'Sukar' untuk lanjutkan Cuti Penjagaan Anak bagi tampung seluruh tempoh HBL, kata Indranee Rajah
"Sukar" untuk melanjutkan hak Cuti Penjagaan Anak sedia ada bagi ibu bapa untuk menampung kesemua hari pembelajaran di rumah (HBL) anak mereka, kata Menteri, Pejabat Perdana Menteri, Indranee Rajah pada Isnin (4 Okt).
Gambar fail seorang kanak-kanak gunakan peranti mudah alih di rumah.
SINGAPURA: "Sukar" untuk melanjutkan hak Cuti Penjagaan Anak sedia ada bagi ibu bapa untuk menampung kesemua hari pembelajaran di rumah (HBL) anak mereka, kata Menteri, Pejabat Perdana Menteri, Indranee Rajah pada Isnin (4 Okt).
Jelas beliau, ini memandangkan jumlah hari HBL sangat bergantung kepada keadaan COVID-19 di peringkat nasional.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada soalan yang diajukan AP Louis Ng (PAP-Nee Soon). Encik Ng bertanya sama ada hak cuti tersebut boleh dilanjutkan bagi mereka yang mempunyai anak berusia antara tujuh hingga 12 tahun, di tengah-tengah peralihan ke pembelajaran di rumah dek lonjakan kes COVID-19.
Buat masa ini, setiap ibu bapa yang bekerja, yang mempunyai anak warga Singapura, boleh mengambil Cuti Penjagaan Anak sehingga enam hari cuti bergaji jika anak mereka berusia bawah tujuh tahun.
Ibu bapa bekerja yang mempunyai anak-anak berusia tujuh hingga 12 tahun - usia murid sekolah rendah - masing-masing boleh mengambil lagi dua hari cuti bergaji.
Cik Indranee berkata: "Kami memahami sepenuhnya cabaran-cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa yang bekerja ketika sekolah beralih ke pembelajaran di rumah disebabkan oleh pandemik COVID-19."
Namun beliau menambah "adalah sukar untuk melanjutkan cuti tersebut untuk menampung kesemua hari HBL".
Kata Cik Indranee lagi, yang juga Menteri Kedua Kewangan merangkap Pembangunan Negara, "pendekatan lebih praktikal untuk menyesuaikan cuti tersebut" diperlukan untuk mengelakkannya daripada menjejas pekerjaan ibu bapa mereka.
Huraian yang lebih mampan adalah dengan meningkatkan amalan aturan kerja yang fleksibel untuk membolehkan pekerja menguruskan komitmen kerja dan keluarga dengan lebih baik, kata Cik Indranee, sambil menambah bahawa Pemerintah akan terus bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan untuk "membentuk dan menggalak tempat kerja yang mesra keluarga dan norma sosial".
Beliau menambah sekolah rendah dan pusat jagaan pelajar juga akan terus dibuka sepanjang tempoh HBL untuk menjaga pelajar yang ibu bapa mereka tidak berupaya mendapatkan aturan jagaan alternatif.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.