Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sukarelawan anjur operasi pembersihan selepas konsert Coldplay di SG

Anggaran Waktu Membaca:
Sukarelawan anjur operasi pembersihan selepas konsert Coldplay di SG

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 24 Jan 2024 08:47PM Dikemas Kini : 24 Jan 2024 08:49PM


SINGAPURA: Ketika kira-kira 55,000 peminat bernyanyi sekuat hati di Stadium Negara pada malam pertama konsert Coldplay yang laris dijual pada Selasa (23 Jan), sekumpulan 10 sukarelawan bersedia dengan beg sampah menunggu di luar dengan penuh kesabaran.

Mereka berada di sana bagi kerja-kerja pembersihan yang dianjurkan oleh Stridy, sebuah pertubuhan bukan untuk keuntungan alam sekitar.

Salah satu sukarelawan, iaitu Cik Nutan Shah, seorang pesara berusia 58 tahun, berkata bahawa menjaga alam sekitar adalah minatnya.

Dia berada di sana bersama suaminya, yang juga peminat muzik.
 

Mengadakan kerja-kerja pembersihan di konsert arus perdana seperti Coldplay dan Taylor Swift merupakan sebahagian daripada usaha untuk menjana lebih banyak kesedaran bahawa "sampah sentiasa berada di mana-mana" kata Encik Yasser Amin, ketua pegawai Stridy.

Kerja pembersihan secara sukarela pada Selasa adalah yang pertama dijalankan di sebuah konsert, yang menjangkakan sampah di sekitar kawasan selepas acara tamat.

Stridy kerap menganjurkan pembersihan di kawasan bandar dengan kerjasama syarikat-syarikat dan sekolah.

Meskipun acara dengan ramai peserta seperti Formula One dan Perarakan Hari Kebangsaan biasanya mempunyai kakitangan pembersihan yang akan membersihkan sampah di kawasan tersebut sebaik sahaja orang ramai pergi, Encik Yasser berkata pembersihan pada Selasa dianjurkan sebagai percubaan.

Ini kerana kumpulan tersebut tidak pasti dengan keadaan di luar kawasan Hab Sukan selepas konsert Coldplay.

Apabila Mediacorp tiba di Stadium Negara pada kira-kira pukul 9.00 malam, lebih 100 orang awam sedang duduk di luar salah satu pintu Stadium Negara. Beberapa orang dengan makanan dan tikar mendengar konsert yang sedang berlangsung.

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Kumpulan yang terlibat dalam pembersihan berkumpul sekitar pukul 8.00 malam. Mereka duduk di atas kerusi lipat dan mendengar lagu dari luar stadium.

Pada kira-kira jam 10 malam apabila konsert mula reda, mereka mengambil alat memungut sampah dan beg sampah untuk meninjau kawasan sekitar Hab Sukan.

Kumpulan tersebut membersihkan ratusan puntung rokok dan mengumpulkan sampah seberat 3 kilogramselama lebih sejam.

Stridy juga merancang untuk mengadakan kerja-kerja pembersihan bagi persembahan Coldplay pada Sabtu (27 Jan) dan konsert Taylor Swift yang akan bermula pada Mac tahun ini.

PEMBUANGAN SAMPAH DI KAWASAN BANDAR

Di Singapura, lebih daripada 3,700 "strides" atau aktiviti pembersihan sudah di log masuk di dalam aplikasi Stridy sejak ia bermula pada 2020.

Ia menghasilkan lebih 5,800 kilogram sampah dikumpulkan.

"Biasanya di Singapura, orang ramai berfikir aktiviti pembersihan hanya boleh dijalankan di pantai, namun ini tidak benar," kata Encik Yasser.

“Apabila kami melakukan pembersihan di Taman East Coast, kami bermula di kawasan tempat letak kereta dan kawasan sekitar McDonald’s dan taman permainan. Apabila kami tiba di pantai, beg kami penuh dengan sampah,” kata Encik Yasser.


Encik Yasser berkata bahawa usaha pembersihan adalah titik permulaan untuk ramai orang sedar tentang tahap masalah sampah di negara ini, dan memupuk lebih banyak tabiat mesra alam seperti menggunakan bahan-bahan mampan.

Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan