Skip to main content

Singapura

Sukar kenal pasti 'tanda amaran' penderaan jika ibu bapa bohong, kanak-kanak takut luahkan

Anggaran Waktu Membaca:
Sukar kenal pasti 'tanda amaran' penderaan jika ibu bapa bohong, kanak-kanak takut luahkan

Gambar: Gerd Altmann/Pixabay

Diterbitkan : 02 Oct 2023 06:36PM Dikemas Kini : 02 Oct 2023 06:37PM
SINGAPURA: Meskipun lelaki itu kelihatan sopan dan lemah lembut, apa yang membuat pekerja sosial Benny Thiam sangsi adalah persekitaran di rumah tersebut. Ia terlalu sunyi, meskipun terdapat tiga kanak-kanak kecil yang sedang bermain.

Mereka tidak begitu bising, seperti kanak-kanak sebaya mereka, kecuali apabila mereka terjatuhkan sesuatu yang menyebabkan bunyi kuat.

Encik Thiam, seorang penolong pekerja sosial kanan di sebuah pusat khidmat keluarga, kemudian ternampak bapa kanak-kanak tersebut menjegilkan mata ke arah mereka sehingga mereka diam membisu.

Encik Thiam kemudian mendapati lelaki berkenaan, mengenakan "hukuman fizikal yang berat" ke atas anak-anaknya.

Meskipun pekerja sosial sepertinya berusaha mencari tanda-tanda yang menunjukkan kanak-kanak itu berada dalam keadaan yang membimbangkan apabila mendampingi keluarga tersebut, ia mungkin mencabar untuk mengenal pasti sesetengah ibu bapa yang berbohong atau anak-anak yang enggan meluahkan apa yang dilalui mereka.

"Apabila terdapat kebimbangan mengenai isu-isu keselamatan, kami menggunakan Panduan Kanak untuk menentukan langkah tindakan seterusnya yang perlu diambil, seperti memaklumkannya kepada khidmat perlindungan. Lantaran itu, penting untuk mempunyai penilaian yang jelas. Ini boleh dilakukan bersama karyawan lain yang terlibat dalam kehidupan kanak-kanak, seperti sekolah-sekolah," ujar Encik Thiam.

Para pekerja sosial dan agensi perkhidmatan sosial yang ditemui TODAY, berkongsi cabaran-cabaran yang dihadapi semasa mendampingi kanak-kanak berisiko berikutan kes melibatkan Umaisyah, iaitu seorang kanak-kanak 2 tahun yang jasadnya ditemui dalam sebuah periuk.

Bapanya dijatuhi hukuman penjara 21 tahun 6 bulan dan 18 sebatan rotan pada 19 September selepas mengaku bersalah atas kesalahan mendera anak perempuannya itu sehingga membawa kepada kematiannya.

Lelaki berusia 35 tahun itu dan bekas isterinya menyembunyikan kematian Umaisyah selama lima tahun dengan memberi pelbagai alasan, apabila pihak berkuasa bertanya mengenai keberadaannya.

Kes tersebut menimbulkan banyak soalan dalam kalangan orang ramai, dan antaranya: Bagaimana kehilangannya itu tidak dikesan oleh pihak berkuasa dan agensi perkhidmatan sosial untuk sekian lama?

Pekerja sosial menyatakan bahawa meskipun mereka cuba sedaya upaya untuk mengenal pasti tanda-tanda amaran semasa melakukan lawatan ke rumah-rumah yang ingin mereka berikan bantuan, kuasa mereka masih terbatas.

APA YANG DILAKUKAN PEKERJA SOSIAL SEMASA LAWATAN KE RUMAH?

Pekerja sosial menyatakan bahawa lawatan ke rumah adalah penting untuk mereka meninjau kehidupan sesebuah keluarga dan mengenal pasti tanda-tanda amaran.

Pertama sekali, pekerja sosial menilai maklumat yang sedia ada mengenai klien mereka sebelum melakukan lawatan ke rumah, bagi memahami latar belakang keluarga tersebut.

Encik Marcus Lim, ketua pekerja sosial di Touch Community Services dan ketua sokongan keluarga, berkata bahawa mereka melakukan demikian dengan meninjau dokumen-dokumen lama yang dikumpulkan oleh pekerja sosial sebelumnya dan rakan masyarakat yang lain.

"Pekerja sosial dibimbing oleh rangka kerja dan wadah penilaian rasmi semasa mendampingi keluarga-keluarga. Ini meliputi keselamatan, kebajikan dan sebarang tanda risiko," tambahnya.

"Mereka akan meninjau anggota keluarga yang mudah terjejas seperti warga emas dan kanak-kanak. Beberapa tanda yang ditinjau pekerja sosial termasuk kekurangan zat, lebam yang dapat dilihat atau ketidakhadiran dalam kes yang melibatkan kanak-kanak bersekolah."

CABARAN PANTAU KANAK-KANAK

Pekerja sosial dan sukarelawan cuba menjalin hubungan yang baik dengan keluarga-keluarga semasa melakukan lawatan ke rumah mereka.


Sekalipun demikian, ia tidak selalunya mudah untuk pekerja sosial dapat mengenal pasti seseorang kanak-kanak yang terdedah kepada risiko, terutama sekali apabila dia mempunyai keluarga yang besar, atau jika ibu bapa enggan memberi kerjasama, kata pekerja sosial.

Kebanyakan masanya, kami tidak dapat mengawal apa yang dikatakan ibu bapa. Tetapi kami akan selalu mendorong dan memberi penekanan ke atas kebimbangan berhubung kanak-kanak apabila maklumat tertentu dianggap sebagai satu amaran," kata Cik Chua.

"Apabila pekerja menilai terdapat faktor yang membimbangkan tetapi kami tidak mempunyai sebarang bukti untuk menyatakan kanak-kanak itu berada dalam risiko besar, kami akan mendapatkan lebih banyak maklumat daripada rakan agensi atau bahkan, meminta untuk berjumpa dengan kanak-kanak itu bagi menilai sendiri situasi tersebut."


APA YANG MASYARAKAT BOLEH LAKUKAN

Pekerja jagaan kesihatan, dan masyarakat secara meluas, boleh memainkan peranan dengan memantau kanak-kanak berisiko itu.


Encik Thiam, pekerja sosial kanan itu berkata: "Jadual imunisasi merupakan satu lagi cara untuk memantau kebajikan anak itu. Apabila kanak-kanak pergi untuk mendapatkan vaksin, kakitangan perubatan akan dapat melihat mereka dan mengenal pasti sebarang isu keselamatan. Ketinggian dan berat badan juga memberi sedikit bayangan. Sehubungan itu, vaksinasi yang tidak dilaksanakan juga dianggap sebagai satu amaran."


Jika anda mengesyaki seseorang kanak-kanak didera, anda boleh menghubungi talian antikeganasan 1800-777-000. Jika nyawa kanak-kanak itu dalam bahaya, hubungi pihak polis di talian 999.

Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita