhkan bagi membangunkan pangkalan data yang berpusat bagi maklumat keluarga Melayu di flat-flat sewa serta membangun, meningkatkan dan menyelaras aliran kerja dan proses bagi intervensi dan sokongan kepada keluarga-keluarga tersebut.

KUMPULAN OPERASI DITUBUHKAN

Bahkan bagi memastikan sokongan yang diberi akan menjadi lebih berkesan, sebuah Kumpulan Operasi juga ditubuhkan di setiap tiga bandar M³ itu.

Kumpulan operasi itu antara lain dianggotai pegawai-pegawai Pejabat Khidmat Sosial, Pusat Khidmat Keluarga, Pejabat Cawangan HDB dan M³@Bandar.

Mereka bekerjasama bagi menyelaras intervensi yang tepat pada masanya dan tersasar.

"Melalui kumpulan operasi ini, kami memahami keadaan dan keperluan setiap keluarga, dan bekerjasama untuk memberi sokongan komprehensif.

"Kami akur peranan penting para sukarelawan meniti perjalanan bersama keluarga ini dan membimbing mereka di setiap langkah – daripada menyokong pendidikan awal kanak-kanak kepada meningkatkan kemahiran ibu bapa bagi mendapatkan pekerjaan baik dan pendapatan yang stabil untuk memiliki rumah sendiri," kata Dr Maliki kepada dewan parlimen.

PERLUAS PERANAN SUKARELAWAN MESRA

Beliau juga menarik perhatian bahawa para sukarelawan MESRA dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) sudahpun meluaskan peranan mereka lebih daripada hanya menganjurkan acara-acara kebudayaan sejak beberapa tahun lalu.

Mereka kini, kata Dr Maliki, berganding bahu dengan sukarelawan masjid dan kumpulan karyawan untuk
mendekati dan menilai keperluan keluarga-keluarga yang menetap di flat sewa, dengan menggunakan borang yang sama digunakan oleh program ComLink Pemerintah.

"Ini dapat menyelaraskan usaha-usaha, membolehkan kami memberikan khidmat yang sesuai bagi memenuhi keperluan unik setiap keluarga," jelas beliau.

Dalam menilai kejayaan dan hasil jangka panjang Projek DIAN@M³, Dr Maliki berkata matlamat utamanya ialah memperkukuh asas pendidikan awal anak-anak bagi menjamin masa depan lebih cerah bagi mereka dan mencapai kestabilan keluarga supaya mereka mampu berdikari dan terus mendaki tangga sosial.

"Kami akan memantau perkembangan dan kemajuan setiap keluarga dalam mencapai impian mereka untuk memiliki flat sendiri. Kami yakin setiap usaha ini pasti akan membuahkan hasil. Namun, kita semua tahu proses ini akan memakan masa," kata beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa