Skip to main content

Singapura

Sukar & lewat bangun sahur? Ini tips tangani masalah itu

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Syukur, sekali lagi kita bakal bertemu dengan bulan Ramadan yang penuh keberkatan dalam takwim Islam.

Bercerita tentang bulan yang mulia ini, selain berbuka puasa, amalan bangun sahur satu perkara yang menjadi masalah dan sering menjadi perdebatan, menurut Sinar Harian yang menukil rencana daripada CNN Indonesia.

Kepada mereka yang berdisiplin dan mengikut sunah, mereka akan bangun sahur tanpa ada sebarang kerumitan.

Selain untuk meraih pahala, ia juga akan membantu menyuntik tenaga sepanjang berpuasa.

Namun, ada sesetengah orang yang tiada sebarang masalah jika tidak menjamah makanan dari terbit fajar hingga terbenam matahari, lapor Sinar Harian.

Alasan lain yang selalu kita dengar adalah malas untuk bangun pagi sebelum waktu Subuh.

Memang benar, bangun pada waktu pagi dalam keadaan kurang tidur akan menyebabkan badan berasa lemah, sakit kepala dan gangguan emosi.

Bagaimanapun, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi hal tersebut, menurut Sinar Harian.

Berikut cara yang dicadangkan.

1. BERSENAM

Sekitar satu atau dua jam sebelum berbuka puasa dan sekiranya mempunyai waktu terluang, boleh luangkan masa seketika untuk melakukan olahraga ringan sekitar 20 minit.

Jika merasakan ia satu halangan, boleh melakukan senaman berjalan kaki.

Alang-alang pergi ke bazar Ramadan, boleh juga melakukan senaman berjalan kaki.

Namun, ingat! Elakkan pembaziran makanan lebih-lebih lagi sebilangan juadah berbuka juga berdepan dengan kenaikan harga.

2. 'SANTAPAN' OTAK

Bukan hanya perut sahaja yang perlu diisi, tetapi otak juga memerlukan 'diet' seimbang untuk daya pemikiran optimum.

Selain amalan pemakanan dan gaya hidup sihat, berfikiran positif juga perlu.

Boleh luangkan masa dengan membaca buku atau melakukan teka silang kata. Cara itu akan merangsang minda untuk lebih berjaga-jaga.

3. WAKTU TIDUR

Cuba didik diri untuk memiliki jadual tidur yang konsisten.

Tetapkan jadual atau waktu yang diperuntukkan untuk melakukan pekerjaan, senaman, bersantai dan tidur.

Sebaiknya jangan amalkan tidur terlalu lewat malam kerana ia akan mempengaruhi anda untuk makan dengan lebih banyak dan sukar bangun pagi.

4. SINAR SURIA

Menjalani ibadah puasa dalam keadaan cuaca panas akan menyebabkan rasa kurang selesa dan cepat berasa lapar.

Namun, tidak salah untuk luangkan masa seketika untuk membiarkan tubuh badan 'bermandikan' sinaran matahari.

Cara itu akan membuatkan kita berasa lebih segar pada waktu siang dan juga memudahkan untuk tidur pada sebelah malam.

5. ELAK MINUMAN BERKAFEIN

Umum mengetahui minuman seperti kopi akan membantu untuk menghindari rasa mengantuk.

Oleh itu, sebaiknya jangan amalkan minuman itu atau pengambilan kafein berlebihan sebelum tidur.

Cuba wujudkan ruang yang selesa, nyaman dan kemas di tempat tidur, termasuk penggunaan cahaya lampu yang minimum.

Diharapkan perkongsikan ini dapat membantu untuk anda bangun sahur.

Lagipun, alang-alang sudah ingin solat Subuh, apa salahnya awalkan sedikit waktu untuk menjamah makanan.

Semoga maklumat ini dapat menjadi manfaat kepada kita semua.

Selamat berpuasa!

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita