Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sukar untuk semua negara berikan komitmen lebih lanjut untuk tindakan iklim persidangan COP 28: PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Oct 2023 07:51PM Dikemas Kini : 23 Oct 2023 10:15PM
SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata, sukar untuk semua negara memberikan komitmen lebih lanjut untuk tindakan iklim di persidangan COP 28 yang bakal menjelang.

Ini terutama sekali untuk sebilangan ekonomi yang bergantung kepada sektor minyak dan gas.

Pun begitu, beliau menekankan Singapura akan memainkan peranannya, dengan mengaturkan perbincangan serta bekerjasama dengan negara-negara yang bersependapat.

Beliau berkata demikian semasa kunjungan ke Amiriah Arab Bersatu (UAE).

"Apa yang akan berlaku jika dunia benar-benar menyahkan karbon dan tiada lagi pasaran untuk minyak dan gas? Atau anda tidak dibenarkan menjual minyak dan gas? Apakah yang perlu dilakukan negara itu, sedang sumber tenaga berharga dalam bumi tidak boleh membawa untung? Akankah mereka menerimanya? Adakah ia adil untuk mereka? Bagaimana anda mencapai kesepakatan yang mereka boleh terima serta dapat dicapai? Itulah persoalan sukar yang kita belum dapatkan jawapan dan perlu dibincangkan. Saya pasti ia perlu dibincangkan dalam mesyuarat COP nanti dan juga pada masa depan," ujar PM Lee.

Dalam pada itu, PM Lee juga menyentuh tentang ketegangan geopolitik yang semakin meruncing di Timur Tengah.

Beliau menarik perhatian bagaimana keharmonian silang agama UAE dan toleransi agama di Singapura perlu dipertahankan.

Beliau menambah pada waktu-waktu sukar sedemikian, Singapura perlu mengukuhkan lagi keharmonian yang ada, dan bukan berpaling daripada satu sama lain dan berpecah belah.

"Di tengah-tengah apa yang berlaku di Timur Tengah dan Gaza, ia menjadi lebih penting bagi pelbagai kaum di Singapura memahami perkara ini dan pelbagai agama di Singapura menghargai perkara tersebut dan kita kekalkan hubungan erat dan tidak membenarkan apa yang berlaku di luar menjejas keharmonian beragama kita," tekan PM Lee.
 
Sumber : CNA/RU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan